Yang Asli Jua Akan Bertahan

Pepatah arab menyatakan, “yang asli itu juga yang akan bertahan…” Bermaksud, sesuatu yang direka-reka, diada-adakan tidak mampu bertahan, yang asli juga akan dihargai.

Contoh, ketika hayatnya, ulama hadis yang terulung dalam keilmuan Islam, Al-Imam al-Bukhari (194-256H) atau namanya Muhammad bin Ismail hidup terbuang, disingkirkan, bahkan muridnya, Imam Muslim tidak menukilkan walau satu riwayat dari Imam Bukhari dalam kitabnya Sahih Muslim. Ini kerana, Imam Muslim menghormati gurunya, Muhammad bin Yahya al-Zuhli, seorang sarjana yang hebat ketika itu, yang bertelagah dengan Imam Bukhari sehingga Imam Bukhari dituduh menyalahi sunnah Rasulullah s.a.w.

Namun akhirnya, setelah kewafatan Imam Bukhari, ternyata kitab Sahih Bukhari menjadi rujukan yang paling dipercayai selepas Al Quran bukan kerana keilmuan atau ketokohan Imam Bukhari, tetapi kerana methodology beliau dalam menilai matan hadis dan konteks hadis adalah terbaik dalam ilmu hadis.

Hidupnya dibuang orang, namun matinya tetap terbilang. Hari ini apabila orang membaca hadis, nama beliau disebut dan kekukuhan riwayat beliau dalam ‘Sahih al-Bukhari’ diakui oleh sekalian sarjana. Akidah al-Bukhari diakui sebagai akidah yang sahih dan benar, ilmunya diiktiraf dan jasanya dikenang. Namun siapa yang membaca sejarah perit perjuangan ilmu, tidaklah sangka demikian nasib yang menimpanya.

Setiap kali ada dari kalangan umat Islam beramal dengan sunnah, yang dikumpulkan dari pengorbanan ulama terdahulu yang menghimpun, mensahihkan, menyaring ratusan ribu hadis, insyallah ia tercatat sebagai amal jariah buat mereka sehingga hari Kiamat.

Memahami Fiqh

Larangan wanita bermusafir dalam Islam dilihat pada konteks ialah perlindungan terhadap wanita dari bahaya dan fitnah. Ia bukan hukum qatie hingga haram wanita melakukan musafir secara mutlak.

Begitu juga apabila ulama kontemporari berijtihad mengenai hukum dadah. Keharaman khamar pada sifatnya yang merosakkan akal. Bukan pada anggur yang diperam, bukan pada rasa masam pada air.

Ada perkara yang ditunjukkan oleh dalil yang hukumnya tetap, seperti keharaman khamar, tetapi teknikaliti hukum merupakan ruangan ijtihadiyah. Anggur itu halal, diperam jadi arak yang haram, boleh pula dilanjutkan prosesnya hingga menjadi bahan makanan yang sudah hilang komponen ethanol padanya yang menjadikan sifat anggur itu sebagai khamar yang memabukkan.

Begitulah cara mengambil ajaran Islam yang sesuai sepanjang zaman. Ada perkara ijtihadiyah yang tidak terdapat di zaman ulama silam yang memerlukan ijtihad ulama zaman ini yang memahami realiti dengan mendalam.

Kemegahan zaman silam hanya satu legasi apabila ia tidak membawa apa-apa pembaharuan di zaman ini. Benar kita harus berbangga dengan Khilafah, ia membawa umat ke puncak peradaban. Tapi, tidaklah cukup hanya mengenang memori silam, tanpa adanya usaha dan gerakan pembaharuan yang bertunjang kitabullah dan sunnah Rasulullah s.a.w.

Kenali Sahabat Rasulullah s.a.w

Abu Dzar Al Ghifari RA merupakan antara sahabat terawal memeluk Islam. Antara sahabat yang paling disayangi Rasulullah s.a.w. Ketika mula memeluk Islam, beliau bertekad mengisytiharkan keislaman beliau, lalu membuat pengumuman kepada mushirikin Makkah, akibatnya beliau dipukul hingga cedera.

Rasulullah s.a.w memerintahkan Abu Dzar RA balik kepada kaumnya, Kabilah Ghifar yang tinggal antara perbatasan Syam dengan Makkah untuk mengajarkan mereka tentang Islam.

Tidaklah ada birokrasi seperti tauliah untuk berdakwah.

Tidak pula dipesan kepadanya untuk mantap sifat 20 atau perbahasan tangan Allah, atau tempat Allah sebelum diberi tugasan menyampaikan dakwah.

Abu Dzar RA tidak diberi sebarang jawatan sehingga kematiannya walaupun dia memang terkenal sebagai insan soleh. Ini kerana, Rasulullah s.a.w khuatir, beliau tidak mampu memikul urusan pemerintahan.

Ini juga menjadi dalil, pemimpin tidak semestinya ulama, tetapi harus berkemampuan melaksanakan tugas mereka.

Kenali Sahabat Rasulullah s.a.w

Khalid Ibn Walid RA terkenal dengan jolokan “Pedang Allah”. Beliau merupakan seorang panglima perang dalam angkatan tentera kaum muslimin di zaman Rasulullah s.a.w dan khalifah terkemudian. Pasukan perang kaum muslimin tidak pernah dikalahkan di bawah kepimpinan beliau, malah dengan kebijaksanaan Khalid Ibn Walid RA, 3000 orang pasukan kaum muslimin gagal dihabisi oleh 100 000 tentera Rom yang dibantu pakatan tentera arab berkekuatan 100 000 tentera dalam Perang Mu’tah غزوة مؤتة walaupun ketika itu, pasukan kaum muslimin dalam keadaan yang benar-benar tersepit.

Dalam catatan sirah, Khalid (RA) dikatakan pernah membunuh tawanan perang dari kabilah Bani Juzaimah, walhal beliau tidak diperintahkan sedemikian sehingga Rasulullah s.a.w bersabda, “Ya Allah, aku berlepas diri (mohon perlindunganMu) dari apa yang telah dilakukan oleh Khalid bin Walid.” [HR Bukhari]

Hal itu adalah kesalahan yang telah dilakukan oleh Khalid bin Al Walid. Kemudian Rasulullah pun memerintahkan Ali bin Abi Talib ke perkampungan Bani Juzaimah, memohon maaf, memberikan tebusan (diyat), menenangkan mereka, dan membetulkan insiden yang telah berlaku itu kerana Khalid telah melakukan perkara yang salah. Segala kerosakan dan ganti rugi dilunaskan oleh Ali bin Abi Talib RA, sama ada harta itu berbentuk unta dan perak, termasuklah bekas untuk minuman anjing sekalipun, bahkan diberikan lebih daripada itu setelah dimaklumkan segala harta yang musnah.

Pun begitu, Khalid Ibn Walid RA tetap diangkat sebagai panglima oleh para khalifah terkemudiannya, sekalipun beliau ada “rekod” melakukan kesilapan sebegini.

Ini menunjukkan kepada kita, dalam soal jawatan, seseorang itu harus dinilai dari aspek keupayaan dan kecekapannya. Bukan pada soal keturunannya, tahap pendidikannya dan sebagainya. Dilihat dari kalangan para sahabat seperti Umar Ibn Khattab RA, Abu Bakr RA, Ali Bin Abi Talib RA dan lain-lain, ternyata Khalid Ibn Walid tidak sefaqeh mereka dari segi ilmu, (harus dipertimbangkan bahawa beliau agak lewat memeluk Islam), tetapi keupayaan beliau di medan perang tidak boleh disangkal, menyebabkan beliau terus dipilih mengetuai pelbagai pertempuran dalam rangka fi sabilillah, menjadikan beliau salah seorang sahabat Rasulullah s.a.w yang paling agung dalam sejarah Islam.

Surat Rasulullah ﷺ Kepada Kaisar

Rasulullah s.a.w mengirimkan banyak surat kepada para raja, kaisar dan para pemerintah pelbagai kerajaan untuk mengajak mereka kepada Islam.

Ketika surat baginda sampai kepada Kisra Persia, surat itu dikoyak-koyak oleh pemerintah kerajaan yang berlatarbelakang agama Majusi, iaitu kaum muskhrik yang menyembah api.

Ketika Herakleus, iaitu Kaisar Rom yang beragama Kristian menerima surat dari Rasulullah s.a.w, Herakleus memanggil orang dari Makkah yang ada di sekitar kotanya untuk mengesahkan beberapa perkara mengenai Rasulullah s.a.w.

Kebetulan Abu Sufyan, musuh ketat Rasulullah s.a.w berada di situ untuk berdagang, bersama kabilah dagang miliknya. Di hadapan Heraklus, dengan bantuan penterjemah, beberapa soalan ditanya, antaranya:

1. Bagaimana nasabnya?

Dijawab: Baik dan mulia

2. Apakah ada di kalangan kamu mengaku nabi sebelum ini di kalangan kamu?

Dijawab: Tidak

3. Apakah lelaki ini (Rasulullah s.a.w) berketurunan raja?

Dijawab: Tidak

4. Siapa pengikutnya?

Dijawab: Orang miskin dan tidak ternama

5. Pernahkah lelaki ini berbohong?

Dijawab: Tidak

6. Apakah kalian memeranginya? Siapa yang menang?

Dijawab: Kadang-kadang kami menang, kadang-kadang dia menang

7. Apa yang diperintahkannya?

Dijawab: Dia menyuruh untuk sembah Allah dan jangan menyekutukannya

Setelah mendengar jawapan dari Abu Sufyan, Kaisar berkata:

1. Nasabnya yang mulia, itulah nasab para rasul dari keturunan yang mulia

2. Sekiranya ada sebelum ini mengaku nabi dari kalangan kalian, maka lelaki ini hanya peniru.

3. Sekiranya dia keturunan raja, maka tentu dia bertujuan menuntut takhta

4. Para Rasul selalunya hanya diikuti dari kalangan orang biasa, bukan orang yang punya kedudukan

5. Para rasul tidak akan bohong atau khianat

6. Begitulah Rasul selalu diberi ujian. Mereka tak selalunya menang. Namun akhirnya, mereka akan menang

7. Menyeru untuk taat kepada Allah, inilah tugas para rasul

Seandainya semua yang kamu katakan ini benar, nescaya aku akan senang bertemunya. Sekiranya aku berada di sisinya, aku akan basuhkan kedua kakinya (memuliakannya). Suatu hari nanti, kekuasannya akan sampai ke kawasan di bawah kedua kakiku ini.

Kaisar memahami secara persis bahawa orang yang menuliskan surat itu seorang Nabi, cuma dia tidak menyangka bahawa Nabi terakhir itu muncul dari bangsa arab yang ketika itu merupakan kelompok yang tidak maju seperti bangsa Rom atau Parsi.

Ternyata, selain sebagai spiritual leader, Muhammad s.a.w adalah seorang komander perang yang ulung. Dicatatkan, baginda terlibat dalam sekurang-kurangnya 27 ghozwah (perang) dan banyak lagi operasi military berupa pre-preemptive measure seperti misi yang dipimpin Abu Salmah Bin Abdul Asad menghapuskan pemberontakan Bani Asad. Ketika itu Bani Asad berpakat mengumpulkan kekuatan untuk menggulingkan pemerintahan Rasulullah s.a.w setelah melihat moral kaum muslimin di tahap sangat rendah, setelah kekalahan dalam Perang Uhud. Baginda s.a.w menyerahkan liwa’ (bendera) kepada Abu Salmah untuk mempin pasukan terdiri dari 150 cavalry yang terdiri dari pasukan elit dari kaum muslimin seperti Abu Ubaidah Al Jarrah, Saad Bin Abi Waqas, Usaid Bin Hudhair dan lainnya. Serangan kilat yang dilakukan pasukan Abu Salmah dalam serbuan ke perkampungan Bani Asad berhasil menumpaskan mereka dan kemenangan ini melonjakkan semula moral kaum muslimin dari kedukaan akibat kekalahan di Medan Uhad.

Sisi lain yang dapat kita ambil maklum ialah bahawa agama Kristian dan Yahudi adalah agama samawi dari jalur Abrahamic Faith. Nabi Isa A.S (Jesus) dan Musa A.S (Mosses) adalah keturunan Ibrahim A.S dari jalur Nabi Ishak A.S (Isaac) manakala Muhammad s.a.w adalah dari jalur keturunan Ismail A.S (Ishmael). Maka, tidak hairanlah agama ahli kitab ini lebih dekat dengan Islam, serta mereka juga memahami konsep wahyu dan kenabian.

-Sabri Yaacob-

——————————————————————————

Catatan: Surat asal ini ditemui pada 1858 oleh Monsieur Etienne Barthelemy, salah seorang anggota misi penjajahan Empayar Perancis, di sebuah di sebuah geraja di Mesir dan kini disimpan di Muzium Istanbul.

Rujukan: al-Anwar fi Syama-il an-Nabi al-Mukhtar, Bab Alamat Nubuwatihi ﷺ, Hadis No:36