SUJUD SAHWI

Pada suatu ketika Nabi shalallahu ‘alaihi wasallam bersolat Zuhur lima rakaat, lalu ditanya: Apakah rakaat solat ini memang telah ditambah?”
Baginda bertanya: “Mengapa demikian?”
Para sahabat menjawab: “Anda telah melakukan solat lima rakaat.” Maka bagindapun sujud dua kali setelah memberi salam itu.
[Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no. 1226.]

Ini berbeza sekali dengan amalan sesetengah umat Islam di Malaysia yang menganggap solat yang terlebih atau terkurang rakaat secara tidak sengaja itu telah terbatal lalu perlu diulangi keseluruhan solat tersebut. Sunnah Rasulullah shalallahu ‘alaihi wasallam yang sebenarnya adalah tidak diulangi solat tersebut (menunjukkan solat itu sah) tetapi dikerjakan sujud sahwi setelah memberi salam.

Seseorang yang sedang bersolat Isyak dan dia terlupa samada dia sedang berada dalam rakaat ketiga atau keempat, maka terdapat dua kemungkinan dalam keraguan tersebut iaitu:

1. Dia memiliki keyakinan kepada salah satu antara dua hal tersebut. Contohnya dia mempunyai keyakinan yang lebih bahawa dia sebenarnya berada dalam rakaat ke empat. Dalam keadaan sebegini maka dia mengikut keyakinannya dan meneruskan solatnya. Sujud Sahwi dilakukan SESUDAH SALAM dan kemudian dia memberi salam lagi. Dalilnya adalah hadis yang diriwayatkan dari Abdullah bin Mas’ud radhiallahu’anh:

Dan apabila salah seorang dari kalian ragu dalam solatnya,
maka hendaklah dia memilih yang (dianggap–penterjemahan) benar, lalu hendaklah dia menyempurnakan solatnya lalu salam,kemudian sujud dua kali. [ Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no. 401.]

2. Dia tidak memiliki keyakinan di antara dua hal tersebut. Contohnya dia tidak memiliki kepastian samada dia sedang berada dalam rakaat ketiga atau keempat. Dalam keadaan yang sebegini dia sepatutnya memilih rakaat yang paling sedikit iaitu rakaat yang ke tiga lalu menyempurnakan solatnya dan melakukan sujud sahwi SEBELUM SALAM.

Jika salah seorang di antara kalian ragu dalam solatnya,
sehingga dia tidak tahu, apakah baru satu rakaat atau sudah dua rakaat, maka baiklah ditetapkannya sebagai satu rakaat sahaja. Jika dia tak tahu apakah dua atau sudah tiga rakaat, baiklah ditetapkannya dua rakaat. Dan jika tidak tahu apakah tiga ataukah sudah empat rakaat, baiklah ditetapkannya tiga rakaat, kemudian hendaklah dia sujud bila selesai solat di waktu masih duduk (tasyahhud akhir – penterjemahan) sebelum memberi salam, iaitu sujud sahwi sebanyak dua kali.
[Dikeluarkan oleh Ahmad di dalam Musnadnya – hadis no: 1656 ]

Jika kita teliti hadis-hadis Rasulullah shalallahu ‘alaihi wasallam berkaitan dengan sujud sahwi, ternyata baginda shalallahu ‘alaihi wasallam tidak pernah mengajar bacaan khusus yang perlu dibaca ketika sujud sahwi ini. Apa yang dapat kita simpulkan di sini bahawa bacaan ketika sujud sahwi adalah sama seperti yang dibacakan dalam sujud solat yang biasa

Allahualam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *