Pilihanraya: Nak Ubah Apa?

Isu dakwat kekal yang tidak kekal adalah salah satu contoh temberang paling besar dalam sejarah pilihanraya di Malaysia. Selain itu, persempadanan pilihanraya yang sangat memberi keuntungan kepada parti pemerintah, penggunaan premis kerajaan seperti sekolah untuk program parti, ugutan terhadap kakitangan awam, rasuah yang dilunakkan dengan istilah “politik wang” dan bermacam lagi. Belum lagi dikira janji-janji pilihanraya yang sesungguhnya hanyalah pembohongan secara terang.

“Tidak selayaknya seorang Mukmin itu dipatuk dari lubang yang sama dua kali” [HR Bukhari&
Muslim].

Mungkin ada yang bertanya baik secara sinis mahupun ikhlas, apakah perjuangan Islam di luar Parlimen berhasil dan bagaimana caranya? Jawapannya, apa yang utama di sini bukanlah hasil (kemenangan), tetapi apakah jalan yang diambil itu benar (syarie) atau tidak. Ini kerana kemenangan itu datangnya dari Allah SWT dan Dia tidak akan bertanya kenapa kita gagal, tetapi Dia akan bertanya apakah usaha yang kita lakukan itu menurut apa yang Dia perintahkan atau tidak? Rasulullah s.a.w adalah suri teladan yang wajib kita ikuti, bukan sahaja dalam solat, puasa dan haji, tetapi juga dalam menegakkan negara. Ternyata, perjuangan yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w sehingga tegaknya Negara Islam di Madinah bukanlah dilakukan melalui jalan yang diperuntukkan oleh sistem Jahiliyyah pada waktu itu, bukan juga dengan cara bergabung dengan pemerintahan kufur yang ada dan bukan juga dengan cara tadarruj (incremental).

Malah, selogiknya dan seandainya mahu, pada waktu itu Rasulullah s.a.w telah pun ditawarkan dengan kekuasaan oleh kafir Quraisy, namun ternyata baginda tidak mahu berkompromi dengan sistem kufur walau pun sedikit. Sesungguhnya perjuangan Rasulullah s.a.w adalah di luar daripada sistem kufur yang sedia ada, kerana jalan itulah yang diperintahkan oleh Allah SWT dan ternyata jalan perjuangan itu telah membuahkan hasil (dalam mendirikan negara dan menerapkan Islam).

Jadi, jika ada persoalan perjuangan manakah di luar daripada Parlimen, di luar daripada pilihan raya dan di luar daripada sistem demokrasi yang telah berjaya? Maka jawapannya adalah perjuangan Rasulullah s.a.w

Sejarah juga merakamkankan betapa banyak parti politik Islam yang berjuang dalam demokrasi terus gagal menerapkan hukum Allah, hatta setelah mereka berkuasa sekalipun. Realiti juga berbicara bahawa negara-negara Eropah berubah dari negara teokrasi ke negara-bangsa yang sekular tanpa melalui Parlimen. Rusia berubah dari  sistem feudal ke sistem komunis, lalu berubah lagi menuju sistem kapitalis, juga tanpa melalui Parlimen.

Demikian juga perubahan di Turki dari sebuah Negara Islam (Khilafah Islamiyyah) menjadi negara republik sekular, juga di luar Parlimen dan di luar proses demokrasi. Daulah Khilafah (Turki) berubah menjadi negara sekular juga sama sekali bukan kerana kelompok Turki Muda berjuang menuntut perubahan melalui Parlimen. Turki Muda di bawah pimpinan Mustafa Kamal Ataturk berjaya menguasai Turki setelah didukung oleh kekuatan penjajah British. Mereka meniupkan semangat assabiyyah dan wathaniyyah ke dalam masyarakat dan berjaya meracuni pemikiran masyarakat sehingga dengan cara itu, mereka kemudian berjaya merombak bentuk negara dan undang-undang yang berlaku, menurut hawa mereka. Dengan dukungan dari kuffar British, Kamal Ataturk akhirnya berjaya meraih pemerintahan, lalu mengisytiharkan Republik Turki sekular, yang sekali gus menandakan berakhirnya pemerintahan Khilafah Islamiyyah yang telah berdiri dan menaungi dunia selama lebih 1300 tahun.

1. Sistem demokrasi memang akan memberi peluang kepada umat Islam untuk berkuasa, tetapi ia tidak akan pernah sekali-kali memberi peluang kepada umat Islam untuk menerapkan Islam secara kaffah (keseluruhan) dalam negara.

2. Islam tidak akan sekali-kali dapat diterapkan melalui jalan demokrasi, lebih-lebih lagi jika pemimpin yang menaiki tampuk pemerintahan ini merupakan agen Barat mahupun yang mendapat restu daripada musuh-musuh Islam.

3. Adalah sangat penting untuk membina pandangan umum (public opinion) di kalangan umat agar kesedaran mereka hanya mengarah kepada Islam semata-mata di samping menghambat atau menyekat mana-mana pihak yang cuba menyeru kepada perkara-perkara selain daripada Islam. Ini adalah untuk menjamin supaya negara yang didirikan bukan sahaja akan dijaga oleh pemerintah, malah didukung dan disokong oleh seluruh warganegara daulah secara umumnya.

4. Adalah mustahil untuk mengekalkan kekuasaan pemerintahan sekiranya ahlul quwwah (pemilik kekuasaan/persenjataan) seperti tentera tidak sehaluan untuk bersama-sama dengan pemerintah. Ini ditambah burukkan lagi sekiranya ahlul quwwah ini terdiri daripada individu-individu yang menumpahkan taat setia mereka kepada kaum kuffar dan musuh umat Islam seperti Amerika dan para sekutunya.

Cukuplah dengan apa yang telah berlaku di Algeria, Turki dan Mesir. Tidak sepatutnya seorang Muslim dipatuk daripada lubang yang sama sebanyak dua kali. Kembalilah semula kepada jalan yang telah ditunjukkan oleh contoh yang terbaik buat kita yakni junjungan Muhammad s.a.w.

Allahu a’lam.

Perlembagaan Penjajah Yang Kita Warisi

Bagi yang menang dalam PRU di Malaysia, mereka akan dimestikan untuk mengangkat sumpah untuk taat kepada perlembagaan kufur ciptaan Lord Reid(wakil British) sebelum menjadi ahli parlimen sedangkan kita diperintahkan hanya perlu taat kepada Allah SWT dan Rasul.
Sebarang sanggahan terhadap perlembagaan yang diwarisi dari penjajah ini dianggap taboo, haluan kiri, atau extremist sekalipun sanggahan itu adalah merupakan seruan untuk berhukum dengan hukum Allah dan meninggalkan taghut:

Apakah kamu tidak memperhatikan orang-orang yang mengaku dirinya telah beriman kepada apa yang diturunkan kepadamu dan kepada apa yang diturunkan sebelummu? Mereka hendak berhakim kepada taghut padahal mereka telah diperintah mengingkari taghut itu dan syaitan bermaksud menyesatkan mereka (dengan) penyesatan yang sejauh-jauhnya” [TMQ an-Nisa’ (4):60].
“Dan bila dikatakan kepada mereka, ‘Janganlah kamu membuat kerosakan di muka bumi’ mereka menjawab, ‘Sesungguhnya kami orang-orang yang membuat perbaikan’. Ingatlah sesungguhnya mereka itulah orang-orang membuat kerosakan tetapi mereka tidak sedar” [TMQ al-Baqarah (2):10-11].
“Dan apabila mereka dipanggil kepada Allah (untuk berhukum dengan Kitabullah) dan RasulNya agar Rasul menghukum (mengadili) di antara mereka, tiba-tiba sebahagian dari mereka menolak untuk datang. Tetapi jika keputusan itu untuk (kemaslahatan) mereka, mereka datang kepada Rasul dengan patuh. Apakah (ketidakdatangan mereka itu kerana) dalam hati mereka ada penyakit atau (kerana) mereka ragu-ragu (terhadap hukum Allah), ataukah (kerana) kerana takut kalau-kalau Allah dan RasulNya berlaku zalim kepada mereka? Sebenarnya mereka itulah orang-orang yang zalim” [TMQ an-Nur (24):48-50].
Umum mengetahui bahawa pilihan raya dalam demokrasi merupakan medan untuk berebut kerusi bagi mendapat kuasa. Semasa pilihan raya, pelbagai janji manis atau manifesto ditabur kononnya untuk kebaikan rakyat, bagi tujuan memikat undi. Selain proses mengundi, menjadi amalan biasa dalam setiap pilihan raya adanya proses kutuk-mengutuk, fitnah-memfitnah, caci-maki, pergaduhan dan lain-lain. Kempen siang dan malam, ceramah di sana-sini, pasang bendera dan poster, makan-makan, rokok percuma, baju percuma, hiruk-pikuk, gelak ketawa dan sebagainya dapat disaksikan setiap kali pilihan raya. Pendek kata, pilihan raya di Malaysia tidak ubah seperti pesta, malah lebih meriah kerana ia berjalan dalam masa yang lama dan memakan perbelanjaan yang amat besar. Inilah pesta demokrasi namanya.

Untuk sesi parlimen yang lepas (2008-2013), dalam tempoh 3 tahun pertama sahaja, negara telah menyaksikan 16 pilihan raya kecil, dengan kerajaan membelanjakan lebih RM11 juta untuk persiapan pilihan raya, menurut laporan Suruhanjaya Pilihan Raya. Kos itu bagaimanapun hanya membabitkan pihak SPR tanpa mengambil kira perbelanjaan oleh agensi-agensi lain seperti polis dan tanpa mengambil kira perbelanjaan parti-parti politik yang bertanding. Dan kita semua tahu yang parti-parti yang bertanding turut mengeluarkan belanja jutaan ringgit demi memastikan calon mereka menang. Meriah kan? Belum lagi dikira sumbangan yang datang dari dalam dan luar negara? Untuk apa pula kepentingan pihak luar menaja calon pemerintah di negara ini? Akal yang dangkal pun boleh menelah, ia bukan diberi percuma. Pasti akan ada sesuatu yang diharapkan oleh para penyumbang dana PRU ini. 

Hakikatnya, parti mana pun yang menang, rakyat tetap tidak mendapat apa-apa kecuali terus tertipu…yang menjadi senang, tetap parti dan wakil rakyat yang menang, yang menjadi kaya, tetap parti dan wakil rakyat yang menang, yang naik gaji dan hidup mewah, tetap wakil rakyat yang menang…manakala rakyat terus terhimpit. Umat Islam lebih malang lagi, kerana siapa pun yang menang, ternyata Islam tidak diterapkan. Umat mahukan Islam, tetapi wakil-wakil rakyat hanya sibuk membuncitkan perut masing-masing dan menaiki kereta mewah ke sana ke mari. Wakil-wakil rakyat disibukkan dengan usaha menjaga parti dan menjaga pemimpin parti, bukannya menjaga rakyat, disibukkan dengan tugas-tugas untuk kepentingan parti, bukannya tugas-tugas untuk kepentingan rakyat.

Dengan kuasa yang ada, yang diberi oleh rakyat juga, ahli-ahli parlimen ini menggubal undang-undang yang menyengsarakan rakyat. Lihatlah GST, POTA, SOSMA, Akta Hasutan, GST dan lain-lain, semuanya digubal untuk menjerut rakyat dan menjaga hegemoni serta mengayakan pemerintah!!! Malah, setelah kemenangan diperoleh, rakyat pula lah yang dipersalahkan. 

Para pelajar tak pandai bahasa Inggeris punca pengangguran.

Ibubapa punca utama pelajar sekolah rosak akhlak.

Harga barang keperluan naik kerana rakyat boros….

Dan bermacam lagi. Ianya sangat memeritkan!!!

Semoga Allah menyedarkan umat ini yang demokrasi tidak membawa apa-apa kecuali malapetaka.

Zaman Pening

Zaman ni, zaman budak-budak pening. Mungkin sebab terlalu banyak info yang melambak dalam internet, menyebabkan ada yang murtad, ada yang bajet atheist, jadi pemuja sosialis, bajet revolusi, daie poyo, macai yang telan semua, nerd yang tak peduli segala hal, “mujaheddin keyboard”, pentaksub teori konspirasi dan bermacam lagi, it’s a long list.
Komponen utama mencorakkan watak manusia aqliah dan nafsiah, iaitu pemikiran dan kelakuan. Manusia akan mentafsirkan realiti berdasarkan maklumat awal lalu membuat kesimpulan dari berfikir (aqliah), yang seterusnya mengarahkan pola tindakan mereka (nafsiah).
Tanpa landasan berfikir yang benar, budak-budak pening akan bertambah-tambah, yang kemudiannya menjadi orang dewasa dan orang tua pening. Maka, lahirlah generasi pening yang sentiasa lemas dengan pelbagai gejala. Mereka cuba mencari penyelesaian dari segala kemelut, dengan mencipta kemelut baru. Penyelesaian akal tanpa panduan wahyu adalah sesuatu yang akan gagal.
“Apakah engkau tidak melihat kepada orang-orang yang mengaku beriman kepada apa yang telah diturunkan kepadamu dan apa yang dturunkan sebelum kamu, sedangkan mereka hendak berhukum kepada thaghut, padahal mereka telah diperintahkan untuk engkar terhadapnya” (An Nisa: 60)