SEKILAS MENGENAI HUKUM ISLAM: QISAS

Dalam undang-undang Islam, terdapat hukuman yang memberi hak kepada waris si mati yang menjadi mangsa bunuh sama ada untuk memaafkan pembunuh, mengambil diyat (tebusan) atau menyerahkan kepada mahkamah untuk dijatuhi hukuman bunuh?
Berdasarkan dalil:
“Dan barangsiapa dibunuh secara zalim, maka sesungguhnya Kami telah memberi kekuasaan kepada ahli warisnya, tetapi janganlah ahli waris itu melampaui batas di dalam membunuh” [TMQ al-Isra’ (17):33].
FirmanNya yang lain,
“Diwajibkan atas kamu qisas berkenaan orang-orang yang dibunuh” [TMQ al-Baqarah (2):179].

Qisas di dalam ayat ini membawa maksud membunuh si pembunuhnya. Ayat ini dirincikan lagi oleh Rasulullah dengan baginda menjelaskan melalui sabdanya bahawa selain qisas, wali bagi pihak yang terbunuh boleh memilih samada meminta diyat yang berupa 100 ekor unta ataupun memberikan kemaafan kepada si pembunuh. Imam Abu Daud meriwayatkan dari Abu Syuraih al-Khaza’i, ia berkata, aku mendengar Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda, “Barangsiapa tertumpah darahnya atau disakiti, maka ia boleh memilih salah satu dari tiga pilihan, boleh mengqisas atau mengambil tebusan (diyat) atau memaafkan…”. Imam Tirmidzi meriwayatkan dari Amru bin Syua’ib dari bapanya, dari datuknya bahawa Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda, “Barangsiapa yang membunuh dengan sengaja, maka keputusannya diserahkan kepada wali-wali pihak yang terbunuh. Mereka berhak membunuh atau mengambil diyat yakni 30 unta dewasa, 30 unta muda dan 40 unta yang sedang bunting, atau mereka juga berhak memaafkannya”

Terdapat banyak lagi hadis yang senada dengan hadis di atas yang menjadi dalil yang sangat jelas bahawa hukuman bagi pembunuhan yang disengajakan adalah qisas, atau pihak wali meminta diyat atau memaafkan. Hukuman yang terdapat di dalam Islam ini jelas berbeza dengan hukuman yang ada sekarang dilihat dari sudut mana sekalipun. 

1. Mengikut undang-undang sekarang, pihak yang melakukan tuntutan (pendakwaan) adalah kerajaan (pendakwaraya), bukannya ahli waris mangsa

2. Wali kepada pihak yang terbunuh langsung tidak diberi pilihan memilih hukuman, walhal di dalam Islam, wali mempunyai tiga pilihan. 

3. Hukuman sekarang yang diperuntukkan di bawah seksyen 302 Kanun Keseksaan adalah berasal dari undang-undang yang dibuat dan diluluskan oleh manusia di Parlimen, manakala hukum qisas dalam Islam berasal dari Allah dan Rasul di dalam Al-Quran dan Hadis.

4. Hukuman sekarang dijalankan oleh manusia atas kehendak manusia sendiri berdasarkan keputusan majoriti manusia, sedangkan hukum qisas dijalankan oleh manusia atas kehendak Allah yang menjadi kewajipan bagi manusia berdasarkan aqidah. 

5. Hukuman Allah apabila dilaksanakan ke atas manusia akan menjadi pencegah (zawajir) dan penebus dosa (jawabir) di akhirat, sedangkan hukuman sekarang tidak akan membawa apa-apa erti, malah akan membawa dosa ke atas pelaksananya kerana jelas-jelas mereka tidak berhukum dengan apa yang Allah turunkan. Inilah di antara sebahagian dari perbezaannya.

Sedangkan undang-undang ciptaan manusia yang zalim tidak memberi hak kepada mangsa atau waris mangsa seadilnya. Bayangkan jika anda kemalangan jalan raya dan pesalah hanya dikenakan denda atau paling beratpun penjara sedangkan anda cacat seumur hidup, atau kehilangan orang tersayang….? Adilkah hukum ciptaan manusia????
Maha Suci Allah yang mengaturkan hukum yang adil dan saksama…

SUJUD SAHWI

Pada suatu ketika Nabi shalallahu ‘alaihi wasallam bersolat Zuhur lima rakaat, lalu ditanya: Apakah rakaat solat ini memang telah ditambah?”
Baginda bertanya: “Mengapa demikian?”
Para sahabat menjawab: “Anda telah melakukan solat lima rakaat.” Maka bagindapun sujud dua kali setelah memberi salam itu.
[Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no. 1226.]

Ini berbeza sekali dengan amalan sesetengah umat Islam di Malaysia yang menganggap solat yang terlebih atau terkurang rakaat secara tidak sengaja itu telah terbatal lalu perlu diulangi keseluruhan solat tersebut. Sunnah Rasulullah shalallahu ‘alaihi wasallam yang sebenarnya adalah tidak diulangi solat tersebut (menunjukkan solat itu sah) tetapi dikerjakan sujud sahwi setelah memberi salam.

Seseorang yang sedang bersolat Isyak dan dia terlupa samada dia sedang berada dalam rakaat ketiga atau keempat, maka terdapat dua kemungkinan dalam keraguan tersebut iaitu:

1. Dia memiliki keyakinan kepada salah satu antara dua hal tersebut. Contohnya dia mempunyai keyakinan yang lebih bahawa dia sebenarnya berada dalam rakaat ke empat. Dalam keadaan sebegini maka dia mengikut keyakinannya dan meneruskan solatnya. Sujud Sahwi dilakukan SESUDAH SALAM dan kemudian dia memberi salam lagi. Dalilnya adalah hadis yang diriwayatkan dari Abdullah bin Mas’ud radhiallahu’anh:

Dan apabila salah seorang dari kalian ragu dalam solatnya,
maka hendaklah dia memilih yang (dianggap–penterjemahan) benar, lalu hendaklah dia menyempurnakan solatnya lalu salam,kemudian sujud dua kali. [ Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no. 401.]

2. Dia tidak memiliki keyakinan di antara dua hal tersebut. Contohnya dia tidak memiliki kepastian samada dia sedang berada dalam rakaat ketiga atau keempat. Dalam keadaan yang sebegini dia sepatutnya memilih rakaat yang paling sedikit iaitu rakaat yang ke tiga lalu menyempurnakan solatnya dan melakukan sujud sahwi SEBELUM SALAM.

Jika salah seorang di antara kalian ragu dalam solatnya,
sehingga dia tidak tahu, apakah baru satu rakaat atau sudah dua rakaat, maka baiklah ditetapkannya sebagai satu rakaat sahaja. Jika dia tak tahu apakah dua atau sudah tiga rakaat, baiklah ditetapkannya dua rakaat. Dan jika tidak tahu apakah tiga ataukah sudah empat rakaat, baiklah ditetapkannya tiga rakaat, kemudian hendaklah dia sujud bila selesai solat di waktu masih duduk (tasyahhud akhir – penterjemahan) sebelum memberi salam, iaitu sujud sahwi sebanyak dua kali.
[Dikeluarkan oleh Ahmad di dalam Musnadnya – hadis no: 1656 ]

Jika kita teliti hadis-hadis Rasulullah shalallahu ‘alaihi wasallam berkaitan dengan sujud sahwi, ternyata baginda shalallahu ‘alaihi wasallam tidak pernah mengajar bacaan khusus yang perlu dibaca ketika sujud sahwi ini. Apa yang dapat kita simpulkan di sini bahawa bacaan ketika sujud sahwi adalah sama seperti yang dibacakan dalam sujud solat yang biasa

Allahualam

Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat seperti yang diceritakan oleh arwah ayahku

Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat seperti yang diceritakan oleh arwah ayahku: 

Aku bukan penyokong PAS. Namun aku akui, manusia bernama Nik Abdul Aziz itu sesungguhnya sangat sederhana orangnya. Bahkan dia pernah hadir dalam majlis kenduri yang diadakan oleh keluargaku di pasir Mas, beliau sanggup berdiri menunggu tempat duduk sebab ketiadaan tempat duduk. Tok Guru datang bersendirian, tidak ada bodyguard, tidak ada pengiring, tidak ada sesiapa. Driver menunggu dalam kereta yang diparkir jauh sebab rumah keluargaku itu berada jauh dari main road dan kawasan parkir yang terhad. Arwah Abah semasa tu sebagai penyambut tetamu dalam majlis, terperasan kelibat orang tua itu yang sedang berdiri terus menjemputnya untuk makan di hidangan dalam rumah. Tok Guru pada awalnya menolak tetapi dipujuk untuk masuk makan bersama keluarga kami dalam rumah.

Bagi arwah abah, dapat makan bersama Tok Guru itu satu kesempatan yang sangat luar biasa baginya. Tambah luar biasa lagi baginya sebab dia merupakan penyokong UMNO pada masa tu. Kalau tak salah, peristiwa ni berlaku sekitar tahun 1997.