PETROLEUM MERUPAKAN HAK MILIK UMUM

Tak lama dulu, aku sempat berbincang dengan beberapa orang kakitangan Petronas berkenaan dengan hak milik petroleum, isu royalti serta corporate social responsibility. Perbincangan itu panjang lebar, penulisan ini hanya untuk tujuan rumusan berkaitan isu ini, memetik perbincangan dari Sautun Nahdah 16 yang dikeluarkan pada tahun 2005.

Minyak diesel/petrol adalah bahan hidrokarbon yang merupakan salah satu hasil sulingan dari petroleum mentah. Maka, hukum asal benda yang perlu dirujuk dalam kes ini adalah hukum asal kejadian minyak mentah. Minyak mentah ini adalah barangan milik awam kerana ia terkait dengan sifatnya seperti ‘air yang tidak putus-putus’ (ma’ul ‘iddu),

Berdasarkan hukum syara’, lombong atau kawasan takungan minyak yang banyak kandungannya, yang akan tetap wujud dalam jangkamasa yang sangat panjang, maka bahan lombong itu termasuk dalam pemilikan awam, dan kawasan lombong tadi tidak boleh menjadi hak milik persendirian. Imam At-Tirmizi meriwayatkan hadis dari Abyadh bin Hamal, bahawa dia telah meminta daripada Rasulullah SAW untuk mengelolakan lombong garamnya. Lalu Rasulullah memberikannya, namun seorang lelaki yang berada disitu menjelaskan realitinya kepada Rasulullah SAW.

“Wahai Rasulullah, tahukah engkau apa yang engkau berikan kepadanya? Sesungguhnya engkau telah memberikan sesuatu yang bagaikan air mengalir.” Rasulullah kemudian bersabda: “ Tariklah lombong tersebut daripadanya.”

Ma’u al-‘iddu adalah air mengalir yang banyak. Hadis tersebut memberi perumpamaan bahawa garam yang boleh didapati dilombong itu adalah seperti air yang mengalir, kerana kandungannya yang banyak. Hadis ini menjelaskan bahawa Rasulullah SAW telah memberikan lombong garam bukit kepada Abyadh bin Hamal. Ini menunjukkan bahawa lombong garam bukit boleh diberikan kepada individu. Tetapi, apabila beliau mengetahui bahawa kandungan lombong itu adalah seumpama air yang mengalir (yang terlalu banyak kandungan galiannya), seolah-olah tidak akan dapat dihabiskan, maka beliau menarik balik pemberian itu dan melarang ianya dimiliki secara peribadi, kerana lombong tersebut adalah milik awam. Peristiwa ini menjelaskan kepada kita bahawa Rasulullah SAW menarik balik pemberian kawasan lombong yang diberikan kepada Abyad semata-mata kerana terdapat lombong garam bukit yang kandungannya terlalu banyak. Ini menjadi qarinah bahawa sesuatu kawasan yang mempunyai kandungan atau takungan yang banyak dengan galian maka lombong tersebut akan menjadi milik umum.

Daripada hadis diatas, jelas bahawa illat(sebab) larangan supaya tidak diberikan lombong garam tersebut adalah kerana kandungan garam lombong tersebut adalah seperti air yang mengalir dan jumlahnya tidak terbatas. Lebih jelas lagi didalam riwayat Amru bin Wais, bahawa yang dimaksudkan disini adalah lombong garam, di mana beliau mengatakan :“ma’danul milhi” (lombong garam). Jika diteliti pernyataan yang dibuat oleh ahli fiqih, maka jelaslah bahawa mereka telah menjadikan garam termasuk didalam kategori lombong, kerana hadis ini jelas berkaitan dengan lombong garam dan bukannya garam itu sendiri

Hukum berkenaan lombong yang tidak terbatas jumlah galiannya adalah ianya merupakan milik awam. Ini termasuk semua lombong, samada lombong yang boleh diperolehi tanpa perlu kerja berat yang boleh diperolehi manusia, serta boleh dimanfaatkan oleh manusia, contohnya garam bukit, antimoni, batu permata dan sebagainya; ataupun lombong yang berada di dalam perut bumi, yang tidak boleh diperolehi selain dengan kerja berat dan kos yang tinggi, contohnya lombong emas, perak, besi, tembaga, timah dan sebagainya, samada yang berbentuk pepejal seperti kristal ataupun berbentuk cecair seperti petroleum, semuanya termasuk dalam kategori lombong yang dinyatakan di atas.

Dalam hal ini, syarak telah menentukan harta benda yang menjadi milik umum dengan ketentuan/nas yang sangat jelas. Harta benda dalam kategori berikut adalah milik umum dan tidak boleh (haram) menjadi milik individu –

(i) bahan galian yang jumlahnya tidak terbatas,

(ii) sumber daya alam yang sifat pembentukannya menghalangi untuk dimiliki oleh individu secara perseorangan,

(iii) harta benda yang merupakan fasiliti umum di mana jika fasiliti tersebut tidak ada di suatu tempat atau komuniti, persengketaan akan berlaku di dalam komuniti tersebut dalam mencarinya.

Manusia itu bersyarikat (bersekutu) dalam tiga perkara (iaitu) air, padang ragut dan api” [HR Abu Daud & Ahmad].

Persoalan yang mungkin timbul apabila membicarakan sistem pemilikan awam petroleum ini adalah sekiranya semua harta tersebut diberikan kepada rakyat sehingga tiada tertinggal apa-apa sebagai milik negara akan menyebabkan negara kekurangan hasil – pendapatan negara mungkin tidak cukup untuk membayar gaji kakitangan awam dan boleh saja melumpuhkan perjalanan sistem politik negara. Persoalan sebegini sering timbul, namun Rasulullah SAW telah menunjukkan mekanisme bagi menyelesaikan masalah ini 1,400 tahun yang lepas; Rasulullah SAW sebagai ketua negara telah menyediakan rizab untuk negara dari pemilikan awam.

“Tidak ada (Hima) Rizab kecuali untuk Allah dan Rasul” [Hadis Riwayat Imam Abu Daud Nasa’i]

Makna dari hadis ini adalah bahawa rizab tidak boleh dikumpulkan kecuali oleh negara, sebagaimana dilakukan oleh Rasulullah SAW untuk keperluan jihad, untuk kaum miskin serta untuk kemaslahatan kaum Muslimin. [Abdul Qadim Zallum, Sistem Kewangan Dalam Negara Khilafah, ms 83]. Rasulullah SAW juga telah melakukan rizab di kawasan Naqii’, yang mana kawasan ini dilarang untuk dimanfaatkan oleh pengguna awam. Begitu juga dengan tindakan pengurusan negara yang dilakukan oleh Rasulullah SAW yang menunjukkan bahawa khalifah juga mempunyai beberapa hak yang sama untuk mengurusi negara. Khalifah, sebagai ketua Negara Islam juga boleh merizabkan beberapa telaga minyak untuk dimasukkan terus kedalam pendapatan negara untuk menampung perbelanjaan mengurus negara, seandainya hasil negara tidak mencukupi.

Kenapa perlu berharap kepada Idelogi kafir Karl Marx untuk menggantikan sistem dari ideology sekular kapitalis yang menyempitkan ini????

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *