PERANG AHZAB: Hukum Sababiyah

Sekiranya kita tinjau coretan sejarah berkenaan Peperangan Ahzab, yang mana kaum muslimin berhadapan dengan Tentera Pakatan Quraisy beserta beberapa kabilah Yahudi dan Arab di sekitar Makkah, berjumlah 10 000 tentera, melawan 3 000 tentera di pihak kaum muslimin, ramai yang suka bercerita bagaimana kisah Allah menurunkan ribut dan petir sehingga tentera Ahzab bertempiaran lari meninggalkan medan perang, dikuatkan lagi dengan dalil dari Al Quran sendiri yang mana Allah abadikan kisah peperangan bersejarah ini ke dalam surah Al Ahzab. 
Adapun sebagai seorang manusia, yang hidup di dunia yang Allah ciptakan berlangsungnya “hukum sababiyah”, yang mana setiap perkara yang berlaku memiliki sebab musababnya yang tersendiri. Kita berasa kenyang kerana makan, kita menghilangkan mengantuk dengan tidur, kita bekerja mencari nafkah untuk menyara hidup, bahkan segala sesuatu yang berlaku di alam dunia ini adalah di dalam sunnatullah, iaitu berjalan sesuai dengan ketetapan Allah sebagai Rob Yang Maha Pencipta. 
Adapun sesuatu perkara yang berlaku di luar hukum sababiyah ini, baik merupakan mukjizat, karomah, sihir dan sebagainya, semuanya juga berlaku dalam ketentuan Allah dan orang yang beriman mengambilnya sebagai sebahagian dari keimanan kepada perkara ghaib, sesuai dengan aqidah Islam yang dibina dari pemikiran yang benar.

Dalam kisah Perang Ahzab, beberapa hukum sababiyah yang dapat diperhatikan sehingga pasukan Tentera Ahzab yang sangat kuat, penuh semangat terpukul mundur dari pengepungan mereka terhadap kota Madinah dapat disimpulkan sebagai berikut:
1. Pasukan Tentera Ahzab terlalu memandang rendah terhadap keupayaan kaum muslimin, apalagi setelah mereka berjaya mengalahkan kaum muslimin di Medan Uhud sebelumnya, yang juga menyebabkan berlaku pelbagai krisis dalaman di Negara Kota Madinah akibat perbuatan kaum munafiq dan golongan Yahudi seperti Bani Qainuqa’ (yang kemudiannya diusir oleh Rasulullah s.a.w dari Madinah). Akibatnya, mereka memang bersangkaan, peperangan tidak akan mengambil masa yang lama dan mereka tidak bersedia untuk peperangan yang berlarutan dengan kelengkapan logistik yang bersesuaian untuk berperang dalam jangka masa panjang.

2. Pasukan Tentera Ahzab terkejut (element of surprise) dengan parit yang digali sebagai pertahanan oleh kaum muslimin. Mereka tidak pernah berhadapan dengan strategi perang yang sedemikian walaupun mereka merupakan ahli dalam peperangan.
3. Peperangan berlaku dalam musim sejuk dan hujan sedikit-sebanyak menjejaskan moral Tentera Ahzab yang mengepung Kota Madinah.

4. Peranan Nu’aim Bin Mas’ud yang berada dalam barisan Tentera Ahzab, yang merahsiakan keislamannya, kemudian menemui Rasulullah s.a.w dan menimbulkan keraguan di pihak Tentera Ahzab dan sekutu mereka dari Bani Quraizah yang mengkhianati perjanjian dengan kaum muslimin dengan tipu helah. Nu’aim meyakinkan pihak Bani Quraizah untuk meminta kepastian dari Pasukan Ahzab untuk memberi jaminan keselamatan terhadap mereka dengan meninggalkan beberapa orang tokoh Quraisy sebagai jaminan, untuk pertolongan sekiranya pasukan tentera kaum muslimin menyerang mereka sesudah pasukan Ahzab berundur. Di pihak Tentera Ahzab pula, mereka meragui kesetiaan Bani Quraizah dan menolak permintaan Bani Quraizah yang pada mereka tidak logik. 

5. Tawaran Rasulullah s.a.w kepada Bani Ghathfan yang merupakan komponen terkuat dalam Pasukan Ahzab berupa tanah pertanian yang subur dan luas sekiranya mengikat perjanjian damai dengan kaum muslimin menyebabkan Bani Ghathfan mula teragak-agak meneruskan serangan.
6. Terkorbannya pahlawan ulung Tentera Ahzab, ‘Amru bin ‘Abdu Wuda di Tangan Ali Karramallahwajha dalam pertarungan satu lawan satu. Amru merupakan bapa saudara Ali sendiri dan sangat terkenal dengan kehebatannya di medan perang.
7. Final Blow dari Allah sebagai sebaik-baik penolong dengan memporak-porandakan tentera Ahzab dengan ribut dan petir sehingga kelengkapan perang dan khemah-khemah Tentera Ahzab musnah.

Allahualam.

Adaptasi dari kitab Daulah Islam: Taqiyuddin An Nabhani Rahimahullah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *