Tak Mampu Buat Semua Jangan Tinggal Semua

“ma la yudraku kulluhu la yutraku jalluhu/kulluhu” (apa yang tidak boleh diraih semuanya, tidak boleh ditinggalkan semuanya). Kaedah ini digunakan oleh parti pemerintah yang korup selama ini, terutama oleh ulama-ulama mereka yang dibayar gaji, bahawa jika pun mereka tidak dapat menerapkan keseluruhan Islam, tetapi mereka telah berusaha untuk menerapkan sebahagian kecil daripada Islam, yang seolah-olah melepaskan mereka daripada dosa dan tanggungjawab.

.

Pada dasarnya kaedah syarak adalah setiap kaedah yang digali daripada nas-nas syarak. Dengan demikian, status kaedah syarak sama dengan hukum syarak yang lain, sama-sama merupakan hukum yang digali daripada dalil syarak dan melalui proses ijtihad yang sahih. Disebut sebagai “kaedah” kerana hukum ini mempunyai posisi sebagai panduan umum, yang daripadanya hukum-hukum derivatif (turunan) dihurai. Namun, perlu diperhatikan bahawa kaedah syarak bukanlah dalil syarak (sumber hukum), dan tidak boleh dijadikan sebagai sumber hukum. Sumber hukum dalam Islam ialah al-Quran dan al-Sunnah, dan apa yang terbit daripada keduanya berupa Ijmak Sahabat dan Qiyas. Inilah empat sumber hukum yang tidak diperselisihkan oleh para ulama. Manakala sumber-sumber lain yang sebenarnya bukan sumber hukum tetapi dianggap demikian (dan diperselisihkan) oleh sebahagian ulama adalah seperti masolih mursalah, ijmak ulama, istihsan, syar’u man qablana, urf dan sebagainya.

.

Atas dasar itu, kaedah syarak, walaupun ia sebahagian daripada hukum syarak, namun ia bukanlah sumber hukum. Apa yang dilakukan terhadap kaedah syarak adalah menderivasi (menurunkan) hukum-hukum cabang, yang datangnya daripada kaedah tersebut. Oleh yang demikian, istilah yang digunakan dalam pemakaian “kaedah” ialah tafri’at al-ahkam (menderivasi hukum) dan bukannya istinbat al-ahkam (menggali hukum). Inilah ketentuan umum tentang kaedah syarak sebagai sebahagian daripada hukum syarak. Intinya, ia mesti digali daripada dalil syarak (sumber hukum) dan melalui ijtihad yang sahih dan bukan “direka” dengan kepandaian akal atau secara suka-suka oleh para mujtahid.

.

Bagi sesiapa yang mengkaji kitab-kitab klasik, baik fiqh mahupun usul fiqh, akan mendapati bahawa kaedah di atas agak jarang dipakai oleh para ulama fiqh dan usul. Kebanyakan ulama fiqh dan usul justeru menggunakan kaedah “al-maisur la yasquthu bi alma’sur” [Perkara yang mudah (dapat dikerjakan) tidak boleh dianggap gugur kewajipannya kerana adanya perkara yang sukar]. Meskipun kedua kaedah ini konotasinya sama, namun kaedah kedua lebih popular di kalangan ulama usul terdahulu, sementara yang pertama lebih popular di kalangan ulama usul mutakhir.

.

Kedua-dua kaedah ini menjelaskan tentang hukum menunaikan keseluruhan kewajipan syarak, yang wajib dilaksanakan walaupun ia suatu yang ma’sur (sukar). Ini kerana, sesukar mana sekalipun kewajipan tersebut sehingga tidak dapat dilaksanakan (pada waktu itu), ia tidak akan menggugurkan kewajipan lain secara keseluruhan, termasuklah yang maisur (yang boleh dilaksanakan). Dari sinilah, konteks kaedah ma la yudraku kulluhu la yutraku jalluhu(apa yang tidak boleh diraih semuanya, tidak boleh ditinggalkan semuanya) menemui persamaannya dengan kaedah al-maisur di atas. Dengan kata lain, dalam keadaan tidak mungkinnya suatu kewajipan untuk dilaksanakan secara keseluruhan, tidak bererti semuanya menjadi tidak wajib, atau boleh ditinggalkan, akan tetapi, mana yang mungkin itulah yang mesti dilaksanakan.

.

Dalam usaha menunaikan seluruh kewajipan, setiap satu daripada kewajipan hendaklah ditunaikan secara sempurna menurut hukumnya. Sebagai contoh, siapa pun tidak boleh mengatakan bahawa dalam keadaan kita tidak mampu menunaikan solat maghrib 3 rakaat, maka berdasarkan kaedah tersebut, kita dibolehkan solat maghrib dua rakaat. Siapa pun tidak boleh mengatakan bahawa dalam keadaan kita tidak mampu untuk berpuasa penuh sehari, maka kita dibolehkan berpuasa separuh hari. Sama sebagaimana siapa pun tidak boleh mengatakan bahawa kita boleh menyebat si penzina dengan 6 kali sebatan, kerana jika kita tidak dapat lakukan semuanya (100 kali), maka jangan ditinggalkan semuanya.

 

Adaptasi dari Sautun Nahdah 498 (12 May 2017)

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *