KEMPEN FAJAR I

Ketika berlakunya peristiwa hijrah, Rasulullah saw memerintahkan umat Islam untuk berhijrah, kecuali bagi golongan yang sememangnya tidak berkeupayaan untuk berbuat demikian. Sebagai tindak balas terhadap kaum muslimin, golongan kafir Quraishy merampas segala ladang, tanah, rumah, ternakan bahkan dalam sesetengah riwayat disebutkan ada anak dan isteri dipisahkan secara paksa. Mungkin jika kita renung sejenak, jika kita berada di zaman itu, diperintahkan meninggalkan segala harta benda yang dimiliki demi mentaati perintah Allah dan rasul, nescaya kita akan keberatan. Ada di antara kaum muslimin yang sudah mengaku beriman ketika itu enggan berhijrah sekalipun mereka mampu. Alasannya, sekalipun tak berhijrah, mereka tetap dapat terus mengamalkan Islam secara individu. Ternyata mereka itu golongan munafiq.

Ketika semboyan perang Badar diserukan, golongan ini dipaksa menyertai Tentera Qurasy dan akhirnya mereka terbunuh dalam peperangan itu. Peristiwa terbunuhnya golongan munafiq itu dicatat dalam Quran sebagai azbabun nuzul ayat:

“Sesungguhnya orang-orang yang diambil nyawanya oleh malaikat semasa mereka sedang menganiaya diri sendiri (kerana enggan berhijrah untuk membela Islam dan rela ditindas oleh kaum kafir musyrik), mereka ditanya oleh malaikat dengan berkata, “Apakah yang kamu telah lakukan mengenai agama kamu?” Mereka menjawab, “Kami dahulu adalah orang-orang yang tertindas di bumi.” Malaikat bertanya lagi, “Tidakkah bumi Allah itu luas, yang membolehkan kamu berhijrah dengan bebas padanya?” Maka orang-orang yang sedemikian itu keadaannya, tempat akhir mereka ialah neraka jahanam, dan neraka jahanam itu adalah seburuk-buruk tempat kembali. Kecuali orang-orang yang lemah (lagi uzur) dari kaum lelaki dan perempuan serta kanak-kanak, yang tidak berdaya upaya mencari helah (untuk melepaskan diri) dan tidak pula mengetahui sesuatu jalan (untuk berhijrah). Maka mereka (yang demikian sifatnya), mudah-mudahan Allah maafkan mereka. Dan (ingatlah), Allah Maha Pemaaf, lagi Maha Pengampun.” [TMQ an-Nisa’ (4): 97-99].

Mari kita intropeksi diri, di kala ini, tidak adanya daulah Islam meletakkan kewajipan mengembalikan semula kegemilangan Islam itu terpikul di atas bahu setiap orang muslim yang mukallaf (orang yang cukup syarat dipikulkan kewajipan), di mana kedudukan kita, sumbangan kita, kesungguhan kita dalam menunaikan kewajipan ini?

Allahualam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *