Hukum Jual Beli Emas

Muawiyah RA berijtihad mengeluarkan barang kemas dari item ribawi kerana berpandangan ia bukan lagi matawang dan adanya campur tangan manusia dari segi kos upah dan seni pertukangan di dalamnya. Khalifah Umar RA mengetahu hal ini dan membatalkan pandangan Muawiyah RA itu. Para sahabat akur dengan perintah Khalifah Umar RA termasuk Muawiyah RA.


Muawiyah RA kemudiannya mengadopsi pandangannya itu ketika beliau menjawat jawatan sebagai Khalifah. Para sahabat juga akur dengannya.

Melihat isu ini sebagai “hakim”, seolah-olah ada pihak membenarkan transaksi riba dan ada yang mengharamkannya. Sama ada Umar RA atau Muawiyah RA, keduanya merupakan sahabat yang sangat tinggi kedudukan mereka di sisi Rasulullah s.a.w.


Memahami latarbelakang mereka, Muawiyah Bi Abi Sufyan adalah ahli perniagaan yang sangat memahami selok-belok dunia perniagaan. Umar RA pula seorang yang sangat teguh pegangannya kepada Islam dan sangat tegas dalam menjaga agama Allah. Kita tidak layak menghakimi mereka.


Hari ini, selepas lebih seribu tahun berlalu, realiti muamalat berkembang dan jauh berbeza dengan zaman Rasulullah s.a.w dan para sahabat. Maka, ketetapan hukum syarak dalam muamalat juga perlu ditentukan dari pemahaman realiti zaman ini dalam kerangka tidak menyalahi konteks nas syarak.


Perbezaan Muawiyah RA dengan Umar RA dalam menetapkan emas perhiasan sebagai item ribawi atau bukan ribawi ini antara contoh khilaf yang muktabar dalam perkara ini. Tidaklah wajar segelintir umat Islam mengharamkan semua transaksi jual beli emas secara online, dengan alasan memahami yadan bi yadin, mithla bi mithlin dalam konteks majlis akad dan serah terima itu mesti berdepan antara penjual dengan pembeli, mesti bayar secara serentak tanpa memperkirakan tempoh jangka waktu bagi pihak penjual emas untuk verify bayaran yang dilakukan sebelum menyerahkan emas, ataupun pihak pembeli untuk mengesahkan ketulenan dan berat emas yang mereka beli.


Dalam transaksi jual beli modern, verification itu mungkin mengambil masa, dan ia tidak berlaku di zaman silam. Keberadaan pihak assayers yang bertindak menentukan ketulenan emas, dan pihak bank/FPX/Block chain/exchange yang menyediakan platform transaksi bukan realiti di zaman Rasulullah s.a.w tetapi ia realiti di zaman ini.


Saya tidak menyatakan realiti mengubah status hukum, tetapi konteks realiti 1000 tahun lalu berkenaan “majlis akad” tidak sama dengan konteks hari ini. Pembayaran dan pemindahan milik 1000 tahun lalu ialah dengan serah dan terima dari tangan ke tangan, sedangkan possession ketika ini boleh berlaku dengan beberapa klik di alam maya. Contoh mudah, majikan bayar gaji dengan kaedah IBG (Inter Bank GIRO) menjadikan gaji yang dibayar dikira sebagai diterima oleh pekerja walaupun dia cuma melihat angkanya melalui telefon. Pekerja boleh menggunakan wang itu setelah ia masuk, tetapi ada masa ia “floating” angkanya muncul tetapi belum boleh guna lagi.


Begitu pula dari sudut “serah terima”. Apabila emas yang dibeli itu adalah emas fizikal yang sememangnya wujud secara hakiki, dan boleh dikeluarkan oleh pemilik tanpa halangan oleh penjual, pembeli emas berhak mewakilkan sesiapa sahaja termasuk pihak penjual untuk menyimpan bagi pihaknya, dalam akaun milik pembeli (hak milik sudah bertukar dari penjual kepada pembeli), maka ia diterima sebagai serah terima walaupun emasnya belum dilihat di depan mata. Inilah juga serah terima yang berlaku apabila seorang pemilik kilang melebur emas membeli emas dari pelombong. Mereka melantik pihak tertentu menentukan kualiti dan berat (assayers) bagi mengaudit item yang dibeli tanpa keperluan pemilik kilang berdiri di tepi lombong emas bagi menyelesaikan akad jual beli kerana syarat rigid serah terima yang difahami perlu berlaku di depan mata.


Gharar dan Hasah


Hadis Rasulullah s.a.w:


Dari Abu Hurairah RA bahawa dia berkata “Rasulullah SAW melarang jual beli hasah dan jual beli gharar”. [HR Muslim]


Gharar ialah transaksi yang berlaku dalam ketidakpastian. Contohnya, membeli ikan dari nelayan yang akan ke laut untuk menangkapnya. Ikan belum lagi dimiliki nelayan, tidak boleh dibeli menurut pandangan syarak.


Hasah pula kewujudan unsur rawak dalam membeli. Contoh, membeli durian di hadapan penjual, kemudian penjual menyuruh pembeli melontar batu hingga terkena mana-mana durian, maka durian itu menjadi miliknya.


Dalam persoalan ini, kewujudan assayers bertauliah sebagai pihak yang menjalankan audit berkala untuk menentukan berat dan kualiti emas menghilangkan unsur gharar. Setiap emas yang dimiliki penjual dipastikan wujud secara fizikal, tanpa memerlukan pembeli untuk pergi sendiri ke peti keselamatan pihak penjual untuk menegsahkannya.

Pengenalan nombor siri pada produk emas pula menghilangkan sifat hasah pada urusan jual beli emas. Ini kerana, setiap keping emas yang dijual beli dipastikan secara khusus dengan identifikasi yang diyakini.


Kemudahan Tetapi Bukan Mengambil Mudah


يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْرَ وَلِتُكْمِلُوا الْعِدَّةَ وَلِتُكَبِّرُ


“…Allah menghendaki kemudahan untuk mu, dan tidak menghendaki kesukaran bagimu… [Al Baqarah Ayat 185]


Dalam ayat ini Allah menjelaskan mengenai kemudahan dalam menjalankan ibadat puasa Ramadhan.


Tafsiran yang terlalu rigid dengan mengambil konteks yang khusus untuk seluruh isu dalam urusan muamalat akan menyempitkan ajaran Islam. Sedangkan kita semua beriman bahawa Allah mengutuskan Rasullullah s.a.w untuk membawa petunjuk sepanjang zaman.


Di atas keluasan fiqah, kita seharusnya mengambil kira konteks yang benar, tanpa mengubah hukum asal yang Allah tetapkan. Maka, dalam persoalan transaksi emas, perak dan lain-lain item ribawi, adalah sangat banyak perbahasan yang telah berlangsung sejak sekian lama di kalangan para ulama, dan tidaklah seharusnya seorang muslim yang baru mula mengenal beberapa hukum feqah begitu tergesa-gesa menjadi qadhi dan hakim, meriba’kan semua orang yang mengambil qaul yang berbeza dari mereka.


Credit to: https://jomurusduit.com/2017/11/jenis-riba-contoh-situasi.html

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *