Yang Asli Jua Akan Bertahan

Pepatah arab menyatakan, “yang asli itu juga yang akan bertahan…” Bermaksud, sesuatu yang direka-reka, diada-adakan tidak mampu bertahan, yang asli juga akan dihargai.

Contoh, ketika hayatnya, ulama hadis yang terulung dalam keilmuan Islam, Al-Imam al-Bukhari (194-256H) atau namanya Muhammad bin Ismail hidup terbuang, disingkirkan, bahkan muridnya, Imam Muslim tidak menukilkan walau satu riwayat dari Imam Bukhari dalam kitabnya Sahih Muslim. Ini kerana, Imam Muslim menghormati gurunya, Muhammad bin Yahya al-Zuhli, seorang sarjana yang hebat ketika itu, yang bertelagah dengan Imam Bukhari sehingga Imam Bukhari dituduh menyalahi sunnah Rasulullah s.a.w.

Namun akhirnya, setelah kewafatan Imam Bukhari, ternyata kitab Sahih Bukhari menjadi rujukan yang paling dipercayai selepas Al Quran bukan kerana keilmuan atau ketokohan Imam Bukhari, tetapi kerana methodology beliau dalam menilai matan hadis dan konteks hadis adalah terbaik dalam ilmu hadis.

Hidupnya dibuang orang, namun matinya tetap terbilang. Hari ini apabila orang membaca hadis, nama beliau disebut dan kekukuhan riwayat beliau dalam ‘Sahih al-Bukhari’ diakui oleh sekalian sarjana. Akidah al-Bukhari diakui sebagai akidah yang sahih dan benar, ilmunya diiktiraf dan jasanya dikenang. Namun siapa yang membaca sejarah perit perjuangan ilmu, tidaklah sangka demikian nasib yang menimpanya.

Setiap kali ada dari kalangan umat Islam beramal dengan sunnah, yang dikumpulkan dari pengorbanan ulama terdahulu yang menghimpun, mensahihkan, menyaring ratusan ribu hadis, insyallah ia tercatat sebagai amal jariah buat mereka sehingga hari Kiamat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *