VIRTUAL TRADE VS REAL TRADE

Kebelakangan ini, aku berkesempatan berbual dengan ramai peniaga. Tauke Welly Batu Caves, tauke restoren, tauke hardware, pengusaha hotel, pemandu teksi dan bermacam lagi. Semuanya merungut dan merasai kesan tekanan ekonomi yang menyebabkan business mereka terjejas.

Mungkin sukar menggambarkan secara terperinci bagaimana domino effect kesan ekonomi global ke atas kedudukan ekonomi rakyat marhaen, tetapi apa yang dirasai sebenarnya kesan dari sistem ekonomi sekular kapitalis yang diterapkan ke atas kita semua.

Ia satu sistem ekonomi yang memastikan golongan kapitalis (pemodal) akan terus-menerus kaya, tanpa mempedulikan lagi beban ditanggung masyarakat secara keseluruhannya.

Salah satu kecacatan utama sistem ini (dari pelbagai kerosakan lainnya) ialah apabila urusniaga jual beli “modal” (stock market) dihalalkan, juga siebut VIRTUAL TRADE. Sebagai contoh, jika yang diurusniagakan itu modal perusahaan kambing, di dunia nyata mungkin kambing yang dimaksudkan itu tidak wujud langsung. Kelompangan ini bersandarkan spekulasi, tidak stabil malah sangat fragile.Kelompangan ini menyebabkan berlakunya kezaliman dalam transaksi yang dilakukan.

Dalam sistem ekonomi Islam, segala urusniaga mestilah REAL TRADE, iaitu perkhidmatan atau barangan yang diperdagangnya sewajibnya wujud dan transaksi berlaku 1:1, iaitu nilai yang dibayar dan produk yang diterima itu setimpal dan berlaku secara hakiki. Sistem ekonomi ini stabil dan saksama, sekaligus mengelakkan berlakunya krisis ekonomi yang parah dan berulang-ulang seperti kita saksikan hari ini. Islam mengharamkan kita berjual-beli buah durian hanya dengan berdasarkan bilangan bunga durian yang ada di pokoknya, atau berjual-beli anak kambing yang dalam kandungan induknya sehingga kambing itu dilahirkan.

Islam itu rahmatan lil alamin… Allah menurunkan Al Quran sebagai panduan untuk seluruh manusia sehingga muncul tamadun gergasi dari tanah gersang di tengah jazirah arab. Panduan dari Allah Yang Maha Pencipta sahajalah yang akan menyelamatkan seluruh umat manusia dari perhambaan sesama manusia kepada perhambaan kepada Pencipta.
Dan Kami turunkan kepadamu Al Kitab (Al Quran) untuk menjelaskan segala sesuatu dan petunjuk serta rahmat dan khabar gembira bagi orang-orang yang berserah diri,” [QS an-Nahl: 89]

Allahualam.

Tabung Buluh

Kisah seperti yang diceritakan Dr Azizan Osman dalam Seminar IMKK Oktober 2015…..

Seorang lelaki berpangkat dato pergi bertemu dengan Dr Azizan untuk mendapatkan nasihat
mengenai perniagaannya yang seakan “tepu”, tidak mampu berkembang lagi. Selalu gagal mendapatkan tender-tender perniagaan yang diharapkan sekalipun segala usaha berserta strategi telah dilakukan.

Dalam pertemuan itu, Dr Azizan bertanya kepada dato tu bagaimana hubungannya dengan keluarga. Dia terdiam dan berlalu pergi.

Lebih-kurang seminggu selepas itu, dia datang tergesa-gesa ke pejabat Dr Azizan, meluru masuk dan memeluk kemas Dr Azizan. Dia menangis semahunya. Bila ditanya, begini kisahnya….

Sewaktu dia dalam usia belasan tahun, bapanya seorang kaki judi. Selalu memukul ibunya dan adik beradik. Dia memiliki sebuah tabung buluh yang digunakan untuk menyimpan wang bagi membeli sesuatu yang dia hajati.

Satu hari, sewaktu bangun dari tidur, dia dapati tabungnya tida ada ditempat ia disimpan. Setelah tercari-cari, didapati tabung itu berada di atas meja di mana ayahnya sedang bermain judi.

Tanpa banyak bicara, dia menumbuk bapanya dan terus lari dari rumah. Sehingga berpuluh tahun kemudian, dia memang tidak berbicara dengan bapanya itu, sehinggalah hari itu, dia pulang, dan nekad untuk bersua dengan bapanya. Sebaik saja si bapa masuk ke rumah, terus dia berlutut memohon maaf. Bapa yang pada mulanya enggan memaafkan, akhirnya meleraikan juga dendam sengketa yang sudah lama membelenggu mereka berdua.

Dia tanya, “kenapa ayah ambil tabung saya, tapi tak ambil sikit pun wang saya di dalamnya?”

Jawab si Ayah, “Ayah ambil tabung tu sebab nak tunjuk kepada kawan-kawan, betapa ayah bangga dengan anak sulung ayah yang tahu berjimat cermat dan menabung…”

Rupanya, semuanya berlaku hanya sebab salah faham. Tak berapa lama selepas itu, rezki mencurah-curah diperoleh oleh lelaki itu.

Sesuatu yang kelihatan tidak ada kaitan, iaitu kekusutan dendam dengan kejayaan perniagaan, namun sebenarnya ada perkaitan yang kita tak mampu faham dengan penaakulan biasa sebagai manusia. Sebab, segala sesuatu itu adalah dalam pengaturan Rob Yang Maha Pencipta.

Leraikan dedam, berikan kemaafan. Mudah-mudahan, ia tidak menjadi beban buat kita dalam usaha mencapai kejayaan hidup.