Buat Pemuda Islam

Saya terkilan tatkala memerhatikan gelagat anak-anak muda yang menghabiskan masa mereka dengan melepak, merempit, bermain permainan video, mabuk dengan “bercouple” dan menjalani hidup mereka bagaikan setiap saat masa muda yang mereka miliki, kesihatan yang dianugerahkan dan semangat muda yang dimiliki seolah-olah langsung tidak bererti buat mereka.

.

Saya perhatikan, sebahagian anggota masyarakat hari ini menjadi dewasa secara umur, tetapi minda mereka terperap di zaman remaja atau kanak-kanak akibat sebahagian besar masa mereka habiskan bukanlah di medan ilmu, perjuangan mahupun dakwah, sebaliknya ia berlalu dalam rangka mereka belajar (untuk dapat kerja yang bagus), bercinta melayan nafsu, main game sehingga ketagih yang mana masa yang berlalu tidak seiring perkembangan minda mereka. Tidak sedikit orang dewasa yang usianya mungkin sudah mencecah 40-an, tetapi minda mereka seakan baru mencecah kematangan.

.

Belum lagi sekiranya kita bicarakan mengenai POLITIK, yang memerlukan pemikiran tertinggi di antara semua bentuk pemikiran. Tidak sedikit di kalangan anak muda gagal memahami politik, tidak berminat dengan politik. Selain kecewa dengan karenah politikus dan parti politik, kebanyakan golongan muda sebenarnya masih terkial-kial mencari arah hidup yang menyebabkan mereka lebih menumpukan kepentingan peribadi berbanding kepentingan yang lain. Soal pelajaran, pekerjaan, cinta, mencari jodoh, mengumpul wang, membina kerjaya dan sebagainya, semua ini merupakan faktor penting yang menjadi fokus golongan muda untuk “diselesaikan” terlebih dahulu, sebelum beralih kepada bidang politik.

.

Terdapat pula sebahagian anak muda yang sememangnya malas mengambil tahu tentang politik dan hanya mementingkan hiburan atau minat masing-masing sahaja. Ada pula yang mementingkan keluarga kerana tanggungjawab menyara atau berbakti kepada orang tua yang lebih diutamakan berbanding hal-hal lain. Tidak kurang pula yang takut untuk berkecimpung dalam bidang politik, khususnya jika melawan arus kerana takut dengan risiko dipantau, dibuang kerja, ditangkap dan sebagainya. Halangan berpolitik di masjid dan kampus, undang-undang yang zalim seperti akta hasutan, akta mesin cetak, akta himpunan aman, SOSMA, POCA dan lain-lain, malah penangkapan berterusan ke atas mereka yang mengkritik pemerintah, faktor-faktor ini juga penting menjadikan golongan muda takut dan hilang minat untuk berpolitik.

.

Pelbagai tekanan hidup dan kerosakan yang ada di bawah sistem sekular-demokrasi pula menjadikan fokus hidup golongan muda tidak keruan sehingga sebahagian mereka bukan sahaja tidak mempedulikan politik atau masyarakat, tetapi telah menjadi sampah masyarakat. Segelintir anak muda yang agak Islamik jiwanya, lebih memilih untuk menunggu munculnya Imam Mahdi yang akan menyelamatkan umat ini, tanpa berbuat apa-apa!

Itulah antara faktor-faktor yang menjadikan banyak pihak sebenarnya, bukan sahaja golongan muda, tidak minat untuk berpolitik. Walau bagaimanapun, faktor sebenar yang merupakan faktor utama yang menjadi punca kepada perkara ini bukanlah hal-hal yang disebut di atas, tetapi salah faham maksud sebenar politik, itulah yang menjadi puncanya. Banyak pihak, termasuk golongan muda yang salah memahami maksud politik.

.

Ada yang memahami politik dengan makna yang sempit seperti pilihanraya atau parlimen. Ada pula yang memahaminya dalam konteks yang abstrak dan falsafah seperti pengambilan keputusan secara kolektif atau pembuatan polisi umum untuk masyarakat seluruhnya dan bermacam-macam pengertian lagi. Namun, yang paling popular ialah pendapat yang menganggap politik itu adalah kekuasaan dan segala hal yang terkait dengan kekuasaan, termasuklah perebutan untuk berkuasa.

.

Hasil daripada salah faham inilah dan dengan melihat keburukan pemerintah, karenah para politikus dan gelagat parti-parti politik dalam menjalankan aktiviti politik masing-masing, maka politik telah dilihat sebagai suatu yang kotor dan menjijikkan. Lebih-lebih lagi apabila berlakunya segala bentuk penipuan, kebodohan, rasuah, penyalahgunaan kuasa, penindasan, bermacam skandal, kezaliman dan lain-lain kerosakan yang melampau dalam negara akibat orang-orang politik, maka wajarlah bagi golongan muda dan banyak pihak untuk menjauhkan diri daripada politik kerana kekotoran dan kejijikan politik itu sudah tidak terbendung lagi. Sesungguhnya memang benar politik itu jijik dan kotor, jika yang dimaksudkan itu ialah politik dalam sistem demokrasi pada hari ini!

.

Selain individu Muslim, tanggungjawab yang sama iaitu memerhatikan urusan kaum Muslimin dan memuhasabah pemerintah, merupakan fungsi dan tugas utama sesebuah parti politik dalam Islam. Firman Allah SWT,

“Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat (jemaah) yang menyeru kepada kebajikan (Islam), menyuruh kepada yang makruf dan mencegah dari yang mungkar” [TMQ Ali Imran (3):104].

Berdasarkan nas yang jelas daripada al-Quran dan al-Hadis, berpolitik (dengan makna yang sebenar) merupakan sebuah kewajipan ke atas setiap individu Muslim dan juga jemaah Islam.

.

Maka, setiap Muslim dan jemaah Islam tidak ada pilihan kecuali wajib berpolitik, dengan maknanya yang sebenar. Ini kerana, politik adalah sebahagian daripada Islam, malah tidak boleh dipisahkan daripada Islam. Justeru, apa yang wajib dilakukan oleh golongan muda sekarang bukanlah menjauhkan diri daripada politik atau tidak mempedulikan politik, tetapi berpolitik dengan cara yang benar. Melarikan diri daripada politik bermakna melarikan diri daripada Islam itu sendiri! Perbuatan mementingkan diri sendiri sehingga tidak mempedulikan nasib dan keadaan saudara seIslam yang lain merupakan perbuatan yang diharamkan oleh Islam. Di sinilah pentingnya golongan muda memahami dan menjalankan tanggungjawab politik yang diletakkan oleh Islam ke atas setiap mereka.

.

Wahai golongan pemuda Islam! Bangkitlah kamu bersama Islam! Jangan biarkan diri kamu terus dibelenggu dengan pemikiran sekularisme, nationalisme, demokrasi, hak asasi manusia, kebebasan dan pemikiran-pemikiran kufur lain yang cuba ditanamkan oleh pemerintah sekular hari ini. Ketahuilah bahawa laungan nasionalisme dan watahniah  itu hanyalah seruan palsu yang tidak bernilai sedikitpun di sisi Allah! Berikanlah masa dan diri kamu untuk perjuangan Islam. Jadilah kamu seperti golongan awal para sahabat Rasulullah SAW yang rata-rata usia mereka begitu muda ketika mendokong perjuangan Nabi SAW.

(1) ‘Ali bin Abi Thalib yang berusia 8 tahun,

(2) Zubair bin al-Awwam 8 tahun,

(3) Thalhah bin ‘Ubaidillah seorang anak muda berumur 11 tahun,

(4) Arqam bin Abi al-Arqam anak muda berusia 12 tahun,

(5) ‘Abdullah bin Mas’ud berusia 14 tahun,

(6) Sa’id bin Zaid berumur kurang dari 20 tahun,

(7) Sa’ad bin Abi Waqash 17 tahun,

(8) Mas’ud bin Rabi’ah 17 tahun,

(9) Ja’far bin Abi Thalib 18 tahun,

(10) Shuhaib ar-Rumi di bawah 20 tahun,

(11) Zaid bin Haritsah sekitar 20 tahun,

(12) ‘Utsman bin ‘Affan sekitar 20 tahun,

(13) Thulaib bin ‘Umair sekitar 20 tahun,

(14) Khabab bin al-‘Arat sekitar 20 tahun,

(15) ‘Amir bin Fuhairah 23 tahun,

(16) Mush’ab bin ‘Umair 24 tahun,

(17) Miqdad bin al-Aswad 24 tahun,

(18) ‘Abdullah bin Jahsy 25 tahun,

(19) ‘Umar bin Khaththab 26 tahun,

(20) Abu ‘Ubaidah bin Jarrah 27 tahun,

(21) ‘Utbah bin Ghazwan 27 tahun,

(22) Abu Hudzaifah bin ‘Utbah sekitar 30 tahun,

(23) Bilal bin Rabah sekitar 30 tahun,

(24) ‘Ayasy bin Rabi’ah sekitar 30 tahun,

(25) ‘Amir bin Rabi’ah sekitar 30 tahun,

(26) Na’im bin ‘Abdillah sekitar 30 tahun,

(27) ‘Utsman, (28) ‘Abdullah, (29) Qudamah, dan (30) as-Saib bin Mazhun bin Hubaib. Umur Utsman sekitar 30 tahun, Abdullah 17 tahun, Qudamah 19 tahun dan as-Saib sekitar 20 tahun,

(31) Abu Salmah Abdullah bin Abdul al-Asad al-Makhzumiy yang umurnya sekitar 30 tahun,

(32) Abdurrahman bin Auf sekitar 30 tahun,

(33) Ammar bin Yasar berumur antara 30 hingga 40 tahun,

(34) Abu Bakar ash-Shidiq berumur 37 tahun,

(35) Hamzah bin Abdul Muthalib berumur 42 tahun.

.

Wahai anak-anak muda! Jika kalian ingin tinggalkan politik, ya silakan, tinggalkanlah politik demokrasi yang penuh kekotoran ini. Kembalilah kepada politik Islam, yakni dengan mengatur seluruh kehidupan kalian dengan perintah dan larangan Allah SWT. Buatlah apa yang Allah perintahkan dan tinggalkanlah apa yang Allah larang. Jika kalian tidak berpolitik dengan cara yang benar, apatah lagi jika kalian tidak mempedulikan hal-hal politik, maka kalian sebenarnya telah membiarkan diri kalian ditipu, diperbodohkan dan diatur oleh pemerintah dengan sewenang-wenangnya, yang mana hasilnya akan merugikan diri kalian sendiri. Sedarlah bahawa Islam tidak akan tegak secara kaffah kecuali dengan jalan politik. Sedarlah bahawa Negara Islam (Khilafah) juga tidak akan tegak kecuali dengan jalan politik. Sedarlah bahawa jika kalian tidak berpolitik dengan cara yang benar, maka kalian sebenarnya telah meninggalkan sebahagian daripada kewajipan yang penting dalam Islam dan kalian sebenarnya telah mencampakkan diri kalian ke dalam kebinasaan. Nauzubillah min zalik.

 

-Adaptasi dari Sautun Nahdah 551: Kenapa Golongan Muda Tidak Minat Politik? (Oktober 2017)-

Anak muda lebih mudah menerima perubahan dan menjadi agen perubahan secara alami.

Memahami Visi Hidup

Dengan visi yang jelas dalam hidup, seseorang tidak akan mengorbankan visi yang mahu dicapai dengan pembiasan yang tidak wajar, sekalipun ia merupakan sebahagian misi gerak kerja yang dilakukan.
.
Contoh, apabila ditetapkan visi sebuah perkahwinan itu untuk mencapai redha Allah, maka, seluruh aktiviti dan keutamaan harus tertumpu bagi mencapai visi itu, meskipun laluan yang harus ditempuh selalunya selalunya mudah. Bagi mancapai visi itu, boleh jadi misi yang dilakukan berupa menghadiri majlis ilmu dan membaca Al Quran bersama. Walaubagaimanapun, melakukan aktiviti seperti menghadiri majlis ilmu dan membaca Al Quran pula harus tidak lah sehingga berlaku pengabaian terhadap kewajipan lain. Ia sangat kontra produktif dalam mencapai visi sekalipun misi yang dijalankan kelihatan selari dengan visi yang ingin diraih.
.
Begitu juga dalam perniagaan, dalam urusan rasmi. Sepatutnya, aktiviti penting ini sentiasa selari dengan visi hidup. Kita bukan hidup sekadar untuk berkerja dan berniaga sebaliknya kita berkerja dan berniaga untuk hidup. Ada pihak yang menyuarakan kegusaran di sebalik keteribatan saya di medan dakwah kerana khuatir, ada kepentingan kerjaya atau perniagaan saya akan terjejas. Maka, saya katakan kepada mereka, sesungguhnya Allah hamparkan bumi ini berserta segala isinya sebagai sumber rezeki. Kita ditetapkan setiap dari kita rezki sehingga sampai ajal, maka biarlah urusan rezeki itu kita serah kepada Allah. Tugas kita sebaliknya menjalani seluruh hidup ini agar sesuai dengan visi kita.
.
Perlu diingatkan, visi itu boleh jadi berbahaya, ia boleh jadi harapan dan boleh pula menjadi penghancur, dalam keadaan tanpa sedar kita lebih sering punya visi penghancur berbanding visi harapan. Manusia memerlukan check and balance (muhasabah) dalam rangka konsisten dalam sesuatu tujuan dan matlamat.
.
Ketika Peperangan Khandaq, di saat kekurangan makanan dan segala kelengkapan, apa Rasullullah s.a.w bagi tidak lain kecuali harapan, visi yang sangat matang.

Nabi bersabda “Kota Konstantinopel akan dibebaskan oleh kalian, sebaik-baik pemimpin adalah pemimpinnya, sebaik-baik pasukan adalah pasukannya”, itu merupakan sebuah visi yang sangat jelas. Visi itu disampaikan Rasulullah di saat peperangan yang sangat mencekam dan menyeksa jiwa, pada ketika situasi sedang supayah-payahnya, hingga hanya yang terpilih, yang boleh meyakininya.

.

Setiap hari, mereka yang tak memiliki visi berfikir bagaimana untuk makan dan tidur dengan baik, padahal yang tak berfikir seperti kucing pun makan dan tidur juga. Mereka yang punya visi dalam setiap aktiviti hidupnya berfikir mencari ikhtiar agar visinya boleh terwujud lebih cepat, lebih mudah, lebih efisyen, menjadi lebih dari hari semalam. Lihatlah bagaimana Islam menuntun kita pada visi itu. “Iaitu mereka yang beriman pada yang ghaib”, yang tidak terlihat oleh mata, yakni Allah dan seluruh redha-Nya seperti firman Allah yang bermaksud: “(Orang yang bertakwa itu adalah) orang yang beriman kepada perkara ghaib, mendirikan solat dan membelanjakan sebahagian daripada rezeki yang Kami berikan kepada mereka,”(Surah al-Baqarah, ayat 3).

.

Islam memberikan kita visi terbaik, iaitu redha Allah dan segala bonusnya. Maka setiap Muslim adalah istimewa, bila ia benar-benar memahami agamanya, mereka bukanlah orang biasa. Maka di dunia ini, taat pada Allah dengan seluruh variannya adalah misi yang harus dicapai, bukan dengan ketaatan yang biasa, tapi ketaatan yang semaksimumnya.

Pelajaran Dari Angkasa

Saya terbaca mengenai kaedah water recovery digunakan NASA untuk misi angkasa lepas. Dalam misi sebegini, bekalan air untuk crew adalah inventory yang paling mahal untuk dibawa, dengan pertimbangan 1 kilogram berat menambah kos misi sebanyak USD 25 000, dan setiap orang crew secara purata menggunakan 30 liter air sehari sekalipun mereka berjimat cermat. Maka, kaedah terbaik bagi memastikan bekalan air sentiasa mencukupi ialah RECYLE. Mereka minum kopi dan mandi dengan air yang sebelum itu merupakan air kencing dan peluh mereka sendiri. Setakat ini, keupayaan water recovery system kepunyaan NASA boleh mengitarsemula 93% air dan mereka menyasarkan untuk kecekapan 98% recovery bagi menyiapkan misi menghantar manusia ke Marikh menjelang tahnun 2030.

.
Apa yang menarik di sini sebenarnya ialah KECEKAPAN mengitar semula segala sumber yang ada membawa kita ke tahap yang lebih tinggi, tanpa perlu terlalu bergantung kepada sumber bekalan tertentu secara berterusan.
.
Sekiranya kita kaitkan dengan dunia kewangan, kita dapati, banyak sumber kewangan kita dibazirkan kerana pergantungan kepada sumber bekalan tertentu semata-mata sedangkan kita tidak sepenuhnya memanfaatkan sumber berkenaan. Kita lebih senang membeli peralatan baru daripada membaikinya. Kita lebih cenderung membuang sisa makanan dari memanfaatkannya sebagai bentuk kegunaan lain (biomass atau baja contohnya).
.
Salah satu kaedah untuk meningkatkan kecekapan penggunaan sumber ialah dengan mengadakan audit secara berkala. Ini kerana, keadaan semasa tentu berubah-ubah dan memerlukan penyesuaian tertentu dalam menghadapi situasi semasa.
.
Kita tak perlu berharap akan sesuatu yang terlalu besar.Mungkin boleh mulakan dengan sekecil-kecil perkara seperti amalkan tabiat membaiki barang rosak, dari membuangnya terus. Tak lah susah sangat kan? Untuk berfikir pada skala besar dan melihat dari sudut yang lebih luas, kita juga sebenarnya boleh “mengitar semula masa”, iaitu memanfaatkan masa yang mampu kita jimatkan untuk perkara lain yang lebih bermanfaat.

 

Rujukan:

Water Recovery In Space, One/18, Metrohm (2018)

Hukum Bagi Jenayah Murtad Hanyalah Bunuh

 

Hukum Murtad Menurut Islam

Apabila seseorang keluar daripada Islam sedangkan ia baligh dan berakal maka ia diajak untuk kembali kepada Islam hingga tiga kali disertai peringatan. Jika ia kembali setelah itu maka akan diterima dan jika menolak maka akan dibunuh, sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta’ala,

”Barangsiapa yang murtad di antara kamu dari agamanya, lalu dia mati dalam kekafiran, maka mereka itulah yang sia-sia amalannya di dunia dan di akhirat, dan mereka itulah penghuni neraka, mereka kekal di dalamnya.” [TMQ Al-Baqarah, 2:217]

Hadis Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam pula mensabitkan hukuman kepada orang yang murtad. Imam Bukhari telah meriwayatkan dari Ikrimah yang berkata,

“Dihadapkan kepada Amirul Mukminin ‘Ali karamAllahu wajhah orang-orang zindiq, lalu beliau membakar mereka. Maka berita itu disampaikan kepada Ibnu Abbas dan beliau berkata ‘Seandainya aku, tidaklah aku bakar mereka kerana larangan Nabi Salallahu ‘alaihi wa Sallam yang bersabda “Jangan kamu menyiksa dengan siksaan Allah”. Akan tetapi pasti akan aku bunuh mereka kerana sabda Rasulullah Salallahu ‘alaihi wa Sallam “Barangsiapa yang menukar agamanya, hendaklah kamu bunuh akan dia”

Dalam riwayat Imam Ahmad disebutkan, “Allah dan RasulNya telah menetapkan, bahawa orang yang murtad dari agamanya maka dia mesti dibunuh.”

Banyak lagi hadis yang seumpama ini yang menunjukkan dengan jelas bahawa hukuman bagi orang-orang yang murtad adalah dibunuh. Mereka tidak dibakar. Ini disebabkan adanya larangan dari Rasulullah untuk mengazab seseorang dengan azab Allah, iaitu api (dibakar). Selain itu, keumuman hadis, “

Barangsiapa murtad maka bunuhlah ia”, menunjukkan bahawa hukum bagi mereka yang murtad adalah dibunuh. Sedangkan apa yang diperbuat oleh Ali radhiAllahu ‘anhu. tidak boleh dijadikan dalil, sebab yang menjadi pegangan kita di sini ialah perkataan Rasulullah, bukannya perbuatan Ali. Apa yang dilakukan oleh Ali adalah berdasarkan ijtihadnya yang mungkin pada waktu itu dibuat sebelum beliau mendengar hadis yang melarang mengazab seseorang dengan azab Allah (membakar).

Berkaitan pembahasan orang yang murtad dianjurkan untuk bertaubat dalam tempoh tiga hari adalah berdasarkan hadis dari Marwan, bahawa Rasulullah Salallahu ‘alaihi wa Sallam memerintahkan agar menasihati orang yang murtad. Abu Bakar juga pernah melakukan hal seperti ini. Daruquthniy dan Baihaqiy mengeluarkan hadis, “Bahawa Abu Bakar radhiAllahu ‘anhu menganjurkan wanita yang murtad untuk bertaubat. Wanita itu bernama Ummu Qurfah, di mana dia kafir setelah masuk Islam. Wanita itu tidak mahu bertaubat, sehingga beliau (Abu Bakar) membunuh wanita itu.”

Anjuran taubat selama tiga hari, bukanlah qayyid (batasan). Tiga hari adalah batas minima yang umumnya memungkinkan terjadinya insaf. Jika dalam tempoh itu masih juga tidak mahu insaf, maka tempoh itu boleh dilanjutkan (oleh Qadhi). Sebab, maksud dari anjuran bertaubat adalah menyedarkan dia tentang Islam, dan supaya dia kembali kepada Islam sehingga dia mesti diberikan masa yang mencukupi untuk bertaubat. Diriwayatkan bahawa Abu Musa memberi kesempatan bertaubat seorang yang murtad di mana kemudian Mu’az memerintahkan untuk membunuhnya. Kemudian Abu Musa membunuh orang murtad tersebut, setelah memberi kesempatan taubat selama dua bulan sebelum kedatangan Mu’az. Walaubagaimanapun, taubat hanya diterima jika dia tidak mengulangi kemurtadannya. Jika ternyata dia mengulanginya, maka taubatnya tidak diterima dan dia mesti dibunuh segera tanpa diberi tempoh lagi (tidak dikira lagi samada dia bertaubat atau tidak).

Diriwayatkan oleh Asyram dari Thibyana bin Umarah, “Bahawa seorang lelaki dari Bani Saad melintas ke Masjid Bani Hanifah, sedangkan mereka sedang membaca sajak Musailamah al Kadzab. Kemudian lelaki itu pergi kepada Ibn Mas’ud dan menceritakan kejadian itu. Kemudian mereka didatangi dan mereka disuruh bertaubat. Semuanya telah meninggalkan jalan keyakinan mereka kecuali seorang lelaki, di mana Ibn Nuwahah berkata kepadanya, “Sungguh aku melihat engkau satu kali, dan aku menduga engkau telah bertaubat, dan aku melihatmu mengulangi lagi perbuatanmu itu. Maka lelaki tersebut dibunuh.”

Seperkara yang perlu diperhatikan ialah dari segi perlaksanaan hukum di mana mereka yang dibenarkan untuk membunuh orang murtad adalah negara (pemerintah) atau orang yang ditugaskan oleh negara (Qadhi). Mana-mana individu atau jemaah tidak boleh melakukannya. Tugas individu atau jemaah hanyalah sebatas memberi peringatan, ancaman dan memuhasabah pemerintah yang tidak menerapkan hukum Islam. Malah wajib ke atas mana-mana individu atau jemaah meluruskan pemerintah dalam kes ini. Individu atau jemaah juga boleh berdakwah kepada mereka yang murtad agar kembali kepada Islam dan jika mereka berdegil, urusan mereka dikembalikan kepada pemerintah (untuk dihukumi).

 

Menjawab Kebohongan dan Pengeliruan

Di dalam mempertahankan perjuangan mereka, golongan sokong-murtad ini telah mengelirukan umat Islam dengan tafsiran ayat

“tidak ada paksaan dalam agama…” [TMQ al-Baqarah:256].

Mereka mengatakan bahawa orang Islam boleh keluar dari Islam berdasarkan ayat ini. Kesalahan mereka amat jelas dan ketara di mana ayat yang mulia ini sebenarnya menerangkan tidak ada paksaan ke atas orang kafir untuk memeluk Islam, bukan sebaliknya. Jadi meskipun wajib bagi orang kafir untuk masuk Islam (lihat Ali-Imran:3,19,85), mereka hendaklah memeluk Islam atas kerelaan dan kesedaraan sendiri dan bukan kerana ada paksaan.

Mereka juga berhujah mengatakan bahawa hadis “Barangsiapa menukar agamanya maka bunuhlah dia” sebagai Hadis Dha’if (lemah), kerana terdapat Muhamad bin Al-Fadhal di dalam sanadnya. Sebenarnya Muhamad bin Al-Fadhal diterima oleh ahli hadis, sehinggalah penghujung umur beliau. Imam Bukhari berkomentar bahawa dia adalah tsiqah (dipercayai) tetapi “berubah-ubah di penghujung umurnya”. Kebohongan golongan sokong-murtad ini jelas di mana mereka sebenarnya tidak mengkaji hadis ini dengan sempurna. Terdapat hadis yang sama diriwayatkan oleh Bukhari melalui 16 sanad yang lain yang tidak terdapat Muhamad bin Al-Fadhal di dalamnya. Yang mereka ketengahkan ialah satu sanad sahaja yang dikatakan tidak sahih kerana adanya Muhamad bin Al-Fahdhal (Hadis #6411) walhal terdapat 16 sanad yang lain (Hadis #2794) yang tidak terdapat Muhamad bin Al-Fadhal dan yang langsung tidak mengandungi kecacatan di dalamnya namun ini tidak pernah tidak dibincangkan oleh golongan sokong-murtad ini (lihat gambarajah).

Sanad hadis yang diserang – dakwaan ke atas satu dari periwayat. 16 sanad Hadis tentang bunuh bila tukar agama.

Terdapat banyak lagi pengeliruan dan kebohongan nas-nas yang dilakukan di dalam membolehkan murtad ini. Golongan ini sememangnya ‘kreatif’ di dalam mencari nas demi merubah hukum Allah. Disebabkan keterbatasan ruang, kami tidak dapat untuk menyiarkan semua hujah-hujah palsu mereka untuk dijawab. InsyaAllah di lain waktu akan diperbincangkan.

Khatimah

Slogan Hak Asasi Manusia yang dilaungkan oleh kafir Barat telah betul-betul dimanfaatkan oleh mereka untuk menguasai negara umat Islam dan meluaskan cengkaman mereka ke atas kita. Selain dari menjajah umat Islam dari segi ketenteraaan, politik, ekonomi, pemikiran dan kebudayaan, musuh-musuh Allah ini juga tidak pernah putus asa berusaha mengeluarkan kaum Muslimin dari agama Islam. Allah Subhanahu wa Ta’ala mengingatkan kita,

Mereka tidak henti-hentinya memerangi kamu sampai mereka (dapat) mengembalikan kamu dari agamamu (kepada kekafiran), seandainya mereka sanggup. Barangsiapa yang murtad di antara kamu dari agamanya, lalu dia mati dalam kekafiran, maka mereka itulah yang sia-sia amalannya di dunia dan di akhirat, dan mereka itulah penghuni neraka, mereka kekal di dalamnya”[TMQ al Baqarah:217].

Wahai kaum Muslimin! Kita semua tahu bahawa salah satu tujuan luhur Islam dalam menjaga masyarakat (yang disebut sebagai maqasid syar’iyyah) adalah ’menjaga agama/aqidah’. Allah sekali-kali tidak memberi hak dan keizinan ke atas manusia untuk menyekutukanNya atau tidak mempercayai kewujudanNya (atheist). Allah Subhanahu wa Ta’ala menjaga agamaNya melalui hukum bunuh ke atas orang-orang yang telah menukar kepercayaan (murtad) ini. Dan orang yang dibebankan oleh Allah untuk melaksanakan hukuman ini tidak lain tidak bukan adalah pemerintah. Wajib ke atas pemerintah menjaga agama Allah dengan menerapkan sistem yang datang dari Allah, bukan menerapkan hukum mengikut kehendak sendiri, kehendak manusia lain, apatah lagi kehendak musuh-musuh Allah (kafir Barat). Kita selalu berdoa dan mengharapkan supaya Allah menjadikan orang-orang yang bertaqwa/takut (kepada Allah) sebagai pemimpin kita, bukan pemimpin yang ’bertaqwa’ kepada Barat. Hanya pemimpin yang bertaqwa kepada Allah sahajalah yang akan menyelamatkan umat ini dari kehancuran.

 

Sumber: Sautun Nahdah 78 (2006)