Allah Mengutus Muhammad S.A.W membawa Petunjuk

Allah azzawajalla menegaskan mengenai tujuan diutusnya Muhammad SAW kepada seluruh umat manusia dalam al Quran:

هُوَ ٱلَّذِىٓ أَرْسَلَ رَسُولَهُۥ بِٱلْهُدَىٰ وَدِينِ ٱلْحَقِّ لِيُظْهِرَهُۥ عَلَى ٱلدِّينِ كُلِّهِۦ وَلَوْ كَرِهَ ٱلْمُشْرِكُونَ

Dialah yang telah mengutus Rasul-Nya (dengan membawa) petunjuk (Al-Quran) dan agama yang benar untuk dimenangkan-Nya atas segala agama, walaupun orang-orang musyrikin tidak menyukai. [At-Taubah [9] : 33]

هُوَ ٱلَّذِىٓ أَرْسَلَ رَسُولَهُۥ بِٱلْهُدَىٰ وَدِينِ ٱلْحَقِّ لِيُظْهِرَهُۥ عَلَى ٱلدِّينِ كُلِّهِۦ ۚ وَكَفَىٰ بِٱللَّهِ شَهِيدًا

Dialah yang mengutus Rasul-Nya dengan membawa petunjuk dan agama yang hak agar dimenangkan-Nya terhadap semua agama. Dan cukuplah Allah sebagai saksi. [Al-Fath [48] : 28]

هُوَ ٱلَّذِىٓ أَرْسَلَ رَسُولَهُۥ بِٱلْهُدَىٰ وَدِينِ ٱلْحَقِّ لِيُظْهِرَهُۥ عَلَى ٱلدِّينِ كُلِّهِۦ وَلَوْ كَرِهَ ٱلْمُشْرِكُونَ

Dialah yang mengutus Rasul-Nya dengan membawa petunjuk dan agama yang benar agar Dia memenangkannya di atas segala agama-agama meskipun orang musyrik membenci. [As-Saf [61] : 9]

وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلَّا رَحْمَةً لِّلْعَالَمِينَ

“Tidaklah kami mengutus kamu selain sebagai rahmat bagi semesta alam” [Al Anbiyaa'[21] : 107]

Ayat-ayat di atas menerangkan kepada kita dengan jelas bahawa Allah swt telah mengutus Muhammad saw sebagai Rasul-Nya yang terakhir dengan membawa petunjuk yang merupakan Deenul Haq, mengatasi kesemua ajaran batil yang lain. Rasulullah saw melaksanakan tugas dakwahnya dengan berpandukan kepada wahyu. Jika kita mengharapkan kejayaan sepertimana yang telah dicapai oleh Rasulullah saw, maka pilihan yang ada hanyalah dengan memahami thariqah Rasulullah saw dan menjadikannya sebagai rujukan utama dan idola di dalam kehidupan kita, bukan sebaliknya mengikuti thariqah lain seperti demokrasi, komunisme dan sebagainya.

Nabi saw menyeru kepada umat manusia keseluruhannya dan mengajak mereka untuk menerima aturan Allah swt. tanpa menyekutukanNya dalam apa-apa bentuk sekalipun dalam seluruh aspek kehidupan. Rasulullah saw telah memperuntukkan sebahagian besar hayat baginda untuk menghapuskan kekufuran dan menegakkan agama Allah secara menyeluruh, dan baginda tidak pernah berkompromi dengan mana-mana millah (ajaran) kufur, sama ada ia berupa falsafah dari tamadun terdahulu, mahupun syariat dari agama samawi dari para rasul terdahulu (sekalipun baginda membenarkan kerasulan mereka) . Rasulullah saw telah membuktikannya melalui penubuhan negara Islam yang pertama di Madinah. Bahkan baginda tidak pernah berhenti dan usaha tersebut diteruskan oleh para sahabat dan para tabi’in sehingga hampir dua pertiga dunia tunduk kepada kedaulatan hukum Allah swt.

Setelah mengkaji sirah secara terperinci, kita akan mendapati bahawa titik bermulanya Islam tersebar ke seluruh dunia adalah melalui kekuatan sebuah negara. Rasulullah saw berjaya membuka kota Mekah dan berjaya mewujudkan rasa gerun di kalangan kuasa-kuasa besar dunia ketika itu, iaitu Rom dan Parsi. Melalui sirah Rasulullah saw juga, kita akan dapati bahawa perjuangan yang dilalui oleh Rasulullah saw bukanlah suatu kebetulan, akan tetapi ianya telah dirancang dengan teliti melalui petunjuk daripada Allah swt. Perjuangan Rasulullah saw menubuhkan negara Islam dapat dibahagikan kepada tiga tahap di mana tahap sebelumnya menjadi prasyarat kepada tahap kemudiannya. Ia bermula dengan tahap Sirriyah, tahap Dzahriyah dan kemudiannya tahap Thalabun Nusrah bagi meraih sokongan dan kekuasaan politik untuk menerapkan Islam.

Idola kita yang sebenar adalah Nabi Muhammad saw. Baginda tidak ada tolok bandingannya dengan tokoh-tokoh dunia yang lain, artis mahupun bintang sukan. Tidaklah wajar bagi individu muslim menjadikan tokoh-tokoh selain baginda sebagai idola. Para sahabat dan para tab’in telah menjadikan Rasulullah saw sebagai titik rujukan dan idola mereka. Dengan ketaqwaan dan semangat yang mereka ikuti dari idola ini, mereka telah berjaya membawa Islam ke seluruh dunia dan suatu ketika pernah menguasai dua pertiga dunia. Tidak pernah dunia mengecap keadilan, keharmonian dan kerahmatan selain dari waktu ini.

لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِّمَن كَانَ يَرْجُو اللَّهَ وَالْيَوْمَ الْآخِرَ وَذَكَرَ اللَّهَ كَثِيراً

“Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri tauladan yang baik bagimu (iaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan ( kedatangan) hari kiamat dan ia banyak mengingati Allah” [ Al Ahzab (33) : 21]

Teks Arab oleh Syed Mohammad Rasel boleh didapati di http://nzmuslim.net/download

Adaptasi dari terjemahan: Samsuri Mohamad Ali (2010)