Memahami Akaun GAP

Untuk info, sepanjang 11 tahun Public Gold terlibat dalam perniagaan emas, belum pernah pelanggan yang membeli emas tidak dapat emas mereka. Kadangkala ada berlaku kelewatan untuk menerima emas di cawangan disebabkan oleh permintaan yang tersangat banyak, terutama ketika harga emas turun. Di tambah lagi, sesetengah pelanggan tidak mengadakan temujanji terlebih dahulu dengan pihak cawangan menyebabkan keutamaan serahan diberi kepada pelanggan yang telah buat temujanji terlebih dahulu.


Ada isu “serah terima” di sini bila mana hukum jual beli emas, taqabuth harus dilakukan secara segera, seusai majlis akad. Dalam realiti jual beli melalui akaun GAP, serah terima itu dikira selesai apabila emas dikreditkan ke akaun pembeli.


Pembeli cuma nampak angka? Kena terima seketul kat tangan sebab “yadan bil yadin”?


Dalam Gold Accumulation Program (GAP) Public Gold, setiap angka itu menunjukkan adanya emas fizikal, sebagaimana sejumlah wang dimasukkan ke akaun simpanan seseorang, yang menunjukkan itulah jumlah duit fizikal yang diterima oleh penerima. Mentafsir perkataan “yadan bil yadin” secara literal, iaitu tangan secara literal akan menyempitkan fiqh sehingga menyebabkan serah terima item ribawi seperti gandum, garam dan lain-lain tidak boleh berlaku melalui pembayaran online, bank draft dan segala sarana pembayaran modern, termasuk bank transfer yang dikira sebagai bayaran tunai di zaman ini.


Masalah dalam banking limit ini dibincang secara panjang lebar dalam fiqh muamalat modern, dan sebahagian besar ulama mengambil pandangan dari mazhab Hanafi yang membenarkan penangguhan serah terima dengan keadaan yang munasabah. Dalam mazhab Hanafi, serah terima yang tertangguh disebabkan faktor tidak dapat dielakkan adalah dibenarkan selagi mana ia bukanlah kelewatan yang disengajakan. Banking limit di sini ialah masa yang diambil untuk bayaran disahkan, dialih dari satu akaun bank ke akaun bank yang lain.


Berbalik kepada isu serah terima bagi seorang pelanggan mengeluarkan emas dari simpanan GAP nya, serah terima dikira selesai seusai akad jual beli apabila bayaran disahkan dan emas diserahkan dengan cara memasukkan ke akaun GAP walaupun belum diterima secara literal ke tangan pembeli.


Adapun proses mengeluarkan emas itu bukan lagi sebahagian proses jual beli tetapi ia merupakan proses penyerahan dari pihak Public Gold sebagai pihak yang menyimpan emas untuk pihak pembeli, kepada pemilik emas yang juga pelanggan Public Gold.


Masalah dua akad dalam satu akad? (Jual beli dan akad menyimpan?)

Secara realiti, ia bukanlah akad yang bersama memandangkan akaun GAP itu sendiri mewakili pemilikan mutlak pembeli sebagaimana akaun simpanan di bank. Ketika kita menerima wang (yang juga merupakan item ribawi) dari pihak lain, kita tidak melafaz akad dengan pihak bank untuk menyimpankan wang itu bagi pihak kita, sebaliknya bank hanyalah platform untuk transaksi ini berlaku. Pihak yang membayar juga tidak diwajibkan melafaz akad dengan bank (atau online banking) untuk membayar, tetapi fiqh muamalat modern menerima sebarang tanda atau isyarat persetujuan jual beli adalah diterima meskipun dengan cara klik di tetikus, bukannya lafaz secara lisan.

Ilmu fiqh adalah satu ilmu yang “hidup”, yang sentiasa memerlukan ijtihad baru dengan adanya realiti baru sepanjang zaman. Para ulama bertungkus lumus memahami nas agar dapat melihat realiti dengan sudut pandang nas. Berbeza dengan ahli kitab yang mengubah kitab suci mereka untuk disesuaikan dengan realiti, Islam adalah dipelihara dari pengubahan teks wahyu dengan sifat amanah para ulama dalam menyampaikan agama ini sehingga kita perhatikan begitu rinci dan mendalam sesuatu hadis ketika ia disampaikan oleh para muhadiseen. Memberi pandangan baru dari konteks nas dengan membandingkan realiti yang muncul adalah perkara yang sememangnya normal, dan ia berlaku sepanjang zaman.

Allahua’lam.

Memahami Fiqh

Larangan wanita bermusafir dalam Islam dilihat pada konteks ialah perlindungan terhadap wanita dari bahaya dan fitnah. Ia bukan hukum qatie hingga haram wanita melakukan musafir secara mutlak.

Begitu juga apabila ulama kontemporari berijtihad mengenai hukum dadah. Keharaman khamar pada sifatnya yang merosakkan akal. Bukan pada anggur yang diperam, bukan pada rasa masam pada air.

Ada perkara yang ditunjukkan oleh dalil yang hukumnya tetap, seperti keharaman khamar, tetapi teknikaliti hukum merupakan ruangan ijtihadiyah. Anggur itu halal, diperam jadi arak yang haram, boleh pula dilanjutkan prosesnya hingga menjadi bahan makanan yang sudah hilang komponen ethanol padanya yang menjadikan sifat anggur itu sebagai khamar yang memabukkan.

Begitulah cara mengambil ajaran Islam yang sesuai sepanjang zaman. Ada perkara ijtihadiyah yang tidak terdapat di zaman ulama silam yang memerlukan ijtihad ulama zaman ini yang memahami realiti dengan mendalam.

Kemegahan zaman silam hanya satu legasi apabila ia tidak membawa apa-apa pembaharuan di zaman ini. Benar kita harus berbangga dengan Khilafah, ia membawa umat ke puncak peradaban. Tapi, tidaklah cukup hanya mengenang memori silam, tanpa adanya usaha dan gerakan pembaharuan yang bertunjang kitabullah dan sunnah Rasulullah s.a.w.

Memahami Isu “Buy Muslim First”

Sepintas lalu, saya sangat bersetuju dengan slogan ni walaupun dari segi hakikat, dunia ini tidaklah sekadar hitam dan putih. Ada perniagaan yang dimiliki non-muslim, dalam bentuk kerjasama dengan umat Islam. Contohnya, stesyen minyak, franchise makanan segera atau kilang-kilang dalam pelbagai industri. Ada pula majikan-majikan non-muslim yang menggaji para pekerja Muslim, yang kemudiannya menyara keluarga mereka dengan hasil perusahaan milik non-muslim itu.

Jadi, untuk meletakkan sesuatu produk tu sebagai “produk Muslim”, apakah ia memerlukan seluruh rantaian produksi itu dilakukan oleh orang Islam? Atau cukup sekadar jenama produk itu dimiliki orang Islam? Atau ia merupakan produk yang dijual di kedai milik orang Islam?

Dalam situasi yang berbentuk “ambiguities” semacam ini, konsisten dengan semangat solidariti yang dilaungkan adalah sangat rumit memandangkan interpretasi “produk muslim” itu sendiri boleh diertikan dengan pelbagai maksud.

Dalam catatan sirah, Rasulullah s.a.w memuji kaum Al A’s’ariyeen, dalam hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim, golongan Al A’s’ariyeen apabila mereka pergi berperang/makanan mereka berkurangan, mereka kumpulkan makanan yang ada di antara mereka dalam satu kain, mereka letak dalam satu bekas lalu membahaginya dengan saksama di kalangan mereka. Mereka membahagi bukan atas nama Islam, tetapi atas nama adik beradik dan kerabat mereka. Rasulullah s.a.w menyatakan, “Mereka dari kalanganku, dan aku dari kalangan mereka”.

Para ulama yang mensyarh hadis ini berpendapat, sikap mengutamakan kelompok sendiri bukanlah asobiyah selama mana mereka tidak menolong dalam kezaliman. Rasulullah s.a.w sangat anti kepada perkauman (kaumiyyah / asobiyyah), tetapi dalam kes ini, tidaklah menjadi kesalahan mengutamakan mereka yang lebih dekat kepada kita.

Saya menyimpulkan, saling membantu sesama muslim merupakan satu perbuatan terpuji tetapi dalam mengertikan “produk Muslim” seharusnya tidak dibatasi dengan produk dari kilang orang Islam, bahkan jauh lebih utama dari semua itu ialah “produk peradaban” dari Islam wajib diutamakan. Produk itu berupa satu pekej yang merangkumi seluruh kehidupan, sama ada ia berupa muamalat (hubungan sesama manusia) mahupun uqubat (perundangan).

Tidak selayaknya bagi umat Islam mengutamakan kicap keluaran umat Islam, dalam masa sama meninggalkan hudud.

Tidak sayugia bagi umat Islam mengutamakan minyak masak keluaran umat Islam, dalam masa yang sama berdiam diri apabila khazanah minyak dari tanah-tanah kaum muslimin dijarah para kapitalis dengan rakus.

Segala kekalutan yang berlaku adalah kerana sistem demokrasi yang diamalkan memberi ruang kepada non-muslim yang merupakan minoriti untuk menguasai umat Islam yang merupakan penduduk majoriti. Dengan mengamalkan sistem demokrasi, umat Islam meninggalkan sistem yang sewajibnya diutamakan, iaitu KHILAFAH. Bahkan, lebih ironi apabila sebahagian umat Islam termakan propaganda musuh dan turut menentang, mengolok, mengejek seruan untuk mengembalikan sistem Khilafah.

Allah tidak menyoal sekiranya kita beli kicap dari orang Islam atau bukan Islam, tapi Allah pasti menyoal, sekiranya kita ambil sistem hidup, selain dari Islam.

Allahua’lam.

– Sabri Yaacob –
Kemaman, Terengganu Darul Iman.