Kemalangan Tragis di DUKE: Denda RM 10 000 untuk 3 nyawa?

Lumba haram yang menyebabkan 3 kematian, didenda RM 10 000 dan 3 tahun penjara. Ini merupakan salah satu manifestasi ketidak adilan dari penerapan hokum sekular ciptaan manusia yang bukan sahaja menzalimi mangsa dan ahli waris, tetapi juga terhadap pesalah dan masyarakat secara umumnya.

.

Menurut Abdul Rahman Al-Maliki di dalam kitabnya Nizamul Uqubat, pembunuhan dapat dikategorikan kepada empat jenis iaitu:-

(i) pembunuhan sengaja (qatlu al-amad)

(ii) mirip sengaja (shibhul amad)

(iii) tersalah (khata’)

(iv) tidak sengaja (ma ujri mujarral khata’).

.

Adalah menjadi perkara yang maklum minaddin bi dharurah (tidak ada alasan untuk tidak mengetahui) bahawa melakukan pembunuhan secara sengaja adalah haram secara qath’ie (pasti). Firman Allah SWT

.

“Dan barangsiapa yang membunuh seorang mukmin dengan sengaja, maka balasannya adalah Jahannam, kekal ia di dalamnya dan Allah murka kepadanya dan melaknatnya serta menyediakan azab yang besar baginya.” [TMQ an-Nisa’ (4):93].

.

Dalam Islam, diyat wajib dibayar kepada waris si mati dengan harga ketentuan tertentu. Terdapat dua jenis diyat iaitu pertama, diyat berat (mughallazah) yakni 100 ekor unta di mana 40 darinya mestilah bunting. Diyat ini diambil dari pembunuhan yang disengaja (qatlu al-amad) apabila walinya memilih untuk meminta diyat. Diyat ini juga diambil dari pembunuhan mirip sengaja (syibhul amad). Kedua, diyat yang tidak berat yakni 100 ekor unta sahaja. Diyat semacam ini diambil dari kes pembunuhan yang tersalah dan tidak sengaja. Dalil untuk kesemua ini diambil dari hadis Nabi SAW. Diriwayatkan oleh Imam Nasa’iy bahawa Amru bin Hazm meriwayatkan di dalam kitabnya bahawa Rasulullah SAW telah menulis surat kepada penduduk Yaman,

.

“Sesungguhnya di dalam jiwa seorang mukmin itu ada 100 ekor unta”.

.

Berbeza dengan undang-undang sekular Malaysia yang mengenakan hukuman bunuh ke atas pembunuh, Islam mewajibkan qisas ke atas si pembunuh. Qisas memberikan hak kepada ahli waris untuk mengambil salah satu daripada tiga pilihan. Diriwayatkan oleh Imam Ahmad dari AbiSyuraih al-Khaza’iy, ia berkata,

.

“Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda, “Barangsiapa ditumpahkan darah dan dilukai, maka ia berhak memilih salah satu di antara tiga ini, meminta qisas (bunuh balas), mengambil diyat atau memberi maaf.” [HR Tirmizi]

 

Hadis ini memberikan hak kepada seseorang anak Adam (ahli waris) untuk memilih salah satu daripada tiga bentuk hukuman ke atas si pembunuh.

.

“Dan barangsiapa dibunuh secara zalim, maka sesungguhnya Kami telah memberi kekuasaan kepada ahli warisnya, tetapi janganlah ahli waris itu melampaui batas dalam membunuh” [TMQ al-Isra’ (17):33].

.

FirmanNya yang lain,

.

“Diwajibkan atas kamu qisas berkenaan orang-orang yang dibunuh” [TMQ al-Baqarah (2):178].

.

Adapun mengenai pilihan yang diberikan kepada ahli waris, is diterangkan oleh Rasulullah SAW melalui hadis baginda,

.

“Barangsiapa yang terbunuh, maka walinya memiliki dua hak, boleh meminta diyat (tebusan) atau membunuh si pelakunya (qisas)” [HR Bukhari].

.

Mengenai diyat wang, maka ia diukur dengan emas sebanyak 1,000 dinar dan perak sebanyak 12,000 dirham. Dalil tentang diyat yang dibayar dengan emas adalah apa yang diriwayatkan oleh Nasa’i dari Abu Bakar bin Muhammad bin Amru bin Hazam dari bapanya dari datuknya,

.

“Dan bagi orang yang memiliki emas (diyatnya) sebanyak 1,000 dinar”.

.

Sedangkan dalil diyat dengan perak adalah berdasarkan riwayat Ikrimah dari Ibnu Abbas,

.

“Seorang lelaki telah membunuh, kemudian Nabi SAW menetapkan diyatnya sebanyak 12,000 dirham”.

.

Satu dinar syar’ie adalah setara dengan 4.25 gram emas dan satu dirham syar’ie adalah setara dengan 2.975 gram perak. Oleh itu, diyat bagi pihak yang terbunuh, bila dibayar dengan emas adalah sebanyak 4,250 gram atau jika dibayar dengan perak berjumlah sebanyak 35,700 gram perak. Diyat seorang yang merdeka adalah sama dengan diyat seorang hamba, begitu juga diyat seorang lelaki adalah sama dengan diyat seorang perempuan. Juga, tidak ada perbezaan di antara dewasa dan kanak-kanak atau Muslim dan zimmi, kesemua diyat mereka sama sahaja. Hal ini berdasarkan sabda Rasulullah SAW,

.

“Kaum Muslimin darahnya sepadan”. Juga sabda baginda, “Di dalam jiwa seorang mukminah terdapat 100 ekor unta”. Sabda baginda yang lain, “Perhatikan orang yang terbunuh kerana pembunuhan yang mirip sengaja, baik terbunuh kerana cambuk mahupun tongkat, maka diyatnya adalah 100 ekor unta.

.

Dalil-dalil ini berlaku umum tanpa dibezakan di antara lelaki mahupun wanita, merdeka mahupun hamba.

.

Pihak Yang Wajib Membayar Diyat

.

Mengenai pihak yang wajib membayar diyat, hal ini perlu dirincikan dan diperhatikan dengan cermat. Untuk kes pembunuhan sengaja (al-qatlu al-amad), diyat diambil dari harta si pembunuh, bukan dari aqilahnya. ‘Aqilah’ adalah pihak asabah  yang memiliki pertalian keluarga dari sebelah bapa (paternal relations/agnates). Adapun adik-beradik lelaki ibu (mother’s brothers) dan lain-lain saudara sebelah ibu (maternal relatives), suami/isteri dan siapa sahaja yang bukan dari sebelah bapa, kesemua mereka tidak termasuk dalam kategori aqilah. Adapun bapa dan anak lelaki bukanlah aqilah kerana aqilah adalah asabah yang tidak mewarisi kecuali bahagian yang ditinggalkan (baki/remainder) sahaja.

.

Dalil bahawa diyat tidak diambil dari aqilah dalam kes pembunuhan sengaja adalah berdasarkan banyak hadis. Antaranya adalah yang diriwayatkan dari Amru bin al-Ahwas bahawa ia hadir pada saat haji wida’ bersama Rasulullah SAW di mana baginda bersabda,

.

“Tidaklah seseorang pesalah/penjenayah melakukan jenayah kecuali (tertanggung) atas dirinya sendiri. Seorang anak tidak menanggung jenayah bapanya dan seorang bapa tidak menanggung jenayah anaknya”.

.

Dari Ibnu Mas’ud, ia berkata, Rasulullah SAW bersabda,

.

“Seorang lelaki (anak) tidak dihukum atas kesalahan bapanya mahupun saudaranya”.

.

Ini adalah dalil-dalil yang menunjukkan bahawa pembunuhan yang disengaja, diyatnya tidak dibebankan kepada aqilah si pembunuh. Begitu juga di dalam kes pengakuan membunuh (confession) di mana diyatnya tidak dibebani kepada aqilahnya. Dari Ubadah bin Samit bahawa Rasulullah SAW bersabda,

.

“Jangan bebani ke atas aqilah diyat walau sedikit, dari orang yang mengaku membunuh”.

.

Adapun untuk pembunuhan mirip sengaja (syibhul amad), tersalah (khata’) dan juga tidak sengaja (ma ujri mujarral khata’), dalam ketiga-tiga kategori ini, diyatnya adalah terbeban (wajib) ke atas aqilah,. Ini adalah berdasarkan hadis dari Abu Hurairah yang berkata,

.

“Dua orang wanita dari suku Huzail berkelahi. Salah seorang di antaranya melempar seorang lagi dengan batu. Wanita (yang dilempari batu) itu mati, begitu juga (bayi) yang dikandungnya. Nabi SAW menetapkan bahawa diyat atas janin adalah (membebaskan) hamba lelaki atau perempuan sedangkan diyat bagi wanita itu adalah atas aqilahnya (aqilah si pelempar)”.

.

Difahami dari hadis di atas bahawa membunuh dengan batu adalah termasuk pembunuhan mirip sengaja kerana (melempar) batu lazimnya tidak menyebabkan kematian. Manakala untuk pembunuhan tersalah dan tidak sengaja, terdapat hadis sahih dari Nabi SAW bahawa

.

“Baginda memutuskan bahawa diyat untuk pembunuhan yang tersalah adalah (dipertanggungjawabkan) kepada aqilahnya”.

.

Sebagai kesimpulan, diyat bagi pembunuhan mirip sengaja, tersalah dan juga tidak sengaja  adalah diwajibkan ke atas aqilah semata-mata, tidak diwajibkan ke atas ahli waris. Jadi, hanya aqilah sahajalah yang mesti membayarnya. Secara terperinci, aqilah seseorang adalah asyeerah (ahli keluarga)nya iaitu adik-beradik lelakinya, bapa saudara sebelah bapa (paternal uncles) dan anak-anak lelaki dari bapa saudara sebelah bapa (sepupu lelaki) sehinggalah kepada datuk yang ketiga (datuk kepada datuk).  Ia bermula dari fakhz (kaum keluarga) yang terdekat. Jika mereka tidak mampu, maka diyat dikumpulkan dari kerabat terdekat yang berikutnya dan seterusnya, yang mukallaf, lelaki dan merdeka dari kalangan asabah nasab (agnates by relation) kemudian asabah sabab (agnates by cause). Jika mereka ini tidak mampu atau tidak ada, maka diyatnya diambil dari Baitul Mal. Disebutkan di dalam hadis Sahal bin Abi Hasyamah tentang seseorang yang terbunuh di Khaibar,

.

“Kemudian Rasulullah SAW membayar diyatnya dari apa yang ia miliki (Baitul Mal)”.

.

Juga, di dalam hadis Amru bin Syuaib disebut,

.

“Kemudian baginda membayar diyatnya sebanyak 100 ekor unta dari unta sedekah”.

 

Diyat diambil dari aqilah secara samarata dan diambil dari aqilah yang mampu sahaja. Adapun mengenai persoalan kepada siapakah diyat ini diserahkan, ia diserahkan kepada ahli waris pihak yang terbunuh, bukan kepada aqilah mereka. Ini kerana terdapat hadis yang melarang pembayaran diyat kepada aqilah orang yang terbunuh [sila baca penjelasan penuh di dalam kitab Nizamul Uqubat, Abdul Rahman al-Maliki].

.

Sesungguhnya, kita tidak menginginkan penjenayah ini ‘diadili’ oleh hukum kufur kerana sememangya tidak akan ada keadilan di dalamnya kerana sesungguhnya kita yakin bahawa keadilan itu hanya akan dapat dicapai jika hukum Islam dilaksanakan. Kita juga yakin bahawa selagi hukum kufur ini terus membelenggu kita, maka kes-kes pembunuhan kejam seperti ini tidak akan dapat dihindari. Justeru, tidak ada lagi jalan untuk keluar dari keadaan yang amat buruk ini kecuali kita berusaha untuk menegakkan Daulah Khilafah di mana hanya dengan tertegaknya Khilafah sahajalah, barulah manusia akan benar-benar mendapat keadilan dan dunia ini akan berada dalam kesejahteraan dan kerahmatan kerana di kala itu hukum Allah menjadi hukum yang menaungi kita semua.

 

Adaptasi dari Sautun Nahdah 231: Hukum Pembunuhan Menurut Islam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *