Netizen Membawang

Tiba-tiba meletup “isu Jakel”. dikatakan adik kepada pemilik rangkaian gedung pakaian yang besar itu mengeluarkan kenyataan menghina bangsa melayu. Lalu muncullah para pahlawan cyber berapi-api menyebar kebencian tanpa mengira bulan ramadhan, tanpa menyelidik isu yang berlaku, ditambah dengan operasi membawang menokok tambah segala rencah dan perasa bagi menghangatkan suasana.

Seribu kebaikan tidak dipandang kerana satu kesalahan yang bukan dilakukan oleh syarikat Jakel, tetapi dek kenyataan yang dimengertikan sebagai menghina bangsa melayu. Walhal, kenyataan tersebut boleh juga diertikan kepada sekelompok individu. Contoh, dalam Al Quran, ketika berbicara tentang bahaya dari puak yahudi dan nasrani, Islam tidak memusuhi kedua kelompok ini secara pukal disebabkan bangsa atau agama mereka. Malah, dalam hadis, Rasulullah s.a.w mengiktiraf ahli kitab sebagai golongan yang lebih dekat dengan Islam jika dibanding mushrikin, para penyembah berhala. Ketika Kerajaan Islam Andalus di kemuncak peradaban, Yahudi melalui zaman keemasan mereka dengan munculnya pelbagai tokoh Yahudi dari pelbagai bidang, di tengah peradaban Islam. Ia bukti Islam bukan sahaja tidak memusuhi yahudi, malah melindungi warganegaranya termasuklah dari bangsa yahudi.

Maksud sebenar si adik tauke, kena tanya penjelasan dari dia. Allahua’lam.

Sekalipun sekiranya benar kenyataan itu berniat menghina bangsa seluruh bangsa melayu, jangan lupa berapa ramai melayu yang baru-baru ini menghina sehina-hinanya bangsa Rohingya. Seolah memang tidak pernah ada kebaikan dari bangsa itu sehingga nenek moyang mereka juga turut dihina. Seakan bangsa Melayu ini satu bangsa yang paling mulia, hingga para nabi juga cuma dilantik dari kalangan melayu.

Sudah-sudahlah sibuk membawang. Kita tentu tidak mahu ikut jejak langkah masyarakat di India, yang berleluasanya mob lynching menyebabkan ribuan nyawa telah menjadi korban. Sebabnya, tak tahu hujung pangkal, semua nak membawang, semua pakat bedal. Ada yang dibunuh kerana membawa daging lembu, ada yang dibunuh kerana disyaki buat sesuatu kesalahan. Semua nak belasah. Undang-undang tolak tepi. Yang penting, emosi….. Kalau bukan bodoh, apa lagi perkataan sesuai untuk perbuatan sebegini?

Allah bagi kita akal. Gunakanlah untuk berfikir. Buat para penyebar kebencian dan ketidakpastian, hentikanlah usaha sebegitu. Ia tak akan bermanfaatpun malah membawa beban dosa. Benci dan sayang lah kerana Allah. Kerosakan akibat perbuatan memviralkan kebencian tidak mampu dibaiki oleh para pembenci sekiranya mereka menyedari hakikat sebenarnya di kemudian hari. Ingatlah firman Allah SWT yang bermaksud:

“Wahai orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan daripada sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian daripada sangkaan itu adalah dosa dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang daripada kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan berkenaan) dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima Taubat lagi Maha Mengasihani.” (Surah al-Hujurat, ayat 12)

Hai orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti supaya kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatan
itu.” (Surah al-Hujurat, ayat 6)

Ayuh muhasabah diri.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *