Ikut Sistem Islam atau Najasy?

Dari penelitian terhadap hadis yang menyebut mengenai Najasy, langsung tidak mengandungi pengertian yang menunjukkan bahawaNajasy yang telah diberitahukan kematiannya oleh Rasulullah SAW kepada sahabat lalu baginda solat bersama para sahabat, adalah Najasy yang berkuasa di Habsyah ketika kaum Muslimin berhijrah ke sana. Juga, tidak ada khabar yang menunjukkan bahawa dia adalah Najasy yang menerima surat (dakwah) Rasulullah SAW yang mengajaknya masuk Islam. Ini kerana istilah “Najasy” bukanlah nama peribadi, melainkan gelaran yang diberikan kepada penguasa-penguasa yang memerintah Habsyah.

Hal ini disebutkan oleh Imam Nawawi pada jilid ke-12 dari kitabnya, Syarah Sahih Muslim. Juga disebutkan oleh Ibnu Hajar al-Asqalani dalam juz ke-3 kitab al-Ishabah.

Di dalam juz ke-12 dari kitab Syarah Sahih Muslim an-Nawawi, disebutkan bahawa Najasy yang dikirimi surat oleh Rasulullah SAW dan diajaknya masuk Islam pada akhir tahun ke-6 Hijriah, setelah baginda kembali dari Perang Hudaibiyah, bukanlah Najasy yang Rasulullah SAW solat jenazah untuknya. Teksnya berbunyi,

“Dari Anas,bahawa Nabi SAW telah menulis surat kepada Kisra, kepada Kaisar dan kepada Najasy serta kepada setiap Jabbar (penguasa), mengajak mereka kepada Allah Ta’ala, bukan Najasy yang Nabi SAWmensolat (jenazahkan) atasnya”.

Dari hadis ini jelas bahawa Najasy yang Rasulullah SAW solat jenazah atas kematiannya bukanlah Najasy yang ada pada saat kaum Muslimin berhijrah ke Habsyah, untuk hidup di bawah lindungannya dan bukan juga Najasy yang telah dikirimi surat oleh baginda.

Bagi mereka yang beristidlal dengan kisah Najasy sebagai alasan untuk menafikan kewajipan menegakkan Khilafah kerana Najasy yang memeluk Islam terus memerintah sebuah kerajaan Kristian, dengan hukum yang tidak bersumberkan Quran, wajib sedar bahawa yang wajib dijadikan dalil (dan ikutan) bagi kita ialah perintah Allah SWT di dalam Al-Quran dan pemerintahan Rasulullah SAW itu sendiri, bukannya pemerintahan Najasy.

Berapa banyak dari ayat-ayat Al-Quran yang memerintahkan kita untuk menerapkan hukum Allah sehingga orang yang tidak menerapkannya akan menjadi kafir, zalim dan fasik. Adanya kisah Najasy yang tidak menerapkan Islam bukanlah boleh dijadikan dalil untuk menafikan kewajipan menerapkan hukum Allah. Mereka yang berhujah dengan kisah Najasy ini seolah-olah mahu menolak apa yang diterapkan oleh Muhammad SAW dan Khulafa’ Rasyidin sehingga mahu mengambil apa yang diterapkan oleh Najasy! Janganlah kita mencari-carihujah untuk tidak menerapkan Islam dengan beristidlal kepada kisah Najasy(semoga Allah mengampuni dan merahmatinya) kerana yang wajib untuk kita beristidlal adalah kepada Kitabullah dan Sunah RasulNya

Allahua’lam.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *