KHILAFAH FOR ALL

“Sekali-kali tidak akan redha orang-orang Yahudi dan Nasrani sehinggalah kamu mengikut jalan-jalan hidup mereka.” (Al Baqarah: 120)

Ayat ini sering digunakan oleh puak anti-Islam untuk mempropagandakan Islam sebagai agama yang jahat, zalim, memusuhi kaum yahudi dan kristian, walhal mereka lupa minoriti yahudi dan kristian hidup dengan selamat bernaung di bawah kekuasaan Islam selama lebih 1000 tahun. Tidak pernah tercatat pembunuhan, pembantaian etnik dilakukan oleh para khalifah Islam bahkan sejarah mencatatkan puak yahudi dan nasrani pernah memberi bantuan mempertahankan dawlah dari serangan puak tentera salib sewaktu perang salib. Komposisi minoriti non-muslim kekal utuh sekalipun mereka bernaung dibawah naungan kekuasaan Islam ribuan tahun lamanya!!!!

Ahlu zimmah wajib membayar jizyah kepada Dawlah Islam. Jizyah dipungut dari ahlu zimmah yang lelaki, baligh dan mampu. Jizyah tidak diambil dari anak-anak, perempuan dan orang yang tidak mampu. Abu Ubaid meriwayatkan bahawa Umar r.a. pernah mengutus surat kepada Amir al-Ajnad bahawa jizyah tidak diwajibkan atas perempuan, anak-anak dan orang yang belum baligh. Bahkan, bagi yang tidak mampu, mungkin kerana sudah tua atau cacat, bukan sahaja tidak wajib membayar jizyah, sebaliknya menjadi kewajiban bagi Negara Islam (Baitul Mal) untuk membantu mereka pula.

Ahlu zimmah tidak boleh dipaksa meninggalkan agama mereka untuk masuk Islam. Rasulullah SAW telah menulis surat untuk penduduk Yemen (yang berbunyi),

“Siapa jua yang beragama Yahudi atau Nasara, dia tidak boleh dipaksa meninggalkan agamanya dan wajib ke atasnya jizyah” [HR Abu Ubaid].

Hukum ini juga berlaku untuk orang kafir secara umumnya yang bukan Yahudi atau Nasara. Dengan demikian, ahlu zimmah dibebaskan menganut akidah mereka dan menjalankan ibadah menurut keyakinan mereka.

Allahualam

Konsep Ketuanan Melayu Bukan Dari Islam

Secara jelas dalam Islam tidak ada konsep KETUANAN Melayu. Tidak pernah dalam pemerintahan Islam dan khulafa Ar rashideen selepas Muhammad s.a.w melaksanakan “ketuanan Arab” walaupun kemudiannya empayar Islam melebar hingga ke Andalusia dan seluruh jazirah Arab dan sebahagian Afrika.

Kalaulah ada konsep “KETUANAN” berdasarkan keturunan, nescaya Islam itu bukan ajaran yang sesuai dengan fitrah manusia yang Allah ciptakan dari pelbagai bangsa dan keturunan. Bahkan konsep asobiah ini akan mencetus perpecahan, permusuhan dan pertumpahan darah yang tidak sedikit dan terpapar dalam sejarah ketamadunan manusia sepanjang zaman.

Antara “dalil” golongan yang cuba menghalalkan asobiah ini ialah dengan menyatakan amirul mukminin wajib seorang keturunan Quraisy menggunakan hadis yang diriwayatkan oleh Mu’awiyah bahawasanya beliau berkata: “Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:

“Sesungguhnya urusan kekuasaan ini di tangan orang Quraisy, siapa saja yang memusuhi mereka pastilah Allah akan membuatnya jatuh tersungkur, selama mereka masih menegakkan (hukum-hukum) agama ini”.

Atau hadis riwayat Ibnu Umar yang berkata: “Rasulullah SAW bersabda:

“Kekuasaan ini selalu berada di Quraisy, selama masih ada dua orang diantara mereka “.

Hadis-hadis ini serta hadis-hadis yang serupa dari hadis-hadis yang sah sanadnya sampai kepada Rasulullah tentang pemerintahan yang diberikan kepada Quraisy-adalah hadis-hadis yang berbentuk ikhbar (berita) dan tidak ada satu pun diantaranya yang berbentuk thalab (perintah). Bentuk ikhbar (berita) walaupun mengandung pengertian tuntutan (thalab), tetapi tidak dianggap tuntutan secara pasti selama tidak didasari dengan suatu qarinah (indikasi) yang menunjukkan penegasan. Sementara hadis-hadis yang ada tentang masalah tersebut tidak disertai qarinah apapun.

Dengan demikian maka hadis-hadis di atas menunjukkan perintah sunnah, bukan wajib. Kesimpulannya persyaratan Quraisy itu sebagai syarat keutamaan, tetapi sebagai syuruth afdhaliyyat (syarat-syarat keutamaan).

Sabda Rasulullah SAW yang menyatakan: “Sesungguhnya urusan kekuasaan ini ditangan orang Quraisy” dan “Urusan pemerintahan selalu ditangan Quraisy” tidak bererti bahawa kekuasaan tidak boleh berada ditangan orang selain Quraisy. Tidak pula bahawa kekuasaan selalu berada di tangan Quraisy itu bererti melarang selain mereka. Tetapi maksud nas tersebut adalah bahawa kekuasaan berada di kalangan orang-orang Quraisy dan dibenarkan pula berada pada selain mereka. Jadi, nas tentang Quraisy tidak mencegah munculnya pemimpin selain dari kalangan mereka dalam urusan kekhilafahan. Dengan demikian, syarat quraisy adalah syarat keutamaan bukan syarat sah terwujudnya akad pengangkatan khilafah.

Rasulullah SAW sendiri pernah mengangkat Abdullah Bin Rawahah, Zaid bin Haritsah, dan Usamah Bin Zaid menjadi amir. Padahal mereka bukan orang Quraisy. Jadi Rasulullah pernah mengangkat orang non Quraisy menjadi amir. Kata “Hadzal amru” bererti “wilayatul amri”, iaitu pemerintahan secara umum, bukan khusus ditujukan kepada khalifah saja. Jadi tindakan Rasulullah mengangkat orang selain Quraisy itu menjadi dalil autoriti memerintah tidak terbatas di kalangan Quraisy saja dan tidak terlarang bagi selain mereka. Lagi pula, Imam Bukhari pernah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda:

“Dengarlah dan taatilah oleh kalian, sekalipun yang memerintah kalian adalah seorang budak hitam, sampai pun kepalanya dipenuhi bisul”.

Sedangkan Imam Muslim meriwayatkan dari Abu Dzar yang berkata:

“Kekasihku (Nabi SAW) telah mewasiatkan kepadaku agar aku mendengarkan dan mentaati (pemimpin) sekalipun dia seorang budak yang cacat anggota tubuhnya.”

Dalam riwayat lain:

“Jika dikuasakan kepada kalian seorang hamba yang cacat lagi hitam, lalu dia memimpin kalian dengan Kitabullah, maka dengar dan taatlah kalian kepadanya”.

Hadis-hadis ini merupakan nas yang jelas tentang kebolehan seorang budak hitam menjadi pemimpin kaum muslimin. Sehingga hadis ini dapat dijadikan dalil bahawa khilafah atau Wilayatul Amri dapat dipegang oleh orang-orang yang bukan Quraisy, bahkan sekalipun bukan orang Arab. Jadi hadis-hadis tentang Quraisy di atas hanya menyebut sebahagian dari orang-orang yang berhak menjadi khalifah, demi menunjukkan keutamaan mereka, namun bukan bererti khalifah dibatasi pada mereka saja dan tidak boleh selain mereka.

Demikian pula tidak disyaratkan bahawa khalifah wajib keturunan Bani Hasyim atau keturunan Ali, kerana telah terbukti bahawa Nabi SAW pernah mengangkat pemimpin yang bukan dari Bani Hasyim atau keturunan Ali ra. Pada saat perang Tabuk beliau mengangkat Muhammad Bin Maslamah untuk memimpin Madinah, padahal dia bukan dari Bani Hasyim ataupun keturunan Ali. Beliau juga pernah mengangkat Mu’ad Bin Jabal dan Amr bin Ash sebagai amir di Yaman, padahal mereka berdua bukan dari Bani Hasyim maupun keturunan Ali. Terbukti pula secara pasti bahawa kaum muslimin telah membai’at Abu Bakar, Umar, dan Ustman, dimana Ali termasuk orang yang membai’at ketiga khalifah tersebut, padahal mereka semua bukan berasal dari Bani Hasyim. Dan para sahabat juga tidak mengingkari bai’at tersebut, sehingga terjadilah ijma’ sahabat tentang sahnya pengangkatan khalifah selain Bani Hasyim dan Bani Ali. Termasuk berijma’ dalam hal ini ialah Ali, Abbas dan seluruh Bani Hasyim.

Adapun hadis-hadis yang berhubungan dengan keutamaan Ali dan Ahlul Bait adalah sekadar menunjukkan keutamaan mereka, bukan menunjukkan persyaratan bahawa khalifah wajib dari kalangan mereka.

Adalah malang bagi umat Islam untuk terus menerima konsep yang jelas bertentangan dengan syarak ini dan lebih malang jika mereka berhujah dengan memanipulasikan dalil untuk menegakkan hujah dangkal mereka.

Allahualam.