Memahami Isu “Buy Muslim First”

Sepintas lalu, saya sangat bersetuju dengan slogan ni walaupun dari segi hakikat, dunia ini tidaklah sekadar hitam dan putih. Ada perniagaan yang dimiliki non-muslim, dalam bentuk kerjasama dengan umat Islam. Contohnya, stesyen minyak, franchise makanan segera atau kilang-kilang dalam pelbagai industri. Ada pula majikan-majikan non-muslim yang menggaji para pekerja Muslim, yang kemudiannya menyara keluarga mereka dengan hasil perusahaan milik non-muslim itu.

Jadi, untuk meletakkan sesuatu produk tu sebagai “produk Muslim”, apakah ia memerlukan seluruh rantaian produksi itu dilakukan oleh orang Islam? Atau cukup sekadar jenama produk itu dimiliki orang Islam? Atau ia merupakan produk yang dijual di kedai milik orang Islam?

Dalam situasi yang berbentuk “ambiguities” semacam ini, konsisten dengan semangat solidariti yang dilaungkan adalah sangat rumit memandangkan interpretasi “produk muslim” itu sendiri boleh diertikan dengan pelbagai maksud.

Dalam catatan sirah, Rasulullah s.a.w memuji kaum Al A’s’ariyeen, dalam hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim, golongan Al A’s’ariyeen apabila mereka pergi berperang/makanan mereka berkurangan, mereka kumpulkan makanan yang ada di antara mereka dalam satu kain, mereka letak dalam satu bekas lalu membahaginya dengan saksama di kalangan mereka. Mereka membahagi bukan atas nama Islam, tetapi atas nama adik beradik dan kerabat mereka. Rasulullah s.a.w menyatakan, “Mereka dari kalanganku, dan aku dari kalangan mereka”.

Para ulama yang mensyarh hadis ini berpendapat, sikap mengutamakan kelompok sendiri bukanlah asobiyah selama mana mereka tidak menolong dalam kezaliman. Rasulullah s.a.w sangat anti kepada perkauman (kaumiyyah / asobiyyah), tetapi dalam kes ini, tidaklah menjadi kesalahan mengutamakan mereka yang lebih dekat kepada kita.

Saya menyimpulkan, saling membantu sesama muslim merupakan satu perbuatan terpuji tetapi dalam mengertikan “produk Muslim” seharusnya tidak dibatasi dengan produk dari kilang orang Islam, bahkan jauh lebih utama dari semua itu ialah “produk peradaban” dari Islam wajib diutamakan. Produk itu berupa satu pekej yang merangkumi seluruh kehidupan, sama ada ia berupa muamalat (hubungan sesama manusia) mahupun uqubat (perundangan).

Tidak selayaknya bagi umat Islam mengutamakan kicap keluaran umat Islam, dalam masa sama meninggalkan hudud.

Tidak sayugia bagi umat Islam mengutamakan minyak masak keluaran umat Islam, dalam masa yang sama berdiam diri apabila khazanah minyak dari tanah-tanah kaum muslimin dijarah para kapitalis dengan rakus.

Segala kekalutan yang berlaku adalah kerana sistem demokrasi yang diamalkan memberi ruang kepada non-muslim yang merupakan minoriti untuk menguasai umat Islam yang merupakan penduduk majoriti. Dengan mengamalkan sistem demokrasi, umat Islam meninggalkan sistem yang sewajibnya diutamakan, iaitu KHILAFAH. Bahkan, lebih ironi apabila sebahagian umat Islam termakan propaganda musuh dan turut menentang, mengolok, mengejek seruan untuk mengembalikan sistem Khilafah.

Allah tidak menyoal sekiranya kita beli kicap dari orang Islam atau bukan Islam, tapi Allah pasti menyoal, sekiranya kita ambil sistem hidup, selain dari Islam.

Allahua’lam.

– Sabri Yaacob –
Kemaman, Terengganu Darul Iman.

Kenali Sahabat Rasulullah s.a.w

Abu Dzar Al Ghifari RA merupakan antara sahabat terawal memeluk Islam. Antara sahabat yang paling disayangi Rasulullah s.a.w. Ketika mula memeluk Islam, beliau bertekad mengisytiharkan keislaman beliau, lalu membuat pengumuman kepada mushirikin Makkah, akibatnya beliau dipukul hingga cedera.

Rasulullah s.a.w memerintahkan Abu Dzar RA balik kepada kaumnya, Kabilah Ghifar yang tinggal antara perbatasan Syam dengan Makkah untuk mengajarkan mereka tentang Islam.

Tidaklah ada birokrasi seperti tauliah untuk berdakwah.

Tidak pula dipesan kepadanya untuk mantap sifat 20 atau perbahasan tangan Allah, atau tempat Allah sebelum diberi tugasan menyampaikan dakwah.

Abu Dzar RA tidak diberi sebarang jawatan sehingga kematiannya walaupun dia memang terkenal sebagai insan soleh. Ini kerana, Rasulullah s.a.w khuatir, beliau tidak mampu memikul urusan pemerintahan.

Ini juga menjadi dalil, pemimpin tidak semestinya ulama, tetapi harus berkemampuan melaksanakan tugas mereka.

Kenali Sahabat Rasulullah s.a.w

Khalid Ibn Walid RA terkenal dengan jolokan “Pedang Allah”. Beliau merupakan seorang panglima perang dalam angkatan tentera kaum muslimin di zaman Rasulullah s.a.w dan khalifah terkemudian. Pasukan perang kaum muslimin tidak pernah dikalahkan di bawah kepimpinan beliau, malah dengan kebijaksanaan Khalid Ibn Walid RA, 3000 orang pasukan kaum muslimin gagal dihabisi oleh 100 000 tentera Rom yang dibantu pakatan tentera arab berkekuatan 100 000 tentera dalam Perang Mu’tah غزوة مؤتة walaupun ketika itu, pasukan kaum muslimin dalam keadaan yang benar-benar tersepit.

Dalam catatan sirah, Khalid (RA) dikatakan pernah membunuh tawanan perang dari kabilah Bani Juzaimah, walhal beliau tidak diperintahkan sedemikian sehingga Rasulullah s.a.w bersabda, “Ya Allah, aku berlepas diri (mohon perlindunganMu) dari apa yang telah dilakukan oleh Khalid bin Walid.” [HR Bukhari]

Hal itu adalah kesalahan yang telah dilakukan oleh Khalid bin Al Walid. Kemudian Rasulullah pun memerintahkan Ali bin Abi Talib ke perkampungan Bani Juzaimah, memohon maaf, memberikan tebusan (diyat), menenangkan mereka, dan membetulkan insiden yang telah berlaku itu kerana Khalid telah melakukan perkara yang salah. Segala kerosakan dan ganti rugi dilunaskan oleh Ali bin Abi Talib RA, sama ada harta itu berbentuk unta dan perak, termasuklah bekas untuk minuman anjing sekalipun, bahkan diberikan lebih daripada itu setelah dimaklumkan segala harta yang musnah.

Pun begitu, Khalid Ibn Walid RA tetap diangkat sebagai panglima oleh para khalifah terkemudiannya, sekalipun beliau ada “rekod” melakukan kesilapan sebegini.

Ini menunjukkan kepada kita, dalam soal jawatan, seseorang itu harus dinilai dari aspek keupayaan dan kecekapannya. Bukan pada soal keturunannya, tahap pendidikannya dan sebagainya. Dilihat dari kalangan para sahabat seperti Umar Ibn Khattab RA, Abu Bakr RA, Ali Bin Abi Talib RA dan lain-lain, ternyata Khalid Ibn Walid tidak sefaqeh mereka dari segi ilmu, (harus dipertimbangkan bahawa beliau agak lewat memeluk Islam), tetapi keupayaan beliau di medan perang tidak boleh disangkal, menyebabkan beliau terus dipilih mengetuai pelbagai pertempuran dalam rangka fi sabilillah, menjadikan beliau salah seorang sahabat Rasulullah s.a.w yang paling agung dalam sejarah Islam.

Hukum Jual Beli Emas

Muawiyah RA berijtihad mengeluarkan barang kemas dari item ribawi kerana berpandangan ia bukan lagi matawang dan adanya campur tangan manusia dari segi kos upah dan seni pertukangan di dalamnya. Khalifah Umar RA mengetahu hal ini dan membatalkan pandangan Muawiyah RA itu. Para sahabat akur dengan perintah Khalifah Umar RA termasuk Muawiyah RA.


Muawiyah RA kemudiannya mengadopsi pandangannya itu ketika beliau menjawat jawatan sebagai Khalifah. Para sahabat juga akur dengannya.

Melihat isu ini sebagai “hakim”, seolah-olah ada pihak membenarkan transaksi riba dan ada yang mengharamkannya. Sama ada Umar RA atau Muawiyah RA, keduanya merupakan sahabat yang sangat tinggi kedudukan mereka di sisi Rasulullah s.a.w.


Memahami latarbelakang mereka, Muawiyah Bi Abi Sufyan adalah ahli perniagaan yang sangat memahami selok-belok dunia perniagaan. Umar RA pula seorang yang sangat teguh pegangannya kepada Islam dan sangat tegas dalam menjaga agama Allah. Kita tidak layak menghakimi mereka.


Hari ini, selepas lebih seribu tahun berlalu, realiti muamalat berkembang dan jauh berbeza dengan zaman Rasulullah s.a.w dan para sahabat. Maka, ketetapan hukum syarak dalam muamalat juga perlu ditentukan dari pemahaman realiti zaman ini dalam kerangka tidak menyalahi konteks nas syarak.


Perbezaan Muawiyah RA dengan Umar RA dalam menetapkan emas perhiasan sebagai item ribawi atau bukan ribawi ini antara contoh khilaf yang muktabar dalam perkara ini. Tidaklah wajar segelintir umat Islam mengharamkan semua transaksi jual beli emas secara online, dengan alasan memahami yadan bi yadin, mithla bi mithlin dalam konteks majlis akad dan serah terima itu mesti berdepan antara penjual dengan pembeli, mesti bayar secara serentak tanpa memperkirakan tempoh jangka waktu bagi pihak penjual emas untuk verify bayaran yang dilakukan sebelum menyerahkan emas, ataupun pihak pembeli untuk mengesahkan ketulenan dan berat emas yang mereka beli.


Dalam transaksi jual beli modern, verification itu mungkin mengambil masa, dan ia tidak berlaku di zaman silam. Keberadaan pihak assayers yang bertindak menentukan ketulenan emas, dan pihak bank/FPX/Block chain/exchange yang menyediakan platform transaksi bukan realiti di zaman Rasulullah s.a.w tetapi ia realiti di zaman ini.


Saya tidak menyatakan realiti mengubah status hukum, tetapi konteks realiti 1000 tahun lalu berkenaan “majlis akad” tidak sama dengan konteks hari ini. Pembayaran dan pemindahan milik 1000 tahun lalu ialah dengan serah dan terima dari tangan ke tangan, sedangkan possession ketika ini boleh berlaku dengan beberapa klik di alam maya. Contoh mudah, majikan bayar gaji dengan kaedah IBG (Inter Bank GIRO) menjadikan gaji yang dibayar dikira sebagai diterima oleh pekerja walaupun dia cuma melihat angkanya melalui telefon. Pekerja boleh menggunakan wang itu setelah ia masuk, tetapi ada masa ia “floating” angkanya muncul tetapi belum boleh guna lagi.


Begitu pula dari sudut “serah terima”. Apabila emas yang dibeli itu adalah emas fizikal yang sememangnya wujud secara hakiki, dan boleh dikeluarkan oleh pemilik tanpa halangan oleh penjual, pembeli emas berhak mewakilkan sesiapa sahaja termasuk pihak penjual untuk menyimpan bagi pihaknya, dalam akaun milik pembeli (hak milik sudah bertukar dari penjual kepada pembeli), maka ia diterima sebagai serah terima walaupun emasnya belum dilihat di depan mata. Inilah juga serah terima yang berlaku apabila seorang pemilik kilang melebur emas membeli emas dari pelombong. Mereka melantik pihak tertentu menentukan kualiti dan berat (assayers) bagi mengaudit item yang dibeli tanpa keperluan pemilik kilang berdiri di tepi lombong emas bagi menyelesaikan akad jual beli kerana syarat rigid serah terima yang difahami perlu berlaku di depan mata.


Gharar dan Hasah


Hadis Rasulullah s.a.w:


Dari Abu Hurairah RA bahawa dia berkata “Rasulullah SAW melarang jual beli hasah dan jual beli gharar”. [HR Muslim]


Gharar ialah transaksi yang berlaku dalam ketidakpastian. Contohnya, membeli ikan dari nelayan yang akan ke laut untuk menangkapnya. Ikan belum lagi dimiliki nelayan, tidak boleh dibeli menurut pandangan syarak.


Hasah pula kewujudan unsur rawak dalam membeli. Contoh, membeli durian di hadapan penjual, kemudian penjual menyuruh pembeli melontar batu hingga terkena mana-mana durian, maka durian itu menjadi miliknya.


Dalam persoalan ini, kewujudan assayers bertauliah sebagai pihak yang menjalankan audit berkala untuk menentukan berat dan kualiti emas menghilangkan unsur gharar. Setiap emas yang dimiliki penjual dipastikan wujud secara fizikal, tanpa memerlukan pembeli untuk pergi sendiri ke peti keselamatan pihak penjual untuk menegsahkannya.

Pengenalan nombor siri pada produk emas pula menghilangkan sifat hasah pada urusan jual beli emas. Ini kerana, setiap keping emas yang dijual beli dipastikan secara khusus dengan identifikasi yang diyakini.


Kemudahan Tetapi Bukan Mengambil Mudah


يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْرَ وَلِتُكْمِلُوا الْعِدَّةَ وَلِتُكَبِّرُ


“…Allah menghendaki kemudahan untuk mu, dan tidak menghendaki kesukaran bagimu… [Al Baqarah Ayat 185]


Dalam ayat ini Allah menjelaskan mengenai kemudahan dalam menjalankan ibadat puasa Ramadhan.


Tafsiran yang terlalu rigid dengan mengambil konteks yang khusus untuk seluruh isu dalam urusan muamalat akan menyempitkan ajaran Islam. Sedangkan kita semua beriman bahawa Allah mengutuskan Rasullullah s.a.w untuk membawa petunjuk sepanjang zaman.


Di atas keluasan fiqah, kita seharusnya mengambil kira konteks yang benar, tanpa mengubah hukum asal yang Allah tetapkan. Maka, dalam persoalan transaksi emas, perak dan lain-lain item ribawi, adalah sangat banyak perbahasan yang telah berlangsung sejak sekian lama di kalangan para ulama, dan tidaklah seharusnya seorang muslim yang baru mula mengenal beberapa hukum feqah begitu tergesa-gesa menjadi qadhi dan hakim, meriba’kan semua orang yang mengambil qaul yang berbeza dari mereka.


Credit to: https://jomurusduit.com/2017/11/jenis-riba-contoh-situasi.html

ISA & SOSMA Haram Di Sisi Islam

Secara umumnya akta hasil pemikiran penjajah ini mengenepikan kuasa kehakiman dan bercanggah dengan kebebasan individu yang dijamin oleh Perlembagaan yang diagungkan oleh mereka sendiri. Ringkasnya, individu yang ditahan di bawah ISA

(i) tidak memerlukan waran tangkap atau apa-apa arahan dari Mahkamah
(ii) tidak perlu dan tidak akan dibawa ke mahkamah untuk dibicarakan atau dibuktikan kesalahannya 
(iii) kuasa mutlak untuk ‘menjatuhkan hukuman’ terletak kepada Menteri Keselamatan Dalam Negeri 
(iv) ‘kuasa mutlak’ untuk menyeksa tahanan terletak pada polis cawangan khas (SB)

Sebagai sebuah deen yang sempurna, agama Islam yang diturunkan oleh Allah ini mencakup segala perkara dan tidak ada satu pun yang tertinggal darinya. Dalam bab pengqadhian (penghakiman), Islam telah menggariskan hukum dan kaedah yang lengkap yang wajib diikuti oleh umat manusia. Antara kaedah syarak yang masyhur di dalam bab penghakiman/keadilan Islam adalah “Al-Aslu bara’atu zimmah” yang bermaksud “seseorang itu tidak bersalah sehinggalah dibuktikan bersalah” (innocent until proven guilty). Mengikut kaedah ini, oleh sebab hukum asal bagi seseorang itu adalah tidak bersalah sehinggalah dibuktikan sebaliknya, maka seseorang itu tidak boleh dikenakan hukuman melainkan dengan keputusan mahkamah (setelah dibicarakan dan dibuktikan), dan seseorang itu tidak boleh sama sekali (secara mutlak) dihukum (punish) oleh mana-mana pihak selagi dia tidak disabitkan kesalahan [Syeikh Taqiyuddin an-Nabhani, Muqaddimah ad-Dustur, Fasal 13].

Dalam keadaan di mana individu tersebut disyaki melakukan kesalahan, Islam sememangnya membenarkan pihak polis menahan seseorang tertuduh (seperti tahanan reman) bagi membolehkan mereka mengumpul maklumat sebelum melakukan dakwaan. Bagaimanapun, penahanan ini hanya boleh dilakukan dengan syarat mendapat akuan/perintah dari Mahkamah dan masa penahanan adalah pendek dan terhad. Hal ini berdasarkan dalil hadis dari Bahz bin Hakim dari bapanya, dari datuknya,

“Bahawa Nabi SAW menahan seorang lelaki kerana tuduhan kemudian dia dibebaskan” [Riwayat Lima kecuali Ibn Majah]

dan dari Abu Hurairah ia berkata,

“Rasulullah SAW menahan seorang individu selama sehari semalam dalam satu kes pertuduhan”.

Perlu difahami bahawa penahanan tersebut bukanlah satu bentuk ‘hukuman’ tetapi ia bertujuan untuk mendapatkan maklumat dan keterangan (tempoh siasatan), dan tidak boleh sama sekali mendera atau menyeksa tertuduh pada waktu ini.

Hukuman hanya boleh dikenakan selepas sabit kesalahan. Tidak boleh (haram) melaksanakan hukuman kepada si tertuduh sebelum disabit kesalahannya. Dalilnya adalah berdasarkan hadis Nabi Sallallahu ‘alaihi wa Sallam

“Seandainya aku boleh merejam seorang itu tanpa bukti nescaya aku akan merejamnya” [HR Muslim, Ahmad, Baihaqi dan Thabrani].

Meskipun (berdasarkan riwayat dari Ibnu Abbas) perempuan tersebut memang diketahui telah melakukan zina, namun ternyata Rasulullah tidak menyeksa atau melakukan apa jua tindakan agar perempuan itu mengaku. Tambahan lagi, jikalau hukuman boleh dikenakan kepada si tertuduh semata-mata kerana kesalahannya ‘diketahui’, maka sudah tentu perempuan itu dihukum oleh Rasulullah kerana kejahatannya memang sudah pun diketahui ramai. Namun ternyata hakikatnya tidak demikian. Ini menunjukkan bahawa secara mutlak tidak dibolehkan (haram) melaksanakan hukuman terhadap si tertuduh tanpa disabitkan kesalahannya. Oleh yang demikian, adalah haram mengugut, memukul, mendera, memenjara atau mengenakan apa jua bentuk hukuman (punishment) selama mana tertuduh masih belum disabitkan kesalahan.

Hal ini disokong lagi oleh hadis dari Ibnu Abbas bahawa Rasulullah Sallallahu alaihi wa Sallam tidak menghukum seorang yang mabuk kerana tidak ada bukti.

“Ibnu Abbas berkata, seorang lelaki telah meminum khamar dan mabuk dan dilihat terhuyung hayang. Lelaki ini dibawa kepada Rasulullah dan ketika menghampiri rumah Abbas, dia terlepas lalu masuk ke rumah Abbas dan berselindung di situ. Apabila hal ini sampai kepada Rasulullah, baginda tertawa seraya bertanya, ‘Adakah dia melakukan semua itu?’ Dan (kata Ibnu Abbas) Rasulullah tidak memerintahkan apa-apa pun dalam perkara ini”.

Hadis ini menunjukkan bahawa Rasulullah tidak menjatuhkan hukuman kepada peminum khamar kerana tidak ada pengakuan dari tertuduh dan dakwaan ke atasnya juga tidak terbukti. Ini bermakna dia telah ‘dituduh’ mabuk tetapi tidak dapat dibuktikan (bahawa dia minum arak). Rasulullah tidak mengugut atau menyeksa atau mendera dia agar mengaku, dan Rasulullah juga tidak menjatuhkan hukuman ke atasnya hanya semata-mata kerana adanya ‘tuduhan’. Oleh yang demikian, adalah haram untuk mengenakan sebarang bentuk tindakan ke atas tertuduh selagi kesnya tidak disabitkan oleh Mahkamah. Dengan kata lain, selagi tidak ada sabitan, statusnya tetap sebagai tertuduh (accused) dan bukannya pesalah (guilty) dan tidak ada seorang pun, baik polis atau menteri yang boleh menghukum (punish) orang yang ‘dituduh’. Berdasarkan hadis ini, hukuman tahanan 60 hari dan juga dua tahun penjara (dan diseksa) yang dilakukan di bawah ISA oleh Menteri Dalam Negeri dan juga pihak polis adalah teramat jelas menyalahi perbuatan Rasulullah dan ternyata haram hukumnya ditinjau dari aspek mana sekalipun.

Adaptasi dari Sautun Nahdhah-174, dikeluarkan pada 31 Oktober 2008

Ikut Sistem Islam atau Najasy?

Dari penelitian terhadap hadis yang menyebut mengenai Najasy, langsung tidak mengandungi pengertian yang menunjukkan bahawaNajasy yang telah diberitahukan kematiannya oleh Rasulullah SAW kepada sahabat lalu baginda solat bersama para sahabat, adalah Najasy yang berkuasa di Habsyah ketika kaum Muslimin berhijrah ke sana. Juga, tidak ada khabar yang menunjukkan bahawa dia adalah Najasy yang menerima surat (dakwah) Rasulullah SAW yang mengajaknya masuk Islam. Ini kerana istilah “Najasy” bukanlah nama peribadi, melainkan gelaran yang diberikan kepada penguasa-penguasa yang memerintah Habsyah.

Hal ini disebutkan oleh Imam Nawawi pada jilid ke-12 dari kitabnya, Syarah Sahih Muslim. Juga disebutkan oleh Ibnu Hajar al-Asqalani dalam juz ke-3 kitab al-Ishabah.

Di dalam juz ke-12 dari kitab Syarah Sahih Muslim an-Nawawi, disebutkan bahawa Najasy yang dikirimi surat oleh Rasulullah SAW dan diajaknya masuk Islam pada akhir tahun ke-6 Hijriah, setelah baginda kembali dari Perang Hudaibiyah, bukanlah Najasy yang Rasulullah SAW solat jenazah untuknya. Teksnya berbunyi,

“Dari Anas,bahawa Nabi SAW telah menulis surat kepada Kisra, kepada Kaisar dan kepada Najasy serta kepada setiap Jabbar (penguasa), mengajak mereka kepada Allah Ta’ala, bukan Najasy yang Nabi SAWmensolat (jenazahkan) atasnya”.

Dari hadis ini jelas bahawa Najasy yang Rasulullah SAW solat jenazah atas kematiannya bukanlah Najasy yang ada pada saat kaum Muslimin berhijrah ke Habsyah, untuk hidup di bawah lindungannya dan bukan juga Najasy yang telah dikirimi surat oleh baginda.

Bagi mereka yang beristidlal dengan kisah Najasy sebagai alasan untuk menafikan kewajipan menegakkan Khilafah kerana Najasy yang memeluk Islam terus memerintah sebuah kerajaan Kristian, dengan hukum yang tidak bersumberkan Quran, wajib sedar bahawa yang wajib dijadikan dalil (dan ikutan) bagi kita ialah perintah Allah SWT di dalam Al-Quran dan pemerintahan Rasulullah SAW itu sendiri, bukannya pemerintahan Najasy.

Berapa banyak dari ayat-ayat Al-Quran yang memerintahkan kita untuk menerapkan hukum Allah sehingga orang yang tidak menerapkannya akan menjadi kafir, zalim dan fasik. Adanya kisah Najasy yang tidak menerapkan Islam bukanlah boleh dijadikan dalil untuk menafikan kewajipan menerapkan hukum Allah. Mereka yang berhujah dengan kisah Najasy ini seolah-olah mahu menolak apa yang diterapkan oleh Muhammad SAW dan Khulafa’ Rasyidin sehingga mahu mengambil apa yang diterapkan oleh Najasy! Janganlah kita mencari-carihujah untuk tidak menerapkan Islam dengan beristidlal kepada kisah Najasy(semoga Allah mengampuni dan merahmatinya) kerana yang wajib untuk kita beristidlal adalah kepada Kitabullah dan Sunah RasulNya

Allahua’lam.

Surat Rasulullah ﷺ Kepada Kaisar

Rasulullah s.a.w mengirimkan banyak surat kepada para raja, kaisar dan para pemerintah pelbagai kerajaan untuk mengajak mereka kepada Islam.

Ketika surat baginda sampai kepada Kisra Persia, surat itu dikoyak-koyak oleh pemerintah kerajaan yang berlatarbelakang agama Majusi, iaitu kaum muskhrik yang menyembah api.

Ketika Herakleus, iaitu Kaisar Rom yang beragama Kristian menerima surat dari Rasulullah s.a.w, Herakleus memanggil orang dari Makkah yang ada di sekitar kotanya untuk mengesahkan beberapa perkara mengenai Rasulullah s.a.w.

Kebetulan Abu Sufyan, musuh ketat Rasulullah s.a.w berada di situ untuk berdagang, bersama kabilah dagang miliknya. Di hadapan Heraklus, dengan bantuan penterjemah, beberapa soalan ditanya, antaranya:

1. Bagaimana nasabnya?

Dijawab: Baik dan mulia

2. Apakah ada di kalangan kamu mengaku nabi sebelum ini di kalangan kamu?

Dijawab: Tidak

3. Apakah lelaki ini (Rasulullah s.a.w) berketurunan raja?

Dijawab: Tidak

4. Siapa pengikutnya?

Dijawab: Orang miskin dan tidak ternama

5. Pernahkah lelaki ini berbohong?

Dijawab: Tidak

6. Apakah kalian memeranginya? Siapa yang menang?

Dijawab: Kadang-kadang kami menang, kadang-kadang dia menang

7. Apa yang diperintahkannya?

Dijawab: Dia menyuruh untuk sembah Allah dan jangan menyekutukannya

Setelah mendengar jawapan dari Abu Sufyan, Kaisar berkata:

1. Nasabnya yang mulia, itulah nasab para rasul dari keturunan yang mulia

2. Sekiranya ada sebelum ini mengaku nabi dari kalangan kalian, maka lelaki ini hanya peniru.

3. Sekiranya dia keturunan raja, maka tentu dia bertujuan menuntut takhta

4. Para Rasul selalunya hanya diikuti dari kalangan orang biasa, bukan orang yang punya kedudukan

5. Para rasul tidak akan bohong atau khianat

6. Begitulah Rasul selalu diberi ujian. Mereka tak selalunya menang. Namun akhirnya, mereka akan menang

7. Menyeru untuk taat kepada Allah, inilah tugas para rasul

Seandainya semua yang kamu katakan ini benar, nescaya aku akan senang bertemunya. Sekiranya aku berada di sisinya, aku akan basuhkan kedua kakinya (memuliakannya). Suatu hari nanti, kekuasannya akan sampai ke kawasan di bawah kedua kakiku ini.

Kaisar memahami secara persis bahawa orang yang menuliskan surat itu seorang Nabi, cuma dia tidak menyangka bahawa Nabi terakhir itu muncul dari bangsa arab yang ketika itu merupakan kelompok yang tidak maju seperti bangsa Rom atau Parsi.

Ternyata, selain sebagai spiritual leader, Muhammad s.a.w adalah seorang komander perang yang ulung. Dicatatkan, baginda terlibat dalam sekurang-kurangnya 27 ghozwah (perang) dan banyak lagi operasi military berupa pre-preemptive measure seperti misi yang dipimpin Abu Salmah Bin Abdul Asad menghapuskan pemberontakan Bani Asad. Ketika itu Bani Asad berpakat mengumpulkan kekuatan untuk menggulingkan pemerintahan Rasulullah s.a.w setelah melihat moral kaum muslimin di tahap sangat rendah, setelah kekalahan dalam Perang Uhud. Baginda s.a.w menyerahkan liwa’ (bendera) kepada Abu Salmah untuk mempin pasukan terdiri dari 150 cavalry yang terdiri dari pasukan elit dari kaum muslimin seperti Abu Ubaidah Al Jarrah, Saad Bin Abi Waqas, Usaid Bin Hudhair dan lainnya. Serangan kilat yang dilakukan pasukan Abu Salmah dalam serbuan ke perkampungan Bani Asad berhasil menumpaskan mereka dan kemenangan ini melonjakkan semula moral kaum muslimin dari kedukaan akibat kekalahan di Medan Uhad.

Sisi lain yang dapat kita ambil maklum ialah bahawa agama Kristian dan Yahudi adalah agama samawi dari jalur Abrahamic Faith. Nabi Isa A.S (Jesus) dan Musa A.S (Mosses) adalah keturunan Ibrahim A.S dari jalur Nabi Ishak A.S (Isaac) manakala Muhammad s.a.w adalah dari jalur keturunan Ismail A.S (Ishmael). Maka, tidak hairanlah agama ahli kitab ini lebih dekat dengan Islam, serta mereka juga memahami konsep wahyu dan kenabian.

-Sabri Yaacob-

——————————————————————————

Catatan: Surat asal ini ditemui pada 1858 oleh Monsieur Etienne Barthelemy, salah seorang anggota misi penjajahan Empayar Perancis, di sebuah di sebuah geraja di Mesir dan kini disimpan di Muzium Istanbul.

Rujukan: al-Anwar fi Syama-il an-Nabi al-Mukhtar, Bab Alamat Nubuwatihi ﷺ, Hadis No:36

Believe in What Can’t Been Seen By Eye

Mendahulukan keimanan dengan mempercayai sesuatu yang di luar jangkauan pancaindera dan logik akal, itulah yang diajar oleh Rasulullah s.a.w apabila baginda mengkhabarkan visi yang besar buat umat Islam, yang sebenarnya mewarisi visi yang sudahpun dibebankan kepada Ibrahim A.S,

رَبَّنَا وَاجْعَلْنَا مُسْلِمَيْنِ لَكَ وَمِن ذُرِّيَّتِنَا أُمَّةً مُّسْلِمَةً لَّكَ وَأَرِنَا مَنَاسِكَنَا وَتُبْ عَلَيْنَا إِنَّكَ أَنتَ التَّوَّابُ الرَّحِيمُ

رَبَّنَا وَابْعَثْ فِيهِمْ رَسُولًا مِنْهُمْ يَتْلُو عَلَيْهِمْ آيَاتِكَ وَيُعَلِّمُهُمُ الْكِتَابَ وَالْحِكْمَةَ وَيُزَكِّيهِمْ ۚ إِنَّكَ أَنْتَ الْعَزِيزُ الْحَكِيمُ

“Dan (ingatlah), ketika Ibrahim meninggikan (membina) dasar-dasar Baitullah bersama Ismail (seraya berdoa): “Ya Tuhan kami terimalah daripada kami (amalan kami), sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui”. Ya Tuhan kami, jadikanlah kami berdua orang yang tunduk patuh kepada Engkau dan (jadikanlah) di antara anak cucu kami umat yang tunduk patuh kepada Engkau dan tunjukkanlah kepada kami cara-cara dan tempat-tempat ibadat haji kami, dan terimalah taubat kami. Sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang (Al Baqarah 128)

Ya Tuhan kami, utuslah untuk mereka seorang Rasul dari kalangan mereka, yang akan membacakan kepada mereka ayat-ayat Engkau, dan mengajarkan kepada mereka Al Kitab (Al Quran) dan Al-Hikmah (As-Sunnah) serta mensucikan mereka. Sesungguhnya Engkaulah yang Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana”. (Al Baqarah 129)

Visi agung yang diberikan kepada Ibrahim A.S ialah untuk menegakkan kalimat tauhid untuk sekalian manusia. Tatkala Ibrahim A.S sedar bahawa tugas ini amat berat buat beliau, maka beliau berdoa agar dikurniakan rasul dari kalangan keturunan beliau, dari sekitar ka’bah yang manaa doa ini hanya dimakbulkan ratusan tahun kemudian apabila lahirnya seorang Rasul dari jalur keturunan Ismail A.S, yang diutus untuk sekalian manusia, setelah para Rasul sebelumnya dari jalur keturunan Ishak A.S diutus untuk bani Israel.

Visi ini kemudiannya disambung oleh kaum muslimin sesudah kewafatan Rasulullah s.a.w, dengan adanya para Khalifah yang mewarisi tugas pemerintahan dari baginda, bagi menyebarluas Islam ke seluruh dunia melalui dakwah dan jihad.

Setelah dibuka kota Constantinople pada 1453 Masihi, iaitu 566 tahun lalu, masih tersisa kota Vatican untuk dibuka oleh kaum muslimin. Khalifah Muhammad Al Fateh sudahpun meraih kemuliaan yang dijanjikan Rasulullah s.a.w sebagai sebaik-baik pemimpin dan pasukan tentera, 800 tahun setelah dikhabarkan akan dibukanya kota Constantinople oleh Rasulullah s.a.w. Tinggal kini untuk umat di zaman kita, meneruskan visi seterusnya, iaitu membuka “jantung Eropah” dengan kekuatan dan kemuliaan Islam.

Dalam realiti umat Islam yang begitu lemah dan tertindas ketika ini, tentulah visi ini kelihatan mustahil dalam jangkauan akal dan pancaindera kita. Namun, bagi orang yang beriman, kita diajar untuk meyakini bahawa setiap yang dituturkan Rasulullah s.a.w itu merupakan realiti, yang pasti akan berlaku tanpa sebarang keraguan. Tinggal lagi bila ia akan berlaku dan siapa yang merealisasikan bisyarh (khabar gembira) yang tentunya sebuah reality yang pasti akan berlaku~!!!

Pencemaran Alam

Ekoran isu pencemaran Arsenic di Sungai Rui April lalu, ingin saya berkongsi pandangan dalam isu ini. Untuk info, cyanide group ni adalah sejenis kumpulan bahan kimia dalam kategori sangat toksik. Sebagai perbandingan, antara bahan aktif utama dalam kebanyakan jenis racun tikus ialah cyanide, iaitu salah satu species dalam kumpulan Arsenic.

.

Dalam kebanyakan kes, cyanide ini muncul dari sisa berjadual (scheduled waste) dari industry thermoplastic atau tayar. Dalam indusrti thermoplastic contohnya, untuk menghasilkan Polyacrylonitrile (PAN):  (C3H3N)n, salah satu sisa (disebut by product) ialah hydrogen cyanide!!!

.

Ketika era Perang Dunia Kedua dahulu, pengintip Amerika, Russia dan Germany dibekalkan dengan sejenis pil dinamakan L-pill. Sekiranya mereka ditangkap musuh, mereka membunuh diri menggunakan pil ini bagi mengelakkan diseksa pihak musuh dan mendedahkan maklumat sulit pasukan mereka kepada pihak musuh. Pil ini ialah Cyanide pill.

.

Contoh lain yang kita dapati dari sejarah, Gas Chamber di, Austria.  Gas pembunuh yang digunakan dikenali sebagai Zyklon B,  adalah sejenis Hydrogen Cyanide, bertindak sebagai agen lecur dan sekali gus bertindak sebagai agen saraf yang membawa maut dengan penuh kejam.

.

Satu nama yang dikenali ketika era Perang Bosnia, Slobodan Proljak, yang merupakan salah seorang komander perang di bawah pimpinan Radco Mladic membunuh diri ketika dibicara di War Crime Tribunal kerana jenayah kejamyang dilakukannya ketika Perang Bosnia. Syaitan tua ini meminum sejenis cecair ketika perbicaraan sedang berlangsung, (29 November 2017) lalu mati. Racun yang digunakan dikatakan dari jenis cyanide.

.

Ringkasnya, pencemaran arsenic ini merupakan isu yang sangat serius dan wajib ditangani dengan segera oleh pihak berkuasa.  

Diriwayatkan bahawa Rasulullah saw. bersabda:

…الإِمَامُ رَاعٍ وَ مَسْؤُوْلٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ

“Imam itu adalah laksana penggembala, dan dia akan dimintai pertanggungjawaban akan rakyatnya (yang digembalakannya)” (HR. Imam Al Bukhari  dan Imam Ahmad dari sahabat Abdullah bin Umar r.a.).

Kekalutan Yang Sudah Meragut Korban


Dalam insiden rusuhan seperti yang berlaku di perkarangan Kuil Sri Maha Mariamman tahun lalu, yang membawa kepada kematian seorang anggota bomba, sangat sukar untuk percaya selepas jentera bomba dibantai, kenderaan dibakar, arwah Adib yang dikatakan “terjatuh” dari kenderaan bomba, lalu cedera akibat dirempuh jentera bomba, lalu dengan penuh belas kasihan dan rasa bertanggungjawab, perusuh yang sedang mengamuk menghantarnya ke hospital. Kondisi yang dikatakan rusuhan adalah situasi di mana sekumpulan manusia mengamuk, tentunya dalam kondisi sebegitu, sedikit sekali pertimbangan waras kalaupun masih ada. 
.
Kalaupun benar Adib terjatuh gara-gara kekalutan yang berlaku, perusuh tetap bertanggungjawab kerana mengancam keselamatan anggota bomba (sila lihat kenderaan bomba yang dihentam dengan pelbagai objek), lalu menyebabkan pasukan bomba terpaksa berundur secara tergesa-gesa yang kemudiannya menyebabkan arwah terjatuh (teori team pembela). 
.
Justifikasi hukum fizik mengenai daya yang menghentam batang tubuh Adib hingga menjadi punca kematiannya tidaklah menafikan hakikat, ada nyawa sudah terkorban, sama ada secara langsung akibat dibelasah, mahupun kerana tindakan ganas perusuh. 
.
Tidak ada keadilan kecuali dengan keadilan dari panduan wahyu. Sistem perundangan yang meletakkan hak pendakwaan bukan di tangan mangsa/waris serta menafikan hak memberi kemaafan ahli waris bukan bahagian dari ajaran Islam. 
.
“Dan barangsiapa dibunuh secara zalim, maka sesungguhnya Kami telah memberi kekuasaan kepada ahli warisnya, tetapi janganlah ahli waris itu melampaui batas dalam membunuh” [TMQ al-Isra’ (17):33].
.
Imam Abu Daud meriwayatkan dari Abu Syuraih al-Khuza’iy, ia berkata, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda,
.
“Barangsiapa tertumpah darahnya atau disakiti, maka ia boleh memilih salah satu dari tiga pilihan, boleh meng-qisas atau mengambil diyat atau memaafkan. Jika ingin yang keempat, maka kuasailah dirinya”.
.
Kes yang berlaku di sini hanya salah satu di antara jenis pembunuhan berikut:

(i) pembunuhan sengaja (qatlu al-amad) 
(ii) mirip sengaja (shibhul amad) 
(iii) tersalah (khata’) 
(iv) tidak sengaja (ma ujri mujarral khata’).

Islam merincikan hukuman terhadap kesemua jenis pembunuhan ini termasuk jenis hukuman dan hak menenerima diyat serta beban membayar diyat. Malangnya, semua hukum Islam ini tidak dilaksanakan di negara ini.

Sabri Yaacob-

Aktivis Hizbut Tahrir Malaysia

Rujukan: Abdul Rahman al-Maliki (1990) , Nizamul Uqubat