Kenali Sahabat Rasulullah s.a.w

Khalid Ibn Walid RA terkenal dengan jolokan “Pedang Allah”. Beliau merupakan seorang panglima perang dalam angkatan tentera kaum muslimin di zaman Rasulullah s.a.w dan khalifah terkemudian. Pasukan perang kaum muslimin tidak pernah dikalahkan di bawah kepimpinan beliau, malah dengan kebijaksanaan Khalid Ibn Walid RA, 3000 orang pasukan kaum muslimin gagal dihabisi oleh 100 000 tentera Rom yang dibantu pakatan tentera arab berkekuatan 100 000 tentera dalam Perang Mu’tah غزوة مؤتة walaupun ketika itu, pasukan kaum muslimin dalam keadaan yang benar-benar tersepit.

Dalam catatan sirah, Khalid (RA) dikatakan pernah membunuh tawanan perang dari kabilah Bani Juzaimah, walhal beliau tidak diperintahkan sedemikian sehingga Rasulullah s.a.w bersabda, “Ya Allah, aku berlepas diri (mohon perlindunganMu) dari apa yang telah dilakukan oleh Khalid bin Walid.” [HR Bukhari]

Hal itu adalah kesalahan yang telah dilakukan oleh Khalid bin Al Walid. Kemudian Rasulullah pun memerintahkan Ali bin Abi Talib ke perkampungan Bani Juzaimah, memohon maaf, memberikan tebusan (diyat), menenangkan mereka, dan membetulkan insiden yang telah berlaku itu kerana Khalid telah melakukan perkara yang salah. Segala kerosakan dan ganti rugi dilunaskan oleh Ali bin Abi Talib RA, sama ada harta itu berbentuk unta dan perak, termasuklah bekas untuk minuman anjing sekalipun, bahkan diberikan lebih daripada itu setelah dimaklumkan segala harta yang musnah.

Pun begitu, Khalid Ibn Walid RA tetap diangkat sebagai panglima oleh para khalifah terkemudiannya, sekalipun beliau ada “rekod” melakukan kesilapan sebegini.

Ini menunjukkan kepada kita, dalam soal jawatan, seseorang itu harus dinilai dari aspek keupayaan dan kecekapannya. Bukan pada soal keturunannya, tahap pendidikannya dan sebagainya. Dilihat dari kalangan para sahabat seperti Umar Ibn Khattab RA, Abu Bakr RA, Ali Bin Abi Talib RA dan lain-lain, ternyata Khalid Ibn Walid tidak sefaqeh mereka dari segi ilmu, (harus dipertimbangkan bahawa beliau agak lewat memeluk Islam), tetapi keupayaan beliau di medan perang tidak boleh disangkal, menyebabkan beliau terus dipilih mengetuai pelbagai pertempuran dalam rangka fi sabilillah, menjadikan beliau salah seorang sahabat Rasulullah s.a.w yang paling agung dalam sejarah Islam.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *