Daulah Islam Menggunakan Dinar Dan Dirham

Daulah Khilafah hanya menggunakan emas dan perak sebagai matawang. Meyakini hal ini, ramai kawan yang rindu akan kembalinya Daulah Khilafah menyimpan dalam bentuk emas dan perak.

Memanglah pada hari ini, emas dan perak bukanlah matawang. Tetapi wang fiat yang kita miliki hari ini tidak akan lagi digunakan setelah tegaknya daulah.

Menurut Syeikh Abdul Qadim Zallum di dalam kitabnya, Al-Amwal Fi Daulatil Khilafah (1983), dinar dan dirham telah dikenali oleh orang Arab sebelum datangnya Islam, kerana aktiviti perdagangan yang mereka lakukan dengan negara-negara sekitarnya. Ketika pulang dari Syam, mereka membawa dinar emas Romawi (Byzantium) dan dari Iraq mereka membawa dirham perak Parsi (Sassanid). Kadang-kadang mereka membawa pula sedikit dirham Himyar dari Yaman. Jadi saat itu banyak matawang asing masuk ke Hijaz; bagaimanapun yang paling banyak adalah berupa dinar emas Romawi dan dirham perak Parsi.

Namun begitu, orang Arab saat itu tidak menggunakan dinar dan dirham tersebut menurut nilai nominalnya melainkan menurut beratnya. Ini adalah kerana matawang yang ada hanya dianggap sebagai kepingan emas atau perak. Mereka tidak menganggapnya sebagai matawang yang dicetak, mengingat bentuk dan timbangannya yang tidak sama dan kerana kemungkinan terjadinya penyusutan berat akibat peredarannya. Kerana itu, untuk mencegah terjadinya penipuan, mereka lebih suka menggunakan piawaian timbangan khusus yang telah mereka miliki iaitu auqiah, nasy, nuwah, mitsqal, dirham, daniq, qirath dan habbah.

Setelah Islam datang, Rasululllah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam mengakui (men-taqrir) berbagai muamalat yang menggunakan dinar Romawi dan dirham Parsi. Taqrir (pengakuan) dari Rasulullah inilah yang telah memperjelaskan kepada kita bahawa inilah sistem matawang Islam dan sekaligus menjadi hukum syara’ tentang kewajiban penerapannya. Sehubungan dengan dinar dan dirham ini, Rasulullah juga telah mengakui standard timbangan yang wujud pada waktu itu hendaklah diukur dengan menimbang berat dinar dan dirham. Tentang ini Rasulullah bersabda,

“Takaran adalah takaran penduduk Madinah dan timbangan adalah timbangan penduduk Makkah” [HR Abu Daud, an-Nasa’i, al-Baihaqi]

Melihat kepada kelebihan yang ada pada penggunaan emas dan perak sebagai mata wang, hal ini semata-mata sudah cukup untuk menjadikannya sebagai matawang negara. Namun, tuntutan syarak adalah pertimbangan utama untuk dilihat, berbanding pertimbangan kelebihan-kelebihan lain yang bakal diperoleh setelah pelaksanaannya.

Kewajipan penggunaan sistem mata wang dinar dan dirham adalah berdasarkan syariat Islam semata-mata, bukan atas dasar kestabilan nilai, manfaat dan sebagainya, melainkan ia merupakan perintah daripada Allah SWT yang telah memerintahkan kita untuk mengambil emas dan perak sebagai matawang. Inilah satu-satunya alasan dan sebenar-benar sebab kenapa kita perlu kembali kepada dinar dan dirham.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *