Peratus Hukum Allah?

Hujah kuantitatif mengenai “pertusan hukum Allah di dalam Al Quran” sebenarnya hanya menunjukkan betapa tidak jelasnya seseorang dengan definisi hukum syarak itu sendiri. Kesalahan ini ternyata dapat dibahaskan dengan jitu dan bernas jika kita melihat apakah definisi hukum syarak di dalam Islam.

Ulama Fiqih mendefinisikan bahawa Hukum Syarak adalah ‘Khitabu Syari’ al-muta’alliku bi af’alil ‘ibad thalban aw takhyiran aw wadh’an’ [seruan Allah (sebagai Pembuat Hukum) yang berkaitan dengan amal perbuatan hamba (manusia) baik dalam bentuk tuntutan atau memberi pilihan ataupun berkenaan dengan situasi]. Daripada definisi ini sendiri menjelaskan bahawa apa sahaja ayat Al-Quran dalam bentuk perintah melakukan atau meninggalkan perbuatan, atau memberi pilihan berbuat (mubah) adalah merupakan hukum syarak.

Di dalam konteks ini, para ulama telah membahagikan Islam kepada Aqidah dan Syariat yang mana Al-Quran itu sendiri adalah terdiri dari kedua-kedua aspek ini. Ini bermaksud, Al-Quran mengandungi ayat-ayat aqidah dan selainnya adalah ayat-ayat berkenaan dengan syariat, yang berupa hukum-hakam. Ayat-ayat tentang akidah itu sendiri, walaupun bukan ayat hukum, namun terdapat hukum mengenainya iaitu kita wajib mempercayainya. Sesiapa yang tidak percaya, maka hukumnya adalah murtad. Contohnya, ayat tentang (keEsaan) Allah, kewujudan malaikat, rasul-rasul, syurga dan neraka dan sebagainya. Oleh itu, adalah amat dangkal jika kita cuba merendahkan atau mengelirukan orang lain bahawa ayat hukum itu sangat rendah dari segi peratusnya dalam ajaran Islam.

Selama mana sesuatu perintah/larangan atau pilihan tersebut adalah berasal dari Allah yang berkaitan dengan perbuatan setiap mukallaf, maka ianya adalah termasuk persoalan hukum.