Mulianya Khalifah Umar Al Khattab RA

Pada suatu hari Khalifah Umar Al-Khattab baru saja pulang dari melawat negeri Syria. Seperti biasa Umar akan berjalan-jalan dan meninjau sekitar kawasan untuk melihat keadaan rakyat jelata untuk mengetahui sendiri akan penderitaan mereka. Pada kali ini Umar menuju ke sebuah pondok buruk yang didiami oleh seorang perempuan tua. Umar pergi ke rumah perempuan tua tersebut dengan menyamar sebagai orang biasa. Sudah menjadi kebiasaan kepada Khalifah Umar menyamar menjadi orang awam kerana beliau ingin melihat sendiri akan penderitaan yang di alami oleh rakyatnya dan ingin mendapat maklumat atau pandangan rakyat terhadapnya.

 Apabila tiba di rumah perempuan tua tersebut Khalifah memberi salam dan berkata. “Adakah anda mendengar apa-apa berita tentang Umar?”. Jawab perempuan tua itu “Khabarnya Umar baru sahaja pulang dari Syria dengan selamat”. Kata khalifah lagi “Bagaimana pendapat anda tentang khalifah kita itu”. Jawab perempuan tua itu “Semoga Allah tidak memberi ganjaran baik kepadanya”. Umar bertanya lagi ” Mengapa anda berkata begitu?”. Jawab perempuan tua tersebut “Dia sangat jauh dari rakyatnya. Semenjak menjadi khalifah dia belum pernah menjenguk pondok aku ini apatah lagi memberi wang”. Jawab Umar “Bagaimana mungkin dia dapat mengetahui keadaan anda sedangkan tempat ini jauh terpencil” Perempuan tua tersebut mengeluh dan berkata “Subhanallah! Tidak mungkin seorang khalifah tidak mengetahui akan keadaan rakyatnya walau di mana mereka berada”. Mendengar kata-kata tadi Khalifah Umar tersentak lalu berkata didalam hatinya “Celakalah aku kerana semua orang dan perempuan tua ini pun mengetahui perihal diriku”. Umar menyesal sambil menitiskan air mata. Umar berkata lagi “Wahai perempuan tua, berapakah kamu hendak menjual kezaliman Umar terhadap anda? Saya kasihan kalau Umar mati nanti akan masuk neraka. Itu pun kalau anda mahu menjualnya”. Kata perempuan tua tersebut “Jangan engkau bergurau dengan aku yang sudah tua ini”. Sambung Umar lagi, “Saya tidak bergurau, saya betul-betul, berapakah anda akan menjualnya? Saya akan menebus dosanya, mahukah anda menerima wang sebayak 25 dinar sebagai harga kezalimanya terhadap anda”, sambil menyerahkan wang tersebut kepada perempuan tua itu. “Terima kasih, baik benar budi mu” kata perempuan tua itu sambil mengambil wang tersebut. 

Sementara itu Ali bin Abu Talib bersama Abdullah bin Mas’ud lalu di kawasan itu. Melihat Khalifah Umar berada di situ, mereka pun memberi salam. “Assalamualaikum ya Amirul Mukminin”. Mendengar ucapan tersebut, tahulah perempuan tua itu bahawa tetamu yang bercakap denganya sebentar tadi adalah Khalifah Umar Al-Khattab. Dengan perasaan takut dan gementar perempuan tua itu berkata “Masya Allah, celakalah aku dan ampunlah aku di atas kelancangan aku tadi ya Amirul Mukminin. Aku telah memaki Khalifah Umar di hadapan tuan sendiri”. Ratapan perempuan tua itu telah menyedarkan Umar. “Tak mengapa, mudah-mudah Allah memberi restu kepada anda” kata Umar. Ketika itu juga Khalifah Umar telah membuka bajunya dan menulis keterangan berikut di atas bajunya. “Bismillahirrahmanirrahim, Dengan ini Umar telah menebus dosanya atas kezalimannya terhadap seorang perempuan tua yang merasa dirinya dizalimi oleh Umar, semenjak menjadi khalifah sehingga ditebusnya dosa itu dengan 25 dinar. Dengan ini jika perempuan tua itu mendakwa Umar di hari Mahsyar, maka Umar sudah bebas dan tidak bersangkut paut lagi”.

 Pernyataan tersebut ditandatangani oleh Ali bin Abu Talib dan di saksikan oleh Abdullah bin Mas’ud. Baju tersebut diserahkan kepada Abdullah bin Mas’ud serya berkata “Simpahlah baju ini dan jika aku mati masukkan ke dalam kain kafanku untuk dibawa mengadap Allah Subhanahu wa Taala nanti”. Persoalannya kini apakah akan ada pemimpin seperti Khilafah Umar Al-Khattab ini bagi menggantikan para pemimpin sekular yang ada pada hari ini?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *