Bermula Dengan Memahami Sebuah Pengakhiran

Dalam buku 7 Habit of Highly Effective People tulisan Stephen Covey, beliau membayangkan apa yang manusia kejar seumur hidup ini seharusnya dinilai dengan sudut pandang di saat keranda diusung ke perkuburan.

Kita menatap wajah keluarga dan sahabat, lalu apa sebenarnya yang kita benar-benar mahu mereka nilai diri kita seumur hidup kita.

Ianya bukan kerana kereta mewah yang kita tinggalkan….

Ianya bukan tanah dan saham yang dibahagi atau direbut di kalangan waris….

Atau juga jawatan dan kedudukan kita yang kemudiannya diambil alih oleh orang sesudah kita…

Sebaliknya, “SIAPA” kita bagi orang-orang yang penting dalam hidup kita.

Di dalam Al Quran, terdapat banyak peringatan dari Allah tentang kematian, antaranya:

وَمَا جَعَلْنَا لِبَشَرٍ مِّن قَبْلِكَ الْخُلْدَ أَفَإِنْ مِّتَّ فَهُمُ الْخَالِدُونَ كُلُّ نَفْسٍ ذَآئِقَةُ الْمَوْتِ وَنَبْلُوكُم بِالشَّرِّ وَالْخَيْرِ فِتْنَةً وَإِلَيْنَا تُرْجَعُونَ }

Kami tidak menjadikan hidup abadi bagi seorang manusiapun sebelum kamu (Muhammad), maka jikalau kamu mati, apakah mereka akan kekal? Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati. Kami akan menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai ujian (yang sebenar-benarnya). Dan hanya kepada Kamilah kamu dikembalikan. [Al Anbiya:34-35].

Imam Ibnu Majah meriwayatkan:

عَنْ الْبَرَاءِ قَالَ كُنَّا مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي جِنَازَةٍ فَجَلَسَ عَلَى شَفِيرِ الْقَبْرِ فَبَكَى حَتَّى بَلَّ الثَّرَى ثُمَّ قَالَ يَا إِخْوَانِي لِمِثْلِ هَذَا فَأَعِدُّوا

Dari Al Bara’, dia berkata: Kami bersama Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam pada suatu jenazah, lalu Beliau duduk di tepi kubur, kemudian Beliau menangis sehingga tanah menjadi basah, lalu Beliau bersabda: “Wahai, saudara-saudaraku! Maka persiapkanlah untuk yang seperti ini,!” [HR Ibnu Majah, no. 4.190, dihasankan oleh Syaikh Al Albani].

Untuk menetapkan matlamat hidup, seharusnya kita memiliki pandangan menyeluruh, yang merangkumi pengkahiran yang kita inginkan. Dengan itu, kita memiliki motivasi dan “Big Why” yang memandu kita kepada impian yang kita sebenarnya ingin capai.

Bukanlah harta yang melimpah, jawatan yang tinggi atau apa-apa yang kita akan tinggalkan itu sepatutnya menjadi matlamat, sebaliknya ia hanya ALAT untuk kita memberi lebih banyak manfaat kepada manusia dan makhluk lain di sekeliling kita.

Kekuasaan, ilmu dan kekayaan itu merupakan amanah yang Allah pikulkan ke atas kita. Ia boleh jadi gedung pahala buat kita, juga boleh menjadi sesalan buat kita di akhirat kelak. Moga kita termasuk dalam golongan yang mati sebagai seorang Islam, sebagai orang beriman.

Pengakhiran Sebuah Kehidupan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *