Respond Terhadap Wanji

Dalam berdebatan di Facebok tempohari, kawan lama saya, Wanji menyatakan bahawa negara Sudan dan Saudi melaksanakan uqubat Islam iaitu hudud, tetapi negara tetap mundur.

Berkomentar mengenai hujah ini, saya ada beberapa pandangan:

1. Uqubat Islam bukanlah semata-mata kepada hukuman, tetapi berupa pencegahan. Cuba bandingkan berapa banyak kes rogol di Saudi dibanding dengan Amerika, yang kes rogol direkodkan sebanyak 85593 keas pada tahun 2010 sahaja, bersamaan dengan 234 orang dirogol setiap hari. Dalam catatan sirah, Rasulullah s.a.w sengaja melengahkan hukuman ke atas seorang wanita yang datang kepada baginda dan mengaku berzina. Wanita itu sedia dihukum tetapi baginda menyuruh wanita itu tunggu sehingga anak dalam kandungannya dilahirkan. Kemudian selepas melahirkan anak, wanita itu datang lagi, dan Rasulullah s.a.w menyuruhnya pulang, sehingga anaknya itu tidak lagi menyusu. Wanita itu kembali dengan anaknya yang memegang roti (menunjukkan anak itu tidak lagi menyusu), lalu Rasulullah s.a.w melaksanakan hukuman rejam ke atas wanita itu.

Setelah direjam, baginda menyembahyangkan jenazahnya, namun hal itu menjadikan Umar Al-Khaattab bertanya kepada baginda: “Wahai Nabi Allah, perlukah dia disolatkan? Bukankah dia telah berzina?” Baginda menjawab: “Sungguh, dia telah bertaubat kalau sekiranya taubatnya dibahagi-bahagikan kepada tujuh puluh orang penduduk Madinah, pasti taubatnya akan mencukupi mereka semua. Adakah taubat yang lebih utama (hebat) daripada menyerahkan nyawa kepada Allah Ta’ala secara ikhlas?”

( Dicatatkan dari Sahih Muslim, no. 3209, Sunan Abu Daud, no. 3852)

2. Negara Sudan dan Saudi merupakan negara yang mengabdi kepada kuasa imperialis. Hasil bumi mereka banyak tetapi dijarah, dengan bantuan para pemerintah yang sangat taat kepada tuan mereka, berpaling dari menunaikan amanah menjaga rakyat sendiri. Maka, negara yang kaya ini mundur.

3. Kewajipan melaksanakan sistem Islam bukanlah semata-mata kerana manfaat kemakmuran yang diraih, sebaliknya ia kewajipan manusia sebagai hamba. Cara berfikir yang menganggap, asalkan baik, maju, kaya, maka ianya baik adalah cara berfikir yang rosak lagi menyesatkan.

4. Islam datang sebagai satu pekej lengkap. Selain uqubat (perundangan), ada lagi sistem-sistem lain yang melengkapkan seluruh aturan hidup untuk manusia dari aqidah ini. Melaksanakan uqubat Islam semata-mata tidak akan menjadikan sesuatu tamadun itu bangkit. Hanya dengan mengambil Islam secara keseluruhannya, kebangkitan hakiki mampu dicapai.

Simpul Yang Terurai

Dengan menyongsong (menelusuri) secara narrative, kita boleh ketemukan beberapa perwatakan dan perbuatan yang memiliki ciri khusus di antara banyak ciri :

1. Sokong parti liberal.
2. Perjuangan Islam jadi least priority
3. Ambil mudah hukum, pragmatik, sesuaikan dengan realiti
4. Aqidah Islam bukan lagi teras bagi seluruh permasalahan hidup, dimulai dengan pemerintahan, diakhiri solat, semuanya tertanggal berdasarkan hadis berikut:

.

عَنْ أَبِي أُمَامَةَ الْبَاهِلِيِّ عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ

لَيُنْقَضَنَّ عُرَى الْإِسْلَامِ عُرْوَةً عُرْوَةً فَكُلَّمَا انْتَقَضَتْ عُرْوَةٌ

تَشَبَّثَ النَّاسُ بِالَّتِي تَلِيهَا وَأَوَّلُهُنَّ نَقْضًا الْحُكْمُ وَآخِرُهُنَّ الصَّلَاةُ

.

Dari Abu Umamah Al Bahili dari Rasulullah Shallallahu’alaihiWasallam bersabda: “Sungguh ikatan Islam akan terurai simpul demi simpul. Setiap satu simpul terurai maka manusia akan bergantungan pada simpul berikutnya. Yang pertama kali terurai adalah masalah hukum pemerintahan dan yang paling akhir adalah solat.” [HR Ahmad]

Apapun kita kerjakan seusia hidup ni, tak bererti kalau ianya bukan untuk capai redha Allah. Harus kita perhatikan keberpihakan kita sebelum ianya menjadi sesalan buat kita di Yaumul Mahsyar kelak.

Tak Mampu Buat Semua Jangan Tinggal Semua

“ma la yudraku kulluhu la yutraku jalluhu/kulluhu” (apa yang tidak boleh diraih semuanya, tidak boleh ditinggalkan semuanya). Kaedah ini digunakan oleh parti pemerintah yang korup selama ini, terutama oleh ulama-ulama mereka yang dibayar gaji, bahawa jika pun mereka tidak dapat menerapkan keseluruhan Islam, tetapi mereka telah berusaha untuk menerapkan sebahagian kecil daripada Islam, yang seolah-olah melepaskan mereka daripada dosa dan tanggungjawab.

.

Pada dasarnya kaedah syarak adalah setiap kaedah yang digali daripada nas-nas syarak. Dengan demikian, status kaedah syarak sama dengan hukum syarak yang lain, sama-sama merupakan hukum yang digali daripada dalil syarak dan melalui proses ijtihad yang sahih. Disebut sebagai “kaedah” kerana hukum ini mempunyai posisi sebagai panduan umum, yang daripadanya hukum-hukum derivatif (turunan) dihurai. Namun, perlu diperhatikan bahawa kaedah syarak bukanlah dalil syarak (sumber hukum), dan tidak boleh dijadikan sebagai sumber hukum. Sumber hukum dalam Islam ialah al-Quran dan al-Sunnah, dan apa yang terbit daripada keduanya berupa Ijmak Sahabat dan Qiyas. Inilah empat sumber hukum yang tidak diperselisihkan oleh para ulama. Manakala sumber-sumber lain yang sebenarnya bukan sumber hukum tetapi dianggap demikian (dan diperselisihkan) oleh sebahagian ulama adalah seperti masolih mursalah, ijmak ulama, istihsan, syar’u man qablana, urf dan sebagainya.

.

Atas dasar itu, kaedah syarak, walaupun ia sebahagian daripada hukum syarak, namun ia bukanlah sumber hukum. Apa yang dilakukan terhadap kaedah syarak adalah menderivasi (menurunkan) hukum-hukum cabang, yang datangnya daripada kaedah tersebut. Oleh yang demikian, istilah yang digunakan dalam pemakaian “kaedah” ialah tafri’at al-ahkam (menderivasi hukum) dan bukannya istinbat al-ahkam (menggali hukum). Inilah ketentuan umum tentang kaedah syarak sebagai sebahagian daripada hukum syarak. Intinya, ia mesti digali daripada dalil syarak (sumber hukum) dan melalui ijtihad yang sahih dan bukan “direka” dengan kepandaian akal atau secara suka-suka oleh para mujtahid.

.

Bagi sesiapa yang mengkaji kitab-kitab klasik, baik fiqh mahupun usul fiqh, akan mendapati bahawa kaedah di atas agak jarang dipakai oleh para ulama fiqh dan usul. Kebanyakan ulama fiqh dan usul justeru menggunakan kaedah “al-maisur la yasquthu bi alma’sur” [Perkara yang mudah (dapat dikerjakan) tidak boleh dianggap gugur kewajipannya kerana adanya perkara yang sukar]. Meskipun kedua kaedah ini konotasinya sama, namun kaedah kedua lebih popular di kalangan ulama usul terdahulu, sementara yang pertama lebih popular di kalangan ulama usul mutakhir.

.

Kedua-dua kaedah ini menjelaskan tentang hukum menunaikan keseluruhan kewajipan syarak, yang wajib dilaksanakan walaupun ia suatu yang ma’sur (sukar). Ini kerana, sesukar mana sekalipun kewajipan tersebut sehingga tidak dapat dilaksanakan (pada waktu itu), ia tidak akan menggugurkan kewajipan lain secara keseluruhan, termasuklah yang maisur (yang boleh dilaksanakan). Dari sinilah, konteks kaedah ma la yudraku kulluhu la yutraku jalluhu(apa yang tidak boleh diraih semuanya, tidak boleh ditinggalkan semuanya) menemui persamaannya dengan kaedah al-maisur di atas. Dengan kata lain, dalam keadaan tidak mungkinnya suatu kewajipan untuk dilaksanakan secara keseluruhan, tidak bererti semuanya menjadi tidak wajib, atau boleh ditinggalkan, akan tetapi, mana yang mungkin itulah yang mesti dilaksanakan.

.

Dalam usaha menunaikan seluruh kewajipan, setiap satu daripada kewajipan hendaklah ditunaikan secara sempurna menurut hukumnya. Sebagai contoh, siapa pun tidak boleh mengatakan bahawa dalam keadaan kita tidak mampu menunaikan solat maghrib 3 rakaat, maka berdasarkan kaedah tersebut, kita dibolehkan solat maghrib dua rakaat. Siapa pun tidak boleh mengatakan bahawa dalam keadaan kita tidak mampu untuk berpuasa penuh sehari, maka kita dibolehkan berpuasa separuh hari. Sama sebagaimana siapa pun tidak boleh mengatakan bahawa kita boleh menyebat si penzina dengan 6 kali sebatan, kerana jika kita tidak dapat lakukan semuanya (100 kali), maka jangan ditinggalkan semuanya.

 

Adaptasi dari Sautun Nahdah 498 (12 May 2017)

 

 

Abu Hanzalah Bin Rabie (Al Ghasil – Jenazah Dimandikan Oleh Para Malaikat)

Abu Hanzalah bin Ar Rabie, salah seorang sahabat Rasulullah s.a.w yang gugur di medan Uhud. Ketika Perang Uhud tercetus, baginda s.a.w tidak mengizinkan Hanzalah untuk menyertai peperangan disebabkan beliau baru sahaja berkahwin dengan Jamilah binti Ubai bin Salul, seorang wanita yang sangat jelita. Tetapi, Hanzalah tetap berkeras lalu maju ke medan tempur.
.
Saat dalam peperangan Hanzalah berhadapan dengan Abu Sofyan terjadi pertarungan yang sangat sengit. Pedang dari Abu Hanzalah bin Ar Rabie berjaya menebas salah satu kaki kuda yang ditunggangi Abu Sofyan dan membuatnya terjatuh. Kemudian, muncul Syaddad bin Al Aswad untuk membantu Abu Sofyan.
.

Gambar kenangan ketika saya berziarah ke Bukit Uhud sewaktu manasik Haji pada tahun 1438 H lalu.
Salah satu dari kedua kaum Quraisy tersebut membunuh Hanzalah dengan hujaman lembing. Setelah itu, Abu Sofyan berseru dengan suara yang sangat lantang, mengkhabarkan bahawa Hanzalah telah terbunuh dan ia berhasil membalas dendam anaknya yang terbunuh saat perang Badar.
.
Setelah kaum muslimin berundur dari medan Uhud dengan kekalahan, mereka berdukacita dan menguruskan janazah para sahabat yang gugur syahid. Dalam suasana kesedihan itu, Rasulullah s.a.w memberitahu, jenazah Hanzalah telah dimandikan oleh para malaikat. Salah seorang sahabat Rasulullah s.a.w, Abu Said Saidi, melihat jenazah Hanzalah untuk membuktikan perkataan Rasulullah. Ketika melihat wajah Hanzalah bercahaya dan tersenyum, Abu Said sangat terkejut. Dari rambutnya terlihat titisan air, seluruh jasad Hanzalah basah di tengah padang pasir tandus Uhud. Rasulullah s.a.w juga mengatakan Hanzalah tidak dihisab, bahkan akan terus dapat mencium tanah syurga.Hanzalah tidak sempat mandi junub ketika maju menyahut seruan jihad sehingga beliau syahid. Para malaikat yang memandikan jasad mulia beliau.
.
Ini antara cebisan kisah para pejuang Islam yang sentiasa bersegera melakukan kewajipan, dan meraih kemuliaan di sisi Allah. Ini lah generasi umat yang terbaik yang sepatutnya menjadi ikutan kita semua sebagai umat Islam. Moga sedikit perkongsian ini memberi aspirasi buat kita semua dalam memperbaharui keimanan kita.

Usah Sandarkan Kepada Manusia

Dalam politik, tidak seharusnya kita sandarkan dokongan berdasarkan “orangnya” sebaliknya kita seharusnya sandar kepada “ideologinya”.

Ini kerana, manusia boleh berubah-ubah. Manusia akan mati, dan manusia sering berbuat silap. Atas premis ini, ersandar kepada manusia, menatijahkan kekecewaan dan penyesalan di kemudian hari.
.
Sebaliknya, ideologi sesuatu yang bersifat tetap, menjadi dasar kepada seluruh fungsi politik sehingga dari ideologi ini muncul pelbagai sistem hidup seperti sistem ekonomi, pendidikan, sosial dan sebagainya.
.
Begitu juga sekiranya yang disandar itu ialah puak atau jenama. Kita saksikan sendiri, PAS dan UMNO yang bersekutu sejak sekian lama kini berkerjasama erat (kalau dulu selalu disebut UG- Unity Government), realiti hari ini mengarah kepada apa yang disebut-sebut itu.
.
Di sisi lain pula, semakin ramai pemimpin dan ahli UMNO menyertai Bersatu, salah satu parti komponen Pakatan Harapan, menjadikan Bersatu sebagai “UMNO Baru”.
.
Kerjasama berasaskan manfaat semasa itu lumrah dalam sistem politik sekular. Setelah hilangnya manfaat, ikatan ini akan melonggar dan terputus.

Islam Untuk Seluruh Manusia

Islam itu diwahyukan sebagai bersifat neutral, untuk mengurus manusia dari apapun latar belakang mereka.

Sedang dalam urusan menyucikan najis agama ini memberi panduannya, apalagi dalam perkara sebesar-besar menjaga urusan negara.

Mungkin ada yang berpandangan, “Islam itu sepihak. Kerana ada bentuk kepercayaan dan agama lain di dunia ini”

Benar, sebab selamanya tetap ada manusia dengan pelbagai keragaman, dan Islam mengatur keberagaman ini secara fitrah sehingga tidak ada lagi kezaliman dan sekiranya ada, ia pasti berdepan dengan mekanisma ratifikasi tertentu seperti nasihat, pendidikan dan hukuman.

Islam bukan ideologi barbarik, yang memangsakan golongan lemah dan mengayakan segelintir manusia. Selama ribuan tahun, agama ini terpelihara kemurniannya, dan akan terus dipelihara hingga hari kiamat. Al Quran tidak mampu dipinda oleh mana-mana pemuisi agung dari kalangan manusia mahupun jin, intipatinya mendahului zaman dan waktu.