1MDB KAYA TANPA MODAL?

Jika kita tinjau dari sudut syarak, Islam membenarkan transaksi nyata (real trade) dan mengharamkan transaksi “future trading”, atau transaksi jual-beli yang melibatkan barangan yang tiada. Contoh mudah: Jual beli buah durian adalah mubah (harus), tetapi jual beli bunga durian dengan menisbahkan bunga itu sebagai buah adalah haram kerana kita tidak ada kepastian mutlak bunga itu akan menjadi buah atau sebaliknya rosak.
Dalam sistem ekonomi sekular kapitalis, “future trading” adalah sesuatu norm yang tidak boleh dielakkan kerana sistem ini bergerak dalam pasaran modal. Maksud lebih lanjut “pasaran modal” iaitu modal sebagai komoditi dan bukannya barangan. Contoh, “saham perladangan durian” yang dijual-beli bukanlah ladang durian yang dijual-beli tetapi MODAL untuk perusahaan tersebut yang mana di alam nyata, ladang yang dimaksudkan boleh jadi hanya tanah kosong tanpa sebatang pohon durian pun, atau boleh juga tanah yang dimaksudkan itu pun masih masih dalam proses pembelian. Urus-niaga tanpa kewujudan hakiki apa yang diakadkan menjadikan akad itu sebagai akad yang bathil walaupun kalau kita perhatikan di sini, jual-beli durian asalnya mubah, tidak seperti jual-beli arak atau perkara lain yang diharamkan.
Berkenaan 1 MDB, antara perkara yang paling menimbulkan kemarahan Tun M ialah, dana yang dimiliki syarikat itu sudah dipindahkan ke beberapa lokasi yang tidak dapat dipastikan yang mana besar kemungkinannya ia telah lesap!!! Syarikat yang muncul secara tiba-tiba, mendapat pinjaman berbillion untuk perusahaan yang tidak diketahui kewujudannya, dan mendapat jaminan kerajaan Malaysia, tetapi tiba-tiba tidak mampu membayar pinjaman yang diminta dari pemuitang, MayBank dan RHB yang cuma berjumlah RM 2 B (berbanding pinjaman keseluruhan dari pelbagai sumber berjumlah RM 40 B). Ke mana lesapnya duit yang kononnya “dilaburkan” sebagai modal? Itu yang Tun M tanya dan setakat ini tetap gagal dijawab oleh pentadbiran Najib.
Perkiraan mudah, kita MELABUR dengan lebihan aset yang dimiliki. Sebaliknya 1MDB melabur dengan berhutang, dan apabila dituntut untuk membayar, 1MDB terpaksa minta tangguh berkali-kali. Lebih menariknya, Kerajaan Malaysia adalah guarantor bagi pinjaman syarikat ini. Dalam kata lain, khazanah kekayaan negara yang diperah dari keringat rakyat untuk membayar hutang syarikat yang tidak ditadbir secara telus.
Pertanyaan mudah, apa sebenarnya produk 1 MDB???? Kalau business lembu, boleh la kita tengok lembunya walaupun mungkin lembunya diternak dalam kondo. Tapi kali ni, berbillion duit dialirkan untuk apa? Ke mana?
Lalu kita boleh mengagak kenapa Najib begitu terdesak untuk melaksanakan GST di sebalik tentangan keras segenap lapisan masyarakat termasuk dari dalam UMNO sendiri kerana kesannya mungkin mengakibatkan UMNO dan Barisan Nasional akan tumbang dalam PRU yang akan datang. Dengan pemborosan yang berterusan, hutang yang sentiasa bertumbuh secara exponential, menjadikan perbendaharaan negara semakin parah dan GST merupakan langkah yang mampu memanjangkan jangka hayat kerajaan Malaysia yang dibelit ketat oleh pelbagai hutang.
Inilah natijah penerapan sistem ekonomi yang jauh dari fitrah manusia, jauh dari panduan Rob Yang Maha Agung yang menurunkan Al Quran dan mengutuskan Muhammad s.a.w sebagai rahmat bagi sekalian alam. 
Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam. (Al-Anbiyaa’ 21:107) 
Ada yang kata sistem ekonomi Islam sebagai ketinggalan zaman. Sesungguhnya, Allah jauh lebih advance dari segala makhluk. Allah telah mengharamkan transaksi yang sesungguhnya mengundang malapetaka ke atas umat manusia, sebelum manusia mengenal stock market lagi. Maka ayat Allah yang mana lagi yang kamu dustakan???

PERANG AHZAB: Hukum Sababiyah

Sekiranya kita tinjau coretan sejarah berkenaan Peperangan Ahzab, yang mana kaum muslimin berhadapan dengan Tentera Pakatan Quraisy beserta beberapa kabilah Yahudi dan Arab di sekitar Makkah, berjumlah 10 000 tentera, melawan 3 000 tentera di pihak kaum muslimin, ramai yang suka bercerita bagaimana kisah Allah menurunkan ribut dan petir sehingga tentera Ahzab bertempiaran lari meninggalkan medan perang, dikuatkan lagi dengan dalil dari Al Quran sendiri yang mana Allah abadikan kisah peperangan bersejarah ini ke dalam surah Al Ahzab. 
Adapun sebagai seorang manusia, yang hidup di dunia yang Allah ciptakan berlangsungnya “hukum sababiyah”, yang mana setiap perkara yang berlaku memiliki sebab musababnya yang tersendiri. Kita berasa kenyang kerana makan, kita menghilangkan mengantuk dengan tidur, kita bekerja mencari nafkah untuk menyara hidup, bahkan segala sesuatu yang berlaku di alam dunia ini adalah di dalam sunnatullah, iaitu berjalan sesuai dengan ketetapan Allah sebagai Rob Yang Maha Pencipta. 
Adapun sesuatu perkara yang berlaku di luar hukum sababiyah ini, baik merupakan mukjizat, karomah, sihir dan sebagainya, semuanya juga berlaku dalam ketentuan Allah dan orang yang beriman mengambilnya sebagai sebahagian dari keimanan kepada perkara ghaib, sesuai dengan aqidah Islam yang dibina dari pemikiran yang benar.

Dalam kisah Perang Ahzab, beberapa hukum sababiyah yang dapat diperhatikan sehingga pasukan Tentera Ahzab yang sangat kuat, penuh semangat terpukul mundur dari pengepungan mereka terhadap kota Madinah dapat disimpulkan sebagai berikut:
1. Pasukan Tentera Ahzab terlalu memandang rendah terhadap keupayaan kaum muslimin, apalagi setelah mereka berjaya mengalahkan kaum muslimin di Medan Uhud sebelumnya, yang juga menyebabkan berlaku pelbagai krisis dalaman di Negara Kota Madinah akibat perbuatan kaum munafiq dan golongan Yahudi seperti Bani Qainuqa’ (yang kemudiannya diusir oleh Rasulullah s.a.w dari Madinah). Akibatnya, mereka memang bersangkaan, peperangan tidak akan mengambil masa yang lama dan mereka tidak bersedia untuk peperangan yang berlarutan dengan kelengkapan logistik yang bersesuaian untuk berperang dalam jangka masa panjang.

2. Pasukan Tentera Ahzab terkejut (element of surprise) dengan parit yang digali sebagai pertahanan oleh kaum muslimin. Mereka tidak pernah berhadapan dengan strategi perang yang sedemikian walaupun mereka merupakan ahli dalam peperangan.
3. Peperangan berlaku dalam musim sejuk dan hujan sedikit-sebanyak menjejaskan moral Tentera Ahzab yang mengepung Kota Madinah.

4. Peranan Nu’aim Bin Mas’ud yang berada dalam barisan Tentera Ahzab, yang merahsiakan keislamannya, kemudian menemui Rasulullah s.a.w dan menimbulkan keraguan di pihak Tentera Ahzab dan sekutu mereka dari Bani Quraizah yang mengkhianati perjanjian dengan kaum muslimin dengan tipu helah. Nu’aim meyakinkan pihak Bani Quraizah untuk meminta kepastian dari Pasukan Ahzab untuk memberi jaminan keselamatan terhadap mereka dengan meninggalkan beberapa orang tokoh Quraisy sebagai jaminan, untuk pertolongan sekiranya pasukan tentera kaum muslimin menyerang mereka sesudah pasukan Ahzab berundur. Di pihak Tentera Ahzab pula, mereka meragui kesetiaan Bani Quraizah dan menolak permintaan Bani Quraizah yang pada mereka tidak logik. 

5. Tawaran Rasulullah s.a.w kepada Bani Ghathfan yang merupakan komponen terkuat dalam Pasukan Ahzab berupa tanah pertanian yang subur dan luas sekiranya mengikat perjanjian damai dengan kaum muslimin menyebabkan Bani Ghathfan mula teragak-agak meneruskan serangan.
6. Terkorbannya pahlawan ulung Tentera Ahzab, ‘Amru bin ‘Abdu Wuda di Tangan Ali Karramallahwajha dalam pertarungan satu lawan satu. Amru merupakan bapa saudara Ali sendiri dan sangat terkenal dengan kehebatannya di medan perang.
7. Final Blow dari Allah sebagai sebaik-baik penolong dengan memporak-porandakan tentera Ahzab dengan ribut dan petir sehingga kelengkapan perang dan khemah-khemah Tentera Ahzab musnah.

Allahualam.

Adaptasi dari kitab Daulah Islam: Taqiyuddin An Nabhani Rahimahullah

TUJUAN PERBUATAN MANUSIA

Ada 4 tujuan perbuatan manusia:
1) Nilai material (al-qimah al-madiyah), membentuk syarikah dan sebagainya adalah untuk mendapatkan nilai material. Dari aktiviti ini manusia dapat memperoleh wang, kenderaan, barang, makanan dan keperluan lainnya
2) Nilai Kemanusiaan (al-qimah Insaniyah), nilai kemanusiaan merupakan layanan manusia kepada manusia lainnya sebagai manusia. Manusia yang menyelamatkan orang yang tenggelam, memberi nafkah kepada keluarga, memberi sedekah kepada fakir miskin dan sebagainya.
3) Nilai Akhlak (al-qimah al-akhlaqiyah)
Nilai akhlak dicapai oleh seorang muslim dengan cara menghiasi setiap perbuatannya dengan sifat-sifat yang diperintahkan oleh Allah SWT. Memiliki himmah (semangat tinggi) dalam bekerja, jujur dalam berniaga, amanah dalam menjalankan tugas, memenuhi janji bila berhutang dan bertutur kata yang baik merupakan nilai akhlak yang diperoleh seorang muslim.
4) Nilai Spiritual (al-qimah ar-ruhiyah)
Nilai spiritual diraih dalam rangka untuk meningkatkan hubungannya dengan Allah SWT. Solat, Zakat, haji, puasa dan jihad adalah beberapa contoh perbuatan untuk meraih nilai spiritual. Nilai ini bersifat peribadi kerena orang lain tidak dapat merasakannya. Meski harta berkurang dan jiwanya melayang, namun dengan nilai ini seseorang akan mendapatkan kedamaian dan kebahagiaan.
Dengan memahami tujuan-tujuan yang ingin diraih dari perbuatan yang dikerjakan, kita dapat memahami saat dan ketika mana sesuatu nilai itu menjadi keutamaan saat mengerjakannya. Sebagai contoh, majikan memecat seorang pekerja kerana gagal melaksanakan tugas yang diamanahkan, nilai material yang mengikat perhubungan majikan-pekerja tadi menjadi keutamaan melebihi nilai lainnya dalam situasi berkenaan. Berbeza pula dalam mengerjakan ibadat solat, seorang muslim yang bertaqwa tidak layak mengharapkan apa-apa balasan dari sesiapa untuk solat yang dikerjakannya melainkan mengharap redha Allah semata-mata.
Dengan demikian,dalam melakukan perbuatan, manusia harus memperhatikan tahapan-tahapan dalam melaksanakan perbuatan tersebut, yaitu 
1. Adanya naluri atau keperluan jasmani
2. Mengindera dorongan yang muncul dari naluri dan keperluan jasmani
3. Menetapkan motivasi perbuatan
4. Berfikir tentang cara bagaimana dorongan tersebut dapat dipenuhi dengan baik, benar, dan sempurna, termasuk menentukan hukum sebab-akibat
5. Usaha untuk memenuhi naluri dan keperluan jasmani
6. Nilai yang ingin dicapai
Adaptasi dari kitab Nizhamul Islam: Syeikh Taqiyuddin Nabhani Rahimahullah.

PASUKAN KOMANDO DALAM DAULAH ISLAM

Setelah kekalahan kaum muslimin dalam Perang Uhud, reputasi dan kewibawaan kaum muslimin tercalar dan kabilah-kabilah arab dan yahudi sama ada di dalam kota Madinah, ataupun di luar mula menungjukkan penentangan terhadap daulah. Terdapat banyak kisah antara yang paling popular ialah Kisah pembunuhan 6 sahabat dalam peristiwa Raji’ oleh Bani Huzail, Kisah Al Maunah, pembunuhan 40 orang sahabat yang diutus oleh Rasulullah s.a.w oleh Bani A’mir dan pengusiran Yahudi Bani Qainuqa’ dan Bani Nadhir (mempermalukan seorang muslimah dengan menyingkap auratnya).
Kaedah Rasulullah s.a.w menangani konflik dalaman negara sangat unik dan terdapat banyak kisah yang jarang dikongsikan dalam masyarakat umum. Takala sampai ke pengetahuan baginda akan perbuatan Khalid bin Sufyan Al Hadzaliy, yang mengumpulkan angkatan perang dari kalangan kabilah arab untuk menyerang Madinah, baginda mengutuskan Abdullah Bin Anis untuk menyusup masuk ke dalam kumpulan Khalid. Abdullah kemudiannya, menunggu peluang di kala Khalid bersendirian, lalu membunuhnya. Maka, pemberontakan yang diketuai Khalid terkubur bersama kematiannya. Begitu pula apabila Bani Asad (kabilah arab di luar Madinah) cuba untuk merencana serangan ke atas Madinah, baginda mengutuskan pasukan elit dari 150 orang antaranya ialah Abu Ubaidah bin Jarrah, Sa’ad bin Abi Waqash, Usaid bin Hudhair iaitu dari kalangan pahlawan terbaik kaum muslimin untuk melancarkan serangan kilat sehingga Bani A’sad tewas dan rancangan mereka gagal sebelum sempat dilaksanakan. 

Adapun dalam peperangan, terdapat golongan dipanggil Al Mubarizun, iaitu sekelompok pasukan elit yang bertugas memecah-belahkan barisan pasukan musuh untuk menjatuhkan moral pihak musuh dan sekaligus mengucar-kacirkan pertahanan musuh. Berikut adalah nama-nama para sahabat yang tercatat sebagai anggota Al Mubarizun:

  1. Ali ibn Abi Talib
  2. Khalid ibn Walid
  3. Dhiraar bin Al-Azwar
  4. Al-Qa’qa’a ibn Amr at-Tamimi
  5. Asim ibn ‘Amr al-Tamimi
  6. Abd al-Rahman ibn Abu Bakr

Dari sudut lain yang kita perlu fahami, di peringkat awal setelah tegaknya daulah nanti, apa yang akan berlaku bukanlah semua rakyat hidup aman sejahtera dan memenuhi surau-masjid semata-mata tetapi kebanyakan dari kaum muslimin menghabiskan masa di medan perang bagi menangani ancaman sama ada dari dalam mahupun luar negara.

Allahualam
Adaptasi dari kitab Daulah Islam- Syiekh Taqiyuddin An Nabhani