Pengikat Sebuah Kesatuan

Dengan menganalogikan perpaduan umah sebagai seberkas lidi penyapu, ia hanya mampu menjalankan tugas sebagai penyapu ketika ia diikat bersama dengan getah atau tali hingga ia tidak tercerai-berai.

Begitulah umat ini, ketika tidak ada pengikat yang menyatukan mereka, maka 1.7 Billion umat Islam di dunia ini tidak mampu untuk mempertahankan diri tatkala kehormatan, harta dan nyawa mereka diragut oleh musuh. Umat tidak mampu berfungsi dalam keadaan tercerai-berai.

Pengikat itu harus mampu mengikat dengan utuh, yang terlebih dahulu memerlukan perbuatan “mengikat”. Ini kerana, secara semulajadi, seberkas lidi sekalipun diletak bersama seutas tali pengikat, ia tidak akan terikat melainkan adanya usaha mengikat.

Begitulah umat ini, tatkala mereka berharap adanya pembela ketika mereka dizalimi, perlu adanya pihak yang berusaha mewujudkan institusi yang merupakan Sang Pembela itu.

Perbuatan mengikat itu pula haruslah sesuai untuk menjalankan fungsinya. Sekiranya seberkas lidi itu cuba diikat hanya dengan seurat getah, ia tidak mampu bertahan dalam jangkawaktu yang lama. Getah itu juga haruslah dikuatkan dengan beberapa getah lain.

Begitulah umat ini, tatkala mereka cuba mengikat kesatuan mereka dengan organisasi seperti OIC yang selama ini cuma mampu menjadi penonton melihat pelbagai keganasan dilakukan musuh terhadap umat Islam. Ikatan berasaskan kepentingan, dibayangi konsep negara bangsa (Nation States) yang terpisah secara politik akhirnya hanya mampu mengeluarkan kata-kata kecaman yang tidak bererti. Bahkan bukan lagi rahsia, mereka yang mewakili ummah dalam OIC itulah yang menjadi agent kepada pihak yang melakukan keganasan terhadap ummah.

KHILAFAH ialah satu-satunya institusi pengikat yang menyatukan seluruh dunia dengan ikatan yang paling utuh. Ikatan ini berfungsi menyatukan ketaatan umat Islam kepada seorang Amirul Mukminin, yang menjadi simbol perpaduan, jesteru kekuatan ummah.

Dari Abu Hurairah R.A, dari Nabi Muhammad s.a.w, baginda bersabda:

إِنَّمَا الْإِمَامُ جُنَّةٌ يُقَاتَلُ مِنْ وَرَائِهِ وَيُتَّقَى بِهِ

”Sesungguhnya al-Imâm (khalifah) itu adalah perisai, di mana (orang-orang) akan berperang di belakangnya (mendukung) dan berlindung (dari musuh) dengan (kekuasaan) nya.” (HR. Al-Bukhari, Muslim, Ahmad]

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *