Terlalu Banyak Ritual?

Sebagai bekas pelajar MRSM, saya juga memahami serba sedikit apa yang dituduh sebagai “terlalu banyak” ritual agama yang dipolemikkan oleh portal liberal Free Malaysia Today beberapa hari lalu.

Yang mereka kritik ialah kesungguhan pihak sekolah untuk memberi tarbiah Islam yang terbaik untuk para pelajar, untuk membangunkan sahsiah pelajar agar menjadi insan soleh yang terpelajar. Mungkin ibubapa yang mengkritik itu merasakan amal soleh mereka sudah cukup banyak hingga tidak lagi memerlukan doa dari anak mereka setelah kematian mereka.

Portal Liberal FMT ini bukan kali pertama memainkan isu untuk menyudutkan Islam dan umat Islam ke posisi buruk, jelek, mundur dan sebagainya. Tidaklah menghairankan ketika ucapan selama 3 jam Dr Zakir Naik diulas dengan intipati seminit ucapan beliau lalu dituduh menghina kelompok minoriti di negara ini dengan petikan di luar konteks.

Saya cadangkan ibubapa yang kritik tu untuk keluarkan anak dari MRSM, hantar saja ke sekolah sekular yang mana ia mungkin lebih sesuai pada pandangan mereka dalam membina sahsiah anak mereka. Begitu ramai ibubapa lain memang mengharapkan dan menghargai usaha murni pihak sekolah untuk membentuk anak mereka dengan nilai dan peribadi Islam, berbanding dua tiga kerat kelompok liberal yang menganggap pendidikan itu sebatas kecemerlangan akedemik, bilangan A yang anak mereka mampu capai atau biasiswa mana yang akan menaja mereka di peringkat universiti kelak.

Acara qiamulail tidaklah dilaksanakan setiap hari pun di MRSM. Tazkirah Maghrib tidaklah menyebabkan “Prep Session” terbantut. Solat berjemaah tidaklah menghilangkan formula kimia atau matematik yang dihafal oleh pelajar.

Polemik ini hanyalah salah satu ciri jelas kebiadaban puak liberal dalam usaha secara sistematik menyebarkan dakyah sesat mereka. Inilah yang seharusnya dibasmi oleh Jabatan-jabatan agama, bukannya kelompok dakwah seperti Hizbut Tahrir.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *