Buat Pemuda Islam

Saya terkilan tatkala memerhatikan gelagat anak-anak muda yang menghabiskan masa mereka dengan melepak, merempit, bermain permainan video, mabuk dengan “bercouple” dan menjalani hidup mereka bagaikan setiap saat masa muda yang mereka miliki, kesihatan yang dianugerahkan dan semangat muda yang dimiliki seolah-olah langsung tidak bererti buat mereka.

.

Saya perhatikan, sebahagian anggota masyarakat hari ini menjadi dewasa secara umur, tetapi minda mereka terperap di zaman remaja atau kanak-kanak akibat sebahagian besar masa mereka habiskan bukanlah di medan ilmu, perjuangan mahupun dakwah, sebaliknya ia berlalu dalam rangka mereka belajar (untuk dapat kerja yang bagus), bercinta melayan nafsu, main game sehingga ketagih yang mana masa yang berlalu tidak seiring perkembangan minda mereka. Tidak sedikit orang dewasa yang usianya mungkin sudah mencecah 40-an, tetapi minda mereka seakan baru mencecah kematangan.

.

Belum lagi sekiranya kita bicarakan mengenai POLITIK, yang memerlukan pemikiran tertinggi di antara semua bentuk pemikiran. Tidak sedikit di kalangan anak muda gagal memahami politik, tidak berminat dengan politik. Selain kecewa dengan karenah politikus dan parti politik, kebanyakan golongan muda sebenarnya masih terkial-kial mencari arah hidup yang menyebabkan mereka lebih menumpukan kepentingan peribadi berbanding kepentingan yang lain. Soal pelajaran, pekerjaan, cinta, mencari jodoh, mengumpul wang, membina kerjaya dan sebagainya, semua ini merupakan faktor penting yang menjadi fokus golongan muda untuk “diselesaikan” terlebih dahulu, sebelum beralih kepada bidang politik.

.

Terdapat pula sebahagian anak muda yang sememangnya malas mengambil tahu tentang politik dan hanya mementingkan hiburan atau minat masing-masing sahaja. Ada pula yang mementingkan keluarga kerana tanggungjawab menyara atau berbakti kepada orang tua yang lebih diutamakan berbanding hal-hal lain. Tidak kurang pula yang takut untuk berkecimpung dalam bidang politik, khususnya jika melawan arus kerana takut dengan risiko dipantau, dibuang kerja, ditangkap dan sebagainya. Halangan berpolitik di masjid dan kampus, undang-undang yang zalim seperti akta hasutan, akta mesin cetak, akta himpunan aman, SOSMA, POCA dan lain-lain, malah penangkapan berterusan ke atas mereka yang mengkritik pemerintah, faktor-faktor ini juga penting menjadikan golongan muda takut dan hilang minat untuk berpolitik.

.

Pelbagai tekanan hidup dan kerosakan yang ada di bawah sistem sekular-demokrasi pula menjadikan fokus hidup golongan muda tidak keruan sehingga sebahagian mereka bukan sahaja tidak mempedulikan politik atau masyarakat, tetapi telah menjadi sampah masyarakat. Segelintir anak muda yang agak Islamik jiwanya, lebih memilih untuk menunggu munculnya Imam Mahdi yang akan menyelamatkan umat ini, tanpa berbuat apa-apa!

Itulah antara faktor-faktor yang menjadikan banyak pihak sebenarnya, bukan sahaja golongan muda, tidak minat untuk berpolitik. Walau bagaimanapun, faktor sebenar yang merupakan faktor utama yang menjadi punca kepada perkara ini bukanlah hal-hal yang disebut di atas, tetapi salah faham maksud sebenar politik, itulah yang menjadi puncanya. Banyak pihak, termasuk golongan muda yang salah memahami maksud politik.

.

Ada yang memahami politik dengan makna yang sempit seperti pilihanraya atau parlimen. Ada pula yang memahaminya dalam konteks yang abstrak dan falsafah seperti pengambilan keputusan secara kolektif atau pembuatan polisi umum untuk masyarakat seluruhnya dan bermacam-macam pengertian lagi. Namun, yang paling popular ialah pendapat yang menganggap politik itu adalah kekuasaan dan segala hal yang terkait dengan kekuasaan, termasuklah perebutan untuk berkuasa.

.

Hasil daripada salah faham inilah dan dengan melihat keburukan pemerintah, karenah para politikus dan gelagat parti-parti politik dalam menjalankan aktiviti politik masing-masing, maka politik telah dilihat sebagai suatu yang kotor dan menjijikkan. Lebih-lebih lagi apabila berlakunya segala bentuk penipuan, kebodohan, rasuah, penyalahgunaan kuasa, penindasan, bermacam skandal, kezaliman dan lain-lain kerosakan yang melampau dalam negara akibat orang-orang politik, maka wajarlah bagi golongan muda dan banyak pihak untuk menjauhkan diri daripada politik kerana kekotoran dan kejijikan politik itu sudah tidak terbendung lagi. Sesungguhnya memang benar politik itu jijik dan kotor, jika yang dimaksudkan itu ialah politik dalam sistem demokrasi pada hari ini!

.

Selain individu Muslim, tanggungjawab yang sama iaitu memerhatikan urusan kaum Muslimin dan memuhasabah pemerintah, merupakan fungsi dan tugas utama sesebuah parti politik dalam Islam. Firman Allah SWT,

“Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat (jemaah) yang menyeru kepada kebajikan (Islam), menyuruh kepada yang makruf dan mencegah dari yang mungkar” [TMQ Ali Imran (3):104].

Berdasarkan nas yang jelas daripada al-Quran dan al-Hadis, berpolitik (dengan makna yang sebenar) merupakan sebuah kewajipan ke atas setiap individu Muslim dan juga jemaah Islam.

.

Maka, setiap Muslim dan jemaah Islam tidak ada pilihan kecuali wajib berpolitik, dengan maknanya yang sebenar. Ini kerana, politik adalah sebahagian daripada Islam, malah tidak boleh dipisahkan daripada Islam. Justeru, apa yang wajib dilakukan oleh golongan muda sekarang bukanlah menjauhkan diri daripada politik atau tidak mempedulikan politik, tetapi berpolitik dengan cara yang benar. Melarikan diri daripada politik bermakna melarikan diri daripada Islam itu sendiri! Perbuatan mementingkan diri sendiri sehingga tidak mempedulikan nasib dan keadaan saudara seIslam yang lain merupakan perbuatan yang diharamkan oleh Islam. Di sinilah pentingnya golongan muda memahami dan menjalankan tanggungjawab politik yang diletakkan oleh Islam ke atas setiap mereka.

.

Wahai golongan pemuda Islam! Bangkitlah kamu bersama Islam! Jangan biarkan diri kamu terus dibelenggu dengan pemikiran sekularisme, nationalisme, demokrasi, hak asasi manusia, kebebasan dan pemikiran-pemikiran kufur lain yang cuba ditanamkan oleh pemerintah sekular hari ini. Ketahuilah bahawa laungan nasionalisme dan watahniah  itu hanyalah seruan palsu yang tidak bernilai sedikitpun di sisi Allah! Berikanlah masa dan diri kamu untuk perjuangan Islam. Jadilah kamu seperti golongan awal para sahabat Rasulullah SAW yang rata-rata usia mereka begitu muda ketika mendokong perjuangan Nabi SAW.

(1) ‘Ali bin Abi Thalib yang berusia 8 tahun,

(2) Zubair bin al-Awwam 8 tahun,

(3) Thalhah bin ‘Ubaidillah seorang anak muda berumur 11 tahun,

(4) Arqam bin Abi al-Arqam anak muda berusia 12 tahun,

(5) ‘Abdullah bin Mas’ud berusia 14 tahun,

(6) Sa’id bin Zaid berumur kurang dari 20 tahun,

(7) Sa’ad bin Abi Waqash 17 tahun,

(8) Mas’ud bin Rabi’ah 17 tahun,

(9) Ja’far bin Abi Thalib 18 tahun,

(10) Shuhaib ar-Rumi di bawah 20 tahun,

(11) Zaid bin Haritsah sekitar 20 tahun,

(12) ‘Utsman bin ‘Affan sekitar 20 tahun,

(13) Thulaib bin ‘Umair sekitar 20 tahun,

(14) Khabab bin al-‘Arat sekitar 20 tahun,

(15) ‘Amir bin Fuhairah 23 tahun,

(16) Mush’ab bin ‘Umair 24 tahun,

(17) Miqdad bin al-Aswad 24 tahun,

(18) ‘Abdullah bin Jahsy 25 tahun,

(19) ‘Umar bin Khaththab 26 tahun,

(20) Abu ‘Ubaidah bin Jarrah 27 tahun,

(21) ‘Utbah bin Ghazwan 27 tahun,

(22) Abu Hudzaifah bin ‘Utbah sekitar 30 tahun,

(23) Bilal bin Rabah sekitar 30 tahun,

(24) ‘Ayasy bin Rabi’ah sekitar 30 tahun,

(25) ‘Amir bin Rabi’ah sekitar 30 tahun,

(26) Na’im bin ‘Abdillah sekitar 30 tahun,

(27) ‘Utsman, (28) ‘Abdullah, (29) Qudamah, dan (30) as-Saib bin Mazhun bin Hubaib. Umur Utsman sekitar 30 tahun, Abdullah 17 tahun, Qudamah 19 tahun dan as-Saib sekitar 20 tahun,

(31) Abu Salmah Abdullah bin Abdul al-Asad al-Makhzumiy yang umurnya sekitar 30 tahun,

(32) Abdurrahman bin Auf sekitar 30 tahun,

(33) Ammar bin Yasar berumur antara 30 hingga 40 tahun,

(34) Abu Bakar ash-Shidiq berumur 37 tahun,

(35) Hamzah bin Abdul Muthalib berumur 42 tahun.

.

Wahai anak-anak muda! Jika kalian ingin tinggalkan politik, ya silakan, tinggalkanlah politik demokrasi yang penuh kekotoran ini. Kembalilah kepada politik Islam, yakni dengan mengatur seluruh kehidupan kalian dengan perintah dan larangan Allah SWT. Buatlah apa yang Allah perintahkan dan tinggalkanlah apa yang Allah larang. Jika kalian tidak berpolitik dengan cara yang benar, apatah lagi jika kalian tidak mempedulikan hal-hal politik, maka kalian sebenarnya telah membiarkan diri kalian ditipu, diperbodohkan dan diatur oleh pemerintah dengan sewenang-wenangnya, yang mana hasilnya akan merugikan diri kalian sendiri. Sedarlah bahawa Islam tidak akan tegak secara kaffah kecuali dengan jalan politik. Sedarlah bahawa Negara Islam (Khilafah) juga tidak akan tegak kecuali dengan jalan politik. Sedarlah bahawa jika kalian tidak berpolitik dengan cara yang benar, maka kalian sebenarnya telah meninggalkan sebahagian daripada kewajipan yang penting dalam Islam dan kalian sebenarnya telah mencampakkan diri kalian ke dalam kebinasaan. Nauzubillah min zalik.

 

-Adaptasi dari Sautun Nahdah 551: Kenapa Golongan Muda Tidak Minat Politik? (Oktober 2017)-

Anak muda lebih mudah menerima perubahan dan menjadi agen perubahan secara alami.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *