Memahami Isu “Buy Muslim First”

Sepintas lalu, saya sangat bersetuju dengan slogan ni walaupun dari segi hakikat, dunia ini tidaklah sekadar hitam dan putih. Ada perniagaan yang dimiliki non-muslim, dalam bentuk kerjasama dengan umat Islam. Contohnya, stesyen minyak, franchise makanan segera atau kilang-kilang dalam pelbagai industri. Ada pula majikan-majikan non-muslim yang menggaji para pekerja Muslim, yang kemudiannya menyara keluarga mereka dengan hasil perusahaan milik non-muslim itu.

Jadi, untuk meletakkan sesuatu produk tu sebagai “produk Muslim”, apakah ia memerlukan seluruh rantaian produksi itu dilakukan oleh orang Islam? Atau cukup sekadar jenama produk itu dimiliki orang Islam? Atau ia merupakan produk yang dijual di kedai milik orang Islam?

Dalam situasi yang berbentuk “ambiguities” semacam ini, konsisten dengan semangat solidariti yang dilaungkan adalah sangat rumit memandangkan interpretasi “produk muslim” itu sendiri boleh diertikan dengan pelbagai maksud.

Dalam catatan sirah, Rasulullah s.a.w memuji kaum Al A’s’ariyeen, dalam hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim, golongan Al A’s’ariyeen apabila mereka pergi berperang/makanan mereka berkurangan, mereka kumpulkan makanan yang ada di antara mereka dalam satu kain, mereka letak dalam satu bekas lalu membahaginya dengan saksama di kalangan mereka. Mereka membahagi bukan atas nama Islam, tetapi atas nama adik beradik dan kerabat mereka. Rasulullah s.a.w menyatakan, “Mereka dari kalanganku, dan aku dari kalangan mereka”.

Para ulama yang mensyarh hadis ini berpendapat, sikap mengutamakan kelompok sendiri bukanlah asobiyah selama mana mereka tidak menolong dalam kezaliman. Rasulullah s.a.w sangat anti kepada perkauman (kaumiyyah / asobiyyah), tetapi dalam kes ini, tidaklah menjadi kesalahan mengutamakan mereka yang lebih dekat kepada kita.

Saya menyimpulkan, saling membantu sesama muslim merupakan satu perbuatan terpuji tetapi dalam mengertikan “produk Muslim” seharusnya tidak dibatasi dengan produk dari kilang orang Islam, bahkan jauh lebih utama dari semua itu ialah “produk peradaban” dari Islam wajib diutamakan. Produk itu berupa satu pekej yang merangkumi seluruh kehidupan, sama ada ia berupa muamalat (hubungan sesama manusia) mahupun uqubat (perundangan).

Tidak selayaknya bagi umat Islam mengutamakan kicap keluaran umat Islam, dalam masa sama meninggalkan hudud.

Tidak sayugia bagi umat Islam mengutamakan minyak masak keluaran umat Islam, dalam masa yang sama berdiam diri apabila khazanah minyak dari tanah-tanah kaum muslimin dijarah para kapitalis dengan rakus.

Segala kekalutan yang berlaku adalah kerana sistem demokrasi yang diamalkan memberi ruang kepada non-muslim yang merupakan minoriti untuk menguasai umat Islam yang merupakan penduduk majoriti. Dengan mengamalkan sistem demokrasi, umat Islam meninggalkan sistem yang sewajibnya diutamakan, iaitu KHILAFAH. Bahkan, lebih ironi apabila sebahagian umat Islam termakan propaganda musuh dan turut menentang, mengolok, mengejek seruan untuk mengembalikan sistem Khilafah.

Allah tidak menyoal sekiranya kita beli kicap dari orang Islam atau bukan Islam, tapi Allah pasti menyoal, sekiranya kita ambil sistem hidup, selain dari Islam.

Allahua’lam.

– Sabri Yaacob –
Kemaman, Terengganu Darul Iman.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *