
Bai’ah Adalah Metod Syarie Pengangkatan Khalifah
Ketika syarak mewajibkan umat Islam untuk mengangkat seorang Ketua Negara (Khalifah), syarak pun ternyata telah menggariskan thariqah (metode) yang wajib ditempuh untuk mewujudkannya. Metode ini ditegaskan oleh Al-Quran, As-Sunnah dan Ijmak Sahabat. Metode tersebut adalah bai’ah. Oleh itu, pengangkatan Khalifah hanya dapat/sah diwujudkan dengan bai’ah dari kaum Muslimin kepada seseorang (untuk memerintah) atas dasar Kitabullah dan Sunnah RasulNya. Kedudukan bai’ah sebagai metode pengangkatan Khalifah telah ditunjukkan oleh bai’ah kaum Muslimin generasi pertama kepada Nabi SAW. Disamping itu, ia ditegaskan lagi oleh perintah baginda sendiri kepada kita untuk membai’ah seorang Imam/Khalifah. Bai’ah kaum Muslimin kepada Rasullullah SAW bukanlah bai’ah atas kenabian, tetapi merupakan bai’ah atas kepimpinan baginda di bidang pemerintahan. Ini adalah kerana bai’ah yang mereka lakukan adalah bai’ah untuk melaksanakan (perintah) bukan untuk mempercayai kenabian. Dalam hal ini baginda di bai’ah dalam kapasiti baginda sebagai seorang Ketua Negara bukannya sebagai Nabi dan Rasul kerana pengakuan terhadap kenabian dan kerasulan itu adalah persoalan keimanan, bukan persoalan bai’ah. Oleh itu bai’ah yang diberikan kaum Muslimin kepada Rasullullah SAW, tidak lain adalah bai’ah dalam kapasiti baginda sebagai Ketua Negara.
Selain kedudukan bai’ah yang telah tercantum di dalam ayat Al-Quran yang disebutkan di atas, terdapat banyak sekali hadis yang merincikan persoalan bai’ah ini. Antaranya, Imam Bukhari meriwayatkan dari Ubadah bin Samit, ia berkata:
“Kami telah berbai’ah kepada Nabi SAW untuk senantiasa mendengar dan mentaati perintahnya, baik dalam keadaan yang kami senangi mahupun yang tidak kami senangi dan kami tidak akan merebut kekuasaan dari yang berhak dan agar kami senantiasa mengerjakan atau mengatakan yang haq di mana pun kami berada, tidak takut -kerana Allah- akan celaan dari orang-orang yang mencela.”
Imam Bukhari juga meriwayatkan bahawa Zainab binti Humaid datang menghadap Rasullulah SAW bersama anaknya, dia berkata,
“Wahai Rasullullah terimalah bai’ahnya.’ Baginda menjawab, ‘dia masih kecil’, kemudian Rasullulah mengusap-usap kepala anak kecil tersebut dan mendoakannya”.
Imam Bukhari juga meriwayatkan dari Abu Hurairah yang berkata bahawa Rasullulah SAW bersabda,
“Ada tiga golongan manusia di hari kiamat kelak yang tidak akan diajak berbicara oleh Allah, dan tidak akan disucikan olehNya, dan mereka akan diseksa dengan seksaan yang pedih, iaitu…orang yang membai’ah seorang Imam, tetapi hanya kerana mencari keuntungan duniawi, jika diberi ia akan menepati bai’ahnya dan jika tidak, ia tidak akan menepatinya…”
Ketiga hadis di atas secara jelas menegaskan bahawa bai’ah adalah satu-satunya metode untuk mengangkat Khalifah. Selain itu, terdapat hadis-hadis lain yang menyebutkan tentang bai’ah kepada Imam (Khalifah). Di dalam Sahih Muslim, dari Abdullah bin Amru bin Al-As, dinyatakan bahawa Nabi SAW bersabda,
“Siapa sahaja yang telah membait seorang Imam lalu memberikan uluran tangannya dan buah hatinya, maka hendaknya ia mentaatinya semampunya, dan jika datang orang lain yang hendak mengambil alih kekuasaannya, maka penggallah leher orang itu”.
Di dalam Sahih Muslim juga ditemukan hadis yang diriwayatkan dari Abu Said Al Khudri yang berkata, Rasullullah SAW bersabda,
“Jika dibai’ah dua orang Khalifah, maka bunuhlah yang terakhir dari keduanya.”
Imam Muslim juga meriwayatkan hadis dari Abu Hazim yang berkata,
“Aku telah mengikuti majlis Abu Hurairah selama lima tahun dan aku pernah mendengarnya menyampaikan hadis dari Nabi SAW yang bersabda, ‘Dahulu Bani Israel selalu dipimpin oleh para Nabi, setiap kali seorang Nabi meninggal, maka diganti oleh Nabi yang lain, dan sesungguhnya tidak akan ada Nabi sesudahku, (tetapi) nanti akan ada banyak Khalifah.’ Para sahabat bertanya, ‘Apa yang engkau perintahkan kepada kami? Baginda menjawab ‘Penuhilah bai’ah yang pertama dan yang pertama itu sahaja. Dan berikanlah hak mereka kepadanya, sebab Allah akan meminta pertanggungjawaban mereka atas apa yang mereka pimpin”.
Nas-nas Al-Quran dan As-Sunnah di atas secara jelas menunjukkan bahawa bai’ah adalah satu-satunya thariqah untuk pengangkatan Khalifah. Adapun realisasi bai’ah tersebut secara praktik dapat diketahui dengan jelas pada saat pengangkatan empat Khalifah sepeninggalan Rasullullah SAW iaitu Abu Bakar, Umar, Usman dan Ali. Seluruh sahabat pada waktu itu diam dan mengakui metode yang digunakan. Padahal metode pengangkatan tersebut termasuk perkara yang harus diingkari seandainya melanggar syarak, kerana ia berkaitan dengan sesuatu yang paling penting, dan menjadi sandaran keutuhan wadah kaum Muslimin serta kelestarian pemerintahan yang melaksanakan hukum Islam tersebut. Siapa sahaja yang meneliti peristiwa yang terjadi dalam pengangkatan keempat Khalifah itu akan mendapati bahawa sebahagian kaum Muslimin telah bermesyuarat di Saqifah Bani Sa’idah. Tokoh-tokoh yang dicalonkan sebagai Khalifah tidak lebih dari empat orang, mereka adalah Saad bin Ubadah, Abu Ubaidah, Umar bin Khatab dan Abu Bakar. Sebagai hasil mesyuarat adalah dibai’ahnya Abu Bakar oleh mereka yang hadir. Pada hari kedua, kaum Muslimin telah diundang ke masjid Nabawi lalu mereka membai’ah Abu Bakar. Bai’ah yang berlangsung di Saqifah adalah bai’ah in’iqad (bai’ah pelantikan) yang menjadikan Abu Bakar sah sebagai Khalifah. Sedangkan bai’ah di masjid pada hari kedua merupakan bai’ah at-ta’at.
Ketika Abu Bakar merasa bahawa sakitnya akan membawa ajal, beliau memanggil kaum Muslimin seraya meminta pertimbangan mereka tentang siapakah yang tepat untuk menjadi Khalifah. Pendapat yang muncul pada mesyuarat tersebut berkisar antara Ali dan Umar, dan tidak ada calon yang lain lagi. Kesempatan untuk meminta pertimbangan tersebut berlangsung hingga tiga bulan. Setelah tiga bulan berlalu, beliau dapat mengetahui pendapat majoriti kaum Muslimin, kemudian beliau segera mengumumkan bahawa Umarlah yang menjadi Khalifah sesudah beliau. Setelah Abu Bakar meninggal kaum Muslimin berdatangan ke masjid Nabawi dan membai’ah Umar untuk memegang tampuk pemerintahan Khilafah. Dengan bai’ah inilah Umar menjadi Khalifah, bukannya kerana permintaan pendapat mahupun penunjukan (pencalonan) dari Abu Bakar.
Begitu pula ketika Umar terluka parah akibat tikaman, kaum Muslimin segera meminta beliau agar menunjukkan (mencalonkan) penggantinya, tetapi beliau menolak. Setelah mereka terus memaksa, barulah beliau menunjukkan enam orang sahabat sebagai calon pengganti. Setelah beliau meninggal, proses pelantikan diamanahkan kepada salah seorang dari mereka iaitu Abdurrahman bin Auf, untuk mengumpulkan pendapat kaum Muslimin dan meminta pertimbangan mereka. Kemudian Abdurrahman mengumumkan pembai’atan kepada Usman. Kaum Muslimin pun segera melaksanakan bai’ah kepada Usman. Dengan akad bai’ah inilah Usman sah menjadi Khalifah bagi kaum Muslimin, bukan kerana penunjukan Umar, juga bukan kerana pengumuman Abdurrahman bin Auf. Kemudian ketika Usman terbunuh, serta merta kaum Muslimin Madinah dan Kufah membai’ah Ali. Sekali lagi, dengan bai’ah kaum Musliminlah yang menjadikan Ali sebagai Khalifah [Nidzamul Hukmi Fil Islam, Taqiyuddin an-Nabhani].
Selain dalil di atas, terdapat hadis lain yang begitu tegas menyatakan bahawasanya bai’ah itu adalah suatu kewajipan ke atas kaum Muslimin dalam mengangkat Khalifah. Nabi SAW juga dengan tegas bersabda,
“Barangsiapa yang mati sedangkan di pundaknya tidak ada bai’ah (kepada Khalifah), maka matinya seperti mati Jahiliyah” [HR Muslim].
Hadis ini menunjukkan bahawa bai’ah adalah kewajipan atas setiap Muslim dan hukum mengangkat Khalifah adalah wajib dan siapa sahaja yang mati dalam keadaan meninggalkan kewajiban ini, maka matinya adalah mati Jahiliyyah yakni mati seakan-akan kafir (dosa besar). Imam Nawawi berkata, “yakni dia mati seperti keadaan matinya orang-orang Jahiliyyah, di mana hidup mereka rosak dan tidak memiliki seorang pemimpin” [Sahih Muslim Bi Syarhi an-Nawawi XII/237]. Ibnu Hajar pula berkomentar, “mereka hidup dalam kesesatan dan mereka mati dalam kesesatan. Namun tidak dimaksudkan bahawa dia itu mati dalam kekafiran, tetapi dia mati dalam kemaksiatan” [Fathul Bari Bi Syarhi al-Bukhari].
Bagi orang kafir yang mati, semua amalannya gugur dan tidak bermanfaat baginya pada hari kiamat. Begitu pulalah dengan orang Islam yang tidak melakukan atau mengabaikan aktiviti untuk mewujudkan Khilafah (agar terwujud bai’ah di lehernya kepada Khalifah), maka sesungguhnya dia mati sebagaimana matinya orang kafir, walaupun pada hakikatnya ia bukanlah orang kafir, tetapi ini adalah kerana besarnya dosa yang dipikul akibat meninggalkan kewajipan tersebut. Kewajiban ini adalah di antara kewajiban utama dan paling agung, sebab dengan terwujudnya Khilafah, maka penerapan hukum-hukum Islam yang lain dapat dilaksanakan sepenuhnya. Tambahan pula, Khilafahlah yang akan mengurusi pelbagai urusan umat, menyelamatkan umat Islam dari pelbagai penderitaan dan cengkaman musuh, menjaga darah dan nyawa kaum Muslimin, melaksanakan semua jenis hudud, berjihad dan mengembang risalah Islam serta menebarkan rahmat ke seluruh penjuru alam.