Menyalahi Zahir Nas

Terdapat banyak contoh di mana ijtihad ulama yang datang kemudian adalah bercanggah dengan nas yang jelas kerana terdapat sebab hukum yang berbeza contohnya hadis Nabi SAW bersabda:

وقال صلى الله عليه وسلم من أحيا أرضا ميتة فيه أجر وما أكلت العافية منها فهو له صدقة

Rasulullah bersabda: Barangsiapa menghidupkan tanah yang mati, maka baginya pahala tanah itu. Dan segala apa yang dimakan makhluk dari tanamannya, maka itu merupakan sedekah [HR Tirmizi dan Abu Dawud]

Walaupun hadis ini adalah jelas tentang pemilikan tanah bagi yang menghidupkannya dan itulah yang difatwakan oleh jumhur ulama yang terdahulu tetapi Abu Hanifah dan Imam Malik dalam fatwanya menyatakan sebaliknya iaitu sesuatu yang bercanggah dengan zahir hadis dan menyatakan walaupun tanah itu dibuka oleh seseorang dia tidak boleh memilikinya bahkan pemilikannya akan bergantung kepada pemerintah (al-Zuhaili, 1984).

Sebab (illah) bagi fatwa ini ialah Nabi SAW bersabda sesuai dengan keadaan baginda yang tinggal di Madinah sebuah negeri padang pasir, maka sesiapa yang bersungguh menghidupkan tanah sehingga menjadi subur maka tanah itu adalah miliknya, apatah lagi jumlah penduduk ketika itu adalah sedikit. Manakala Imam Abu Hanifah tinggal di Bagdad sebuah negeri yang subur dan diairi oleh sungai Furat, Dajlah dan saliran yang banyak, maka tanah dapat diusahakan dengan mudah, apatah lagi pada ketika itu manusia telah ramai sebagaimana keadaan di zaman Imam Malik maka jika dibiarkan perkara ini tanpa kawalan maka sudah tentu ianya akan menimbulkan kerosakan yang banyak dalam kalangan masyarakat.

Terdapat hadis lain yang menunjukkan tindakan Khulafa terkemudian menyalahi zahir hadis, ketika Rasulullah s.a.w melarang unta yang terlepas dan berkeliaran di Madinah dari ditambat :

مَالَكَ وَلَهَا مَعَهَا سِقَاؤُهَا وَحِذَاؤُهَا، تَرِدُ الْمَاءَ وَتَأْكُلُ الشَّجَرَ، حَتَّى يَلْقَاهَا رَبُّهَا

Maksudnya: Mengapa pula kamu hendak mengambilnya ? Sedangkan ia mempunyai tangki simpanan air di badannya, serta tapak kaki, dan ia juga boleh mendapatkan air dengan sendiri serta boleh memakan daun di pokok sehingga pemiliknya menjumpainya. [HR Bukhari (2372)]

Ketetapan seperti itu terus berlangsung selama masa Nabi s.a.w, diikuti Khalifah Abu Bakr RA, hingga ʽUmar RA. Pada waktu itu, unta-unta yang terlepas dibiarkan saja berkeliaran dan tidak ada seorang pun yang menangkapnya, sampai ditemukan oleh pemiliknya kerana mereka mengikuti perintah Rasulullah s.a.w. Hal itu dilakukan selama unta tersebut mampu menjaga dirinya, mendatangi sumber-sumber air untuk minum dan menyimpan air sebanyak-banyaknya dalam perutnya. Unta itu pun memiliki kemampuan untuk menempuh perjalanan yang jauh di sahara yang luas. (Muhsin, 2015: 4)


Ketika zaman Khalifah Usmān bin ʽAffān, beliau memerintahkan agar unta-unta tersebut ditangkap lalu diumumkan kepada masyarakat (agar dapat diketahui siapa pemiliknya) kemudian dijual. Jika pemiliknya datang, wang hasil penjualan itu akan diberikan kepadanya. (Qaradhawi, 1993).

Keadaan sedikit berubah setelah masa Usmān. ʽAli bin Abi Ṭalib menyetujui sikap Usman demi kepentingan pemiliknya. Namun, beliau berpendapat bahawa menjualnya mungkin dapat menimbulkan kerugian bagi pemiliknya. Sebab, wang yang diberikan kepadanya mungkin tidak sesuai dengan harga sebenarnya atau tidak sepadan dengan harga yang seharusnya. Oleh itu, beliau berpendapat sebaiknya unta itu ditangkap kemudian dipelihara atas pembiayaan negara (bait al-māl) sampai si pemiliknya datang dan diserahkan kembali kepadanya. (Muhsin, 2015: 5)

Begitulah secara ringkas dalam memahami interaksi nas dengan realiti. Apalagi dalam perkara ijtihadi di lapangan fiqh. Tidaklah seharusnya kita ghuluw dalam melontarkan pandangan, ketika kita berdepan dengan pelbagai pandangan dalam memahami agama Allah, selama mana ia merupakan interpretasi dari sumber dalil, termasuklah takwilan yang dilakukan seperti contoh ijtihad para Khalifah Ar Rashideen dalam perbincangan di atas.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *