Kenali Mata Wang Syarie – Dinar Dan Dirham

Sejarah Dinar Dan Dirham 

Keperluan seharian untuk setiap individu manusia adalah berbeza. Begitu juga dengan apa yang dimiliki mereka juga adalah berbeza di antara satu sama lain. Untuk mendapatkan keperluan yang dihajati, pada awal perdagangan manusia, mereka menggunakan sistem barter dengan menukarkan barang yang dimiliki, dengan barang milik orang lain yang mereka kehendaki, atas asas suka sama suka. Namun, proses pertukaran seperti ini sering menimbulkan masalah untuk mendapatkan persetujuan mengenai barang yang hendak ditukarkan, selain masalah penilaian kuantiti yang sepadan dengan barang yang ditukarkan.

Oleh itu, dalam usaha menangani masalah ini, maka wujudnya barang perantara yang dijadikan sebagai medium pertukaran (medium of exchange) di antara dua barang mahupun perkhidmatan yang diberikan atau diperoleh. Dengan kedua-dua pihak yang terlibat bersetuju menggunakan medium pertukaran ini, maka alat pertukaran ini digunakan dalam aktiviti perdagangan seharian. Di sinilah lahirnya “wang” yang digunakan pada hari ini yang merupakan medium pertukaran yang kita gunakan sehari-hari.

Menurut Syeikh Abdul Qadim Zallum di dalam kitabnya, Al-Amwal Fi Daulatil Khilafah (2004), dinar dan dirham telah dikenali oleh orang Arab sebelum datangnya Islam, kerana aktiviti perdagangan yang dilakukan mereka dengan negara-negara sekitarnya. Ketika pulang dari Syam, mereka membawa dinar emas Romawi (Byzantium) dan dari Iraq mereka membawa dirham perak Parsi (Sassanid). Kadang-kadang mereka membawa pula sedikit dirham Himyar dari Yaman. Jadi saat itu banyak mata wang asing masuk ke Hijaz; bagaimanapun yang paling banyak adalah berupa dinar emas Romawi dan dirham perak Parsi.

Namun begitu, orang Arab saat itu tidak menggunakan dinar dan dirham tersebut menurut nilai nominalnya melainkan menurut beratnya. Ini adalah kerana matawang yang ada hanya dianggap sebagai kepingan emas atau perak. Mereka tidak menganggapnya sebagai matawang yang dicetak, di mana bentuk dan timbangannya yang tidak sama dan kerana kemungkinan terjadinya penyusutan berat akibat peredarannya. Kerana itu, untuk mencegah terjadinya penipuan, mereka lebih suka menggunakan piawaian timbangan khusus yang telah dimiliki mereka iaitu auqiah, nasy, nuwah, mitsqal, dirham, daniq, qirath dan habbah.

Setelah Islam datang, Rasulullah men-taqrir (mengakui) berbagai muamalat yang menggunakan dinar Romawi dan dirham Parsi. Taqrir (pengakuan) dari Rasulullah inilah yang telah memperjelaskan kepada kita bahawa inilah sistem mata wang Islam dan sekali gus menjadi hukum syarak tentang kewajipan penerapannya. Sehubungan dengan dinar dan dirham ini, Rasulullah juga telah mengakui standard timbangan yang wujud pada waktu itu hendaklah diukur dengan menimbang berat dinar dan dirham. Tentang ini Rasulullah SAW bersabda,

“Takaran adalah takaran penduduk Madinah dan timbangan adalah timbangan penduduk Makkah” [HR Abu Daud, an-Nasa’i, al-Baihaqi].

Kaum Muslimin terus menggunakan dinar Romawi dan dirham Parsi ini dalam bentuk, cop dan gambar aslinya sepanjang hidup Rasulullah SAW dan diteruskan semasa kekhilafahan Abu Bakar As-Siddiq dan awal kekhilafahan Umar Al-Khattab. Pada tahun ke-20 H (tahun ke 8 pemerintahan Umar), Umar telah mencetak wang dirham baru berdasarkan bentuk dirham Parsi. Berat, gambar mahupun tulisan Bahlawinya (huruf Parsi) masih tetap ada, cuma ditambah dengan lafaz yang ditulis dengan huruf Arab gaya Kufi, seperti lafaz ‘Bismillah’ dan ‘Bismillahi Rabbi’ yang terletak pada lingkaran tepi. Hal ini diteruskan oleh kaum Muslimin selama berdekad-dekad kemudian.

Pada tahun 75 H (695M), Khalifah Abdul Malik Bin Marwan mencetak dirham khusus yang bercorak Islam, dengan lafaz-lafaz Islam yang ditulis dengan huruf Arab gaya Kufi. Bentuk dirham Parsi tidak dipakai lagi. Dua tahun kemudian, Khalifah Abdul Malik mencetak dinar khusus yang bercorak Islam setelah meninggalkan dinar Romawi. Selain itu, beliau mengarahkan pula untuk menghapuskan gambar-gambar manusia dan haiwan pada dinar dan dirham dan diganti dengan lafaz-lafaz Islam. Lafaz-lafaz Islam yang tercetak itu misalnya kalimat ‘Allahu Ahad’ dan ‘Allahu Baqa’’. Ada dinar dan dirham yang ditulis ‘La ilaha illallah’, manakala pada sisi sebelahnya terdapat tarikh cetak serta nama Khalifah atau Wali (Gabenor) yang memerintah pada masa percetakan mata wang tersebut. Sejak saat inilah kaum Muslimin mempunyai dinar dan dirham yang tersendiri yang digunakan sebagai matawang rasmi negara.

Penggunaan emas dan perak sebagai mata wang bukanlah suatu yang baru bagi umat Islam, bahkan bagi dunia sekalipun. Emas memang telah lama digunakan sebagai piawai matawang di seluruh dunia sehinggalah pada 15 Ogos 1971 apabila Presiden Amerika Syarikat (AS) ketika itu, Richard Nixon, secara unilateral mengumumkan bahawa AS membatalkan Perjanjian Bretton Woods yang dibuat pada 1 Julai 1944.

Semasa perjanjian Bretton Woods yang berlangsung sekitar lebih 20 tahun (1944 – 1971), mata wang dolar Amerika telah ditambat dengan nilai yang tetap iaitu USD35 untuk setiap 1 auns Troy emas. Dengan tambatan ini, nilai mata wang asing akan disandarkan kepada dolar Amerika dan dolar Amerika pula ditambat dengan nilai emas. Sejak berjalannya sistem Bretton Woods ini, dunia mengalami kestabilan mata wang dan kurangnya turun-naik (volatility) ini telah mengurangkan ketidakpastian (uncertainty) dalam perdagangan antarabangsa. Ini telah merancakkan pertumbuhan ekonomi dunia secara umumnya dan mengurangkan risiko ketidaktentuan dalam kadar tukaran wang asing sebagaimana yang berlaku ke atas wang fiat pada hari ini. Sebagai contoh, nilai matawang ringgit pada ketika ini telah menyusut sebanyak lebih 30% daripada nilainya berbanding pada 6 tahun lepas. Semasa tahun 2010 kadar tukaran untuk USD1 adalah bersamaan RM3.06 berbanding pada ketika ini (September 2016), kadar tukarannya adalah sebanyak RM4.13 berbanding USD1.

Namun sistem tersebut telah dibubarkan oleh AS. Ini kerana AS perlu mencetak dolar untuk meningkatkan belanja fiskalnya yang terus bertambah, di antaranya untuk membiayai perang Vietnam. Pada ketika itu, nisbah antara pengeluaran dolar dan jumlah simpanan emas yang dimiliki AS semakin ketara. Pada waktu itu, simpanan emas AS merosot daripada 20 bilion dolar kepada hanya 9 bilion dolar. AS kemudiannya mengalami defisit simpanan emas berbanding wang dolar yang dikeluarkan.

Negara-negara lain khususnya negara-negara Eropah Barat dan Jepun sebagaimana yang ditetapkan dalam perjanjian tersebut diwajibkan menjaga simpanan dolarnya dan menggunakannya sebagai dasar untuk meningkatkan pengeluaran mata wang dan kredit di dalam negara. Padahal semakin hari nilai dolar terus merosot (undervalue) sementara nilai mata wang mereka terus mengukuh (overvalue). Keadaan ini merugikan mereka kerana nilai eksport mereka menjadi lebih mahal sehingga pertumbuhan ekonomi mereka merosot.

Akibat daripada beban tersebut, negara-negara Eropah secara beramai-ramai menukarkan simpanan dolar mereka dengan emas. Atas tindakan ini, AS tidak mampu untuk memenuhi permintaan ini sebagaimana yang telah dipersetujui dalam perjanjian Bretton Woods iaitu untuk menukarkan USD35 kepada 1 auns Troy emas. Pada awal tahun 1971, komitmen dolar telah mencapai sebanyak lebih daripada 70 bilion dolar, sedangkan jumlah simpanan emas mereka hanya sebanyak 12 bilion dolar. [1]

Sejak pemansuhan perjanjian Bretton Woods itu, emas tidak lagi menjadi piawai matawang dunia dan dunia mula mengamalkan wang ‘fiat’

Kelebihan Mata wang Emas dan Perak

Emas dan perak merupakan dua komoditi yang memiliki nilai yang tersendiri. Kedua-dua jenis logam ini memiliki nilai tersendiri yang pasti mendapat perhatian serta permintaan manusia. Penggunaan kedua-dua jenis logam ini yang lazimnya untuk menghasilkan barang-barang kemas serta untuk tujuan lain memastikan permintaan serta pengeluarannya sentiasa ada sepanjang masa. Selain itu, emas merupakan logam yang tidak mudah teroksida (berkarat). Sifat ini memastikannya tetap stabil dan tahan dalam jangka waktu yang sangat lama. Sebagai contoh, meskipun kepingan emas ini tenggelam di dasar lautan, ia mampu untuk mengekalkan bentuk asalnya tanpa mengalami perubahan oleh air laut yang masin. Begitu juga, emas yang telah dikeluarkan dari perut bumi ribuan tahun dahulu tetap sama nilainya dengan emas yang baru sahaja dikeluarkan dari perut bumi pada hari ini. Oleh sebab itu, emas merupakan alat penyimpan kekayaan (store of value) yang paling baik. Ia berbeza dengan komoditi lain seperti kertas, meskipun boleh digunakan sebagai alat tukaran (medium of exchange), namun begitu ia tidak dapat menyimpan kekayaan dalam tempoh yang lama.

Selain itu, emas merupakan logam yang dapat dibahagi-bahagi dalam ukuran kecil dan dapat dilebur semula. Dengan sifat tersebut ia dapat menjadi alat tukar yang dapat diubah menjadi sesuatu yang berguna pada bila-bila masa dengan tetap dapat menjaga nilainya. Sebagai contoh, pada hari ini ia digunakan sebagai barang kemas, tetapi pada keesokan harinya ia boleh dijadikan wang untuk pertukaran dengan barang. [2]

Emas juga merupakan komoditi yang tinggi nilainya. Komoditi ini memiliki nilai per unit yang tinggi meskipun dalam ukuran yang kecil. Oleh itu, seseorang hanya perlu menggunakan emas yang sedikit untuk melakukan transaksi barangan mahupun perkhidmatan yang dalam ukuran besar. Sebagai contoh, harga untuk 1 auns emas adalah sekitar RM5478 pada 27 September 2016, iaitu RM176.12/ gram. [3]

Keberadaan emas juga boleh diterima secara meluas. Ia diterima oleh masyarakat dunia sebagai benda yang bernilai, sekali gus mampu untuk dijadikan alat tukaran. Ia jauh berbeza dengan wang fiat yang penerimaannya bersifat tidak menyeluruh. Sebagai contoh, mata wang ringgit hanya laku untuk dijadikan alat tukaran di dalam Malaysia dan di beberapa buah negara berdekatan sahaja, tetapi ia tidak akan laku untuk digunakan dalam pertukaran di negara lain seperti di Eropah dan Amerika. Ini berbeza dengan emas, ia memiliki nilai yang diterima di mana sahaja oleh masyarakat dunia sebagai benda yang bernilai tinggi.

Syeikh Abdul Qadim Zallum di dalam kitabnya, Al-Amwal Fi Daulatil Khilafah telah menyebutkan beberapa kelebihan mata wang emas dan perak berbanding dengan wang fiat yang terdapat pada masa ini.  Kelebihan-kelebihan tersebut ialah:

Pertama: Emas dan perak ialah komoditi, sebagaimana komoditi yang lain seperti unta, kambing, ayam, lembu, besi, kayu atau tembaga. Komoditi ini dapat diperjualbelikan jika ia tidak digunakan sebagai wang. Untuk mendapatkan emas dan perak ini memerlukan kos eksplorasi dan produksi. Oleh itu, emas dan perak termasuk wang komoditi (commodity money) yang bermaksud emas dan perak mempunyai nilai intrinsik (qimah dzatiyah) pada dirinya sendiri.  Ini berbeza dengan wang kertas yang tidak memiliki nilai intrinsik pada dirinya sendiri. Dengan menggunakan mata wang  emas dan perak, sesebuah negara tidak akan dapat mencetak mata wang sesuka hati dan mengedarkannya ke pasaran. Ini berbeza dengan wang kertas di mana negara bebas untuk mencetak wang kertas seberapa banyak yang ia kehendaki kerana wang kertas tidak memiliki nilai intrinsik pada dirinya sendiri.

Sebagai contoh, kos untuk mencetak wang dolar secara massa (mass production) untuk dominasi USD100 ialah USD0.20, perbezaan antara nilai nominal (100) dan kos percetakan (0.20) telah menghasilkan seignorage sebesar USD99.80. Dengan kata lain, setiap kali AS mencetak sekeping wang kertas USD100, AS akan mendapat untung sebanyak USD99.80. “Untung atas angin” yang diperoleh oleh AS dalam pencetakan wang ini telah menimbulkan ketidakadilan dalam perniagaan dunia dan telah memudahkan penguasaan AS ke atas ekonomi negara lain. Bayangkan jika harga setong minyak mentah yang berharga USD100/tong, kos sebenar yang ditanggung oleh AS untuk membeli emas hitam ini hanyalah sekitar 20 sen! Namun begitu, oleh sebab permintaan ke atas dolar Amerika sangat tinggi di luar negara, AS mengambil kesempatan ini dengan mencetak dolar secara berleluasa dan akhirnya menimbulkan inflasi. Sebagai contoh, meskipun jumlah simpanan emas AS pada tahun 2014 tidak bertambah berbanding tahun sebelumnya (8133 tan metrik), mereka tetap mencetak wang baru sebanyak USD188.7 bilion pada tahun 2015. [4]

Berbeza dengan mata wang emas dan perak, ia tidak boleh diterbitkan secara sesuka hati tanpa keberadaan jumlah emas yang diperlukan. Sebagai contoh, untuk menghasilkan 1 dinar emas syarie ia memerlukan emas seberat 4.25 gram dan untuk menerbitkan sebanyak 20 dinar, maka sebanyak 85 gram emas diperlukan untuk tujuan pencetakannya. Begitu juga dengan dirham, untuk mencetak 1 dirham perak syarie memerlukan perak seberat 2.975 gram dan begitulah jika ingin mencetak 200 dirham memerlukan perak seberat 595 gram. Dengan itu, nilai intrinsik emas dan perak itu tetap terjaga dan tidak akan berlaku pencetakan mata wang dinar dan dirham tanpa kewujudan emas dan perak secara fizikal dalam simpanan negara.

Kedua: Sistem emas dan perak akan menimbulkan kestabilan mata wang. Tidak seperti sistem wang kertas yang cenderung membawa ketidakstabilan ekonomi dunia apabila penambahan wang kertas yang beredar boleh berlaku secara tiba-tiba sebagaimana yang pernah berlaku semasa Perang Dunia Pertama dan Perang Dunia Kedua. Pada kebiasaannya, emas sangat sukar untuk ditemui dalam kuantiti yang melimpah ruah dan ini tidak akan menambahkan jumlah wang yang beredar di pasaran secara mendadak. Sebagai contoh, pada tahun 2015, jumlah pertambahan emas yang dimiliki oleh keseluruhan bank pusat negara di seluruh dunia hanyalah 483 tan metrik, yang setara dengan nilai USD18.051 trilion.[5] Berbanding dengan wang fiat, jumlah pertambahan wang di pasaran boleh berlaku secara mendadak dengan meningkatkan jumlah percetakan wang dalam masa yang singkat.

Ketiga: Sistem emas dan perak akan menciptakan keseimbangan neraca pembayaran antara negara secara automatik (automatic adjustment) untuk memperbetulkan selisih dalam pembayaran tanpa campur tangan bank pusat. Berbanding dengan wang kertas, jika terjadi selisih seperti ini, negara akan mencetak lebih banyak wang kerana tiada batasan untuk mencetaknya. Tindakan mencetak wang sesuka hati ini akan meningkatkan inflasi dan menurunkan daya beli (purchasing power) wang di negara tersebut.

Contoh mekanisme automatic adjustment – negara A dan B berdagang di antara satu sama lain. Nilai eksport negara A ke negara B ialah RM100 bilion dan nilai import negara A dari negara B ialah RM80 bilion. Dalam keadaan ini, negara A mengalami surplus dan negara B mengalami defisit perdagangan sebanyak RM20 bilion. Oleh itu, negara A akan mengalami longgokan emas yang diperoleh daripada negara B yang bernilai RM20 bilion kerana pembayaran menggunakan matawang emas. Keadaan ini akan menyebabkan harga komoditi di dalam negara B akan menurun dan menjadikan harga komoditi di negara B akan lebih murah berbanding di negara A. Ini akhirnya akan mengurangkan jumlah import negara B dari negara A dan begitulah sebaliknya. Sekiranya perdagangan negara A dan B menggunakan wang fiat, negara B akan mencetak lebih banyak wang untuk mengimbangi perbezaan nilai eksport dan importnya. Pencetakan wang yang tiada batasan ini akan meningkatkan inflasi dan menurunkan daya beli (purchasing power) pada wang di negara B.

Dalam sistem mata wang emas dan perak, negara tidak akan mencetak wang yang baru, selagi wang yang beredar dapat ditukar dengan emas dan perak pada harga tertentu. Ini kerana, negara khuatir dengan memperbanyakkan wang yakni dengan menerbitkan wang baru akan meningkatkan permintaan terhadap emas sedangkan negara tidak mampu untuk memenuhi permintaan ini. Sekiranya ini berlaku, ia akan menyebabkan pelarian emas dan perak ke luar negara dan ini akan menyebabkan berkurangnya simpanan emas dan perak di dalam negara. 

Keempat: Sistem emas dan perak mempunyai kelebihan yang luar biasa iaitu berapa banyak atau sedikit kuantitinya di dalam negara sekalipun, ia tetap dapat mencukupi keperluan pasaran tempatan dalam pertukaran matawang. Ini kerana, pertukaran di antara emas atau perak dengan komoditi yang lain akan berlaku berdasarkan nilai intrinsik emas/perak dengan nilai intrinsik barang/perkhidmatan.

Sebagai contoh; Negara A memiliki simpanan emas sebanyak 400 tan metrik. Perdagangan di dalam negara A berjalan seperti biasa dengan menggunakan mata wang dinar yang disandarkan kepada jumlah simpanan emas yang ada. Dengan jumlah simpanan emas sebanyak 400 tan metrik itu serta dengan faktor penawaran dan permintaan yang konsisten, harga seekor lembu di negara A ialah 4 dinar. Sekiranya jumlah simpanan emas negara A menurun sehingga 200 tan metrik (bererti kuantitinya sedikit), serta penawaran dan permintaan lembu adalah konsisten, ini akan menyebabkan permintaan ke atas emas (dinar) menjadi meningkat. Pada waktu itu, harga lembu di negara A adalah sekitar 2 dinar kerana daya beli dinarnya meningkat lantaran sedikitnya jumlah simpanan emas yang ada.

Hal ini tidak berlaku pada wang kertas kerana sekiranya negara mencetak semakin banyak wang kertas, daya beli wang tersebut akan turun dan akan terjadilah inflasi. Ini jelas menunjukkan, sistem emas dan perak akan menghapuskan inflasi, sedangkan sistem wang kertas akan menyuburkan inflasi.

Kelima: Sistem emas dan perak akan melancarkan kadar tukaran antara matawang asing dengan stabil. Ini kerana setiap matawang asing akan diukur dengan satuan yang sama iaitu berat emas dan perak. Dengan demikian, dunia secara keseluruhannya akan memiliki matawang tunggal yang terbit daripada emas dan perak, walaupun jenis matawangnya berbeza-beza. Dunia akan menjalani perdagangan yang bebas, kelancaran peredaran barang dan harta di pelbagai negara di seluruh dunia, termasuklah berkurangnya kesulitan yang timbul terhadap kadar tukaran matawang asing. Para peniaga tidak akan risau dengan meluasnya perdagangan antara negara kerana nilai tukar matawang adalah stabil.

Sebagai contoh; Dengan mengandaikan Ringgit Malaysia (RM) disandarkan kepada emas dan nilai Yen Jepun (¥) turut disandarkan kepada emas, meskipun kedua-dua negara memiliki jenis mata wang yang berbeza iaitu RM dan ¥, kadar tukaran matawang asing antara kedua-dua negara ini tetap akan sama kerana ia disandarkan kepada berat emas yang sama. Ini kerana, 4.25 gram emas di Malaysia (yang bernilai RM748) adalah setara dengan berat 4.25 gram emas di Jepun (yang bernilai ¥18,391), meskipun jenis mata wang kedua-dua negara ini berbeza kerana sandaran pertukaran matawang asing adalah berdasarkan berat emas dan bukan selain daripada itu. Para peniaga tidak akan risau dengan kadar tukaran matawang asing seperti mana sekarang, kerana mereka akan mendapat kadar tukaran yang sama iaitu berdasarkan berat emas dan bukannya berdasarkan nilai nominal mata wang sesebuah negara.

Keenam: Sistem emas dan perak akan memelihara kekayaan emas dan perak yang dimiliki oleh setiap negara. Oleh itu, emas dan perak tidak akan lari daripada sesebuah negara ke negara lain. Negara mana pun tidak memerlukan pengawasan untuk menjaga emas dan peraknya kerana emas dan perak itu tidak akan berpindah secara percuma ataupun secara haram. Emas dan perak tidak akan berpindah kecuali menjadi harga bagi barang atau perkhidmatan di mana hal ini dibolehkan oleh syarak.

Sebagai contoh; 1000 dinar emas yang berada di dalam negara A tidak akan berpindah ke negara B tanpa ada pertukaran komoditi mahupun perkhidmatan daripada negara B. Kompensasi yang berlaku adalah setara dengan nilai matawang yang digunakan dan bukannya berdasarkan faktor-faktor lain seperti spekulasi dalam pasaran matawang yang tidak mencerminkan perdagangan dalam pasaran sebenar (real market).

Inilah antara kelebihan yang ada dengan matawang emas dan perak dalam negara serta dalam perdagangan global. Sudah pasti kelebihan yang ada ini adalah jauh lebih banyak mengatasi kelemahan yang ada pada sistem wang fiat yang diamalkan pada ketika ini. Kadar inflasi sahaja sudah cukup untuk “memiskinkan” pemilik wang fiat ini berbanding dengan mata wang emas dan perak yang nilai intrinsiknya tetap terpelihara. Selain penggunaan emas dan perak sebagai matawang, yang turut perlu ditekankan ialah segala praktik riba serta segala pasaran kewangan (financial market) yang tidak syarie mesti dihapuskan terlebih dahulu. Ini kerana, keunggulan mata wang emas dan perak ini tidak akan dapat dicapai sepenuhnya sekiranya praktik yang haram ini masih berjalan dalam sesebuah negara. 

Emas dan Perak Sebagai Mata wang Adalah Tuntutan Syarak 

Melihat kepada kelebihan yang ada pada penggunaan emas dan perak sebagai mata wang, hal ini semata-mata sudah cukup untuk menjadikannya sebagai matawang negara. Namun, tuntutan syarak adalah pertimbangan utama untuk dilihat, berbanding pertimbangan kelebihan-kelebihan lain yang bakal diperoleh setelah pelaksanaannya.

Kewajipan penggunaan sistem mata wang dinar dan dirham adalah berdasarkan syariat Islam semata-mata, bukan atas dasar kestabilan nilai, manfaat dan sebagainya, melainkan ia merupakan perintah daripada Allah SWT yang telah memerintahkan kita untuk mengambil emas dan perak sebagai matawang. Inilah satu-satunya alasan dan sebenar-benar sebab kenapa kita perlu kembali kepada dinar dan dirham.

Peri pentingnya emas dijadikan standard ukuran di dalam Islam dapat diperhatikan berdasarkan ketetapan-ketetapan yang telah digariskan oleh Islam, antara lain adalah seperti berikut:

Pertama; Islam melarang praktik penimbunan harta (kanzul mal). Islam hanya mengkhususkan larangan penimbunan harta untuk emas dan perak. Larangan ini merujuk pada fungsi emas dan perak sebagai wang atau alat tukar (medium of exchange). Firman Allah SWT;

Wahai orang-orang yang beriman, sesungguhnya sebahagian besar daripada orang-orang alim Yahudi dan rahib-rahib Nasrani benar-benar memakan harta orang dengan jalan yang batil dan mereka menghalang-halangi (manusia) daripada jalan Allah. Dan orang-orang yang menyimpan emas dan perak dan tidak menafkahkannya pada jalan Allah, maka beritahukanlah kepada mereka (bahawa mereka akan mendapat) seksa yang pedih” [TMQ Al-Taubah (9):34]. 

Kedua: Zakat wang yang ditentukan Allah SWT adalah berkaitan dengan emas dan perak. Islam telah menentukan nisab zakat tersebut dengan emas dan perak. Nisab zakat emas ialah 20 mitsqal atau 20 dinar yang setara dengan 85 gram emas. Jumlah zakat yang perlu dikeluarkan untuk jumlah ini ialah ½ dinar. Manakala untuk nisab zakat perak pula ialah sebanyak 200 dirham yang setara dengan 595 gram perak. Jumlah zakat untuk 200 dirham ini pula ialah 5 dirham.

Ketiga: Selain zakat, Islam juga mengaitkan emas dan perak dengan hukum-hukum yang lain seperti diyat, kafarah, pencurian dan lain-lain. Islam menentukan diyat dengan ukuran tertentu dalam bentuk emas. Islam juga mengenakan hukuman potong tangan terhadap pencurian dengan ukuran melebihi emas sebanyak ¼ dinar. Rasulullah SAW bersabda,

“Dalam (pembunuhan) jiwa itu terdapat diyat berupa 100 ekor unta dan terhadap pemilik emas (ada kewajipan) sebanyak 1000 dinar” [HR an-Nasa’i dan Amru bin Hazam].

Baginda SAW juga bersabda,

Tangan itu wajib dipotong, (jika mencuri) 1/4 dinar atau lebih” [HR al-Bukhari].

Pelaksanaan emas dan perak sebagai matawang syarie tidak akan dapat dilaksanakan selagi ideologi yang menguasai dunia ketika ini bukan ideologi Islam.  Ini kerana, ideologi kapitalisme yang banyak mendominasi dunia pada hari ini akan sentiasa didukung oleh negara yang mengembangkannya terutamanya Amerika Syarikat.

Oleh itu, untuk menggantikan wang fiat yang digunakan secara menyeluruh di seluruh dunia sekarang, pastinya mesti dimulai dengan meruntuhkan ideologi kapitalisme ini dan menggantikannya dengan ideologi Islam. Dengan terhapusnya ideologi kapitalis dan penggunaan wang fiat, penggunaan mata wang emas dan perak dalam perdagangan global akan memastikan keadilan dalam perniagaan tanpa ada unsur monopoli yang terhasil daripada penguasaan sesebuah negara terhadap kebergantungan mana-mana negara terhadap matawang negara lain.

Kembali kepada dinar dan dirham, bukanlah itu sahaja yang menjadi kewajipan umat Islam. Setiap Muslim wajib berusaha mengembalikan keseluruhan sistem ekonomi Islam dan juga sistem lain merangkumi sistem pemerintahan, sistem hukuman (uqubat), sistem pergaulan (ijtimaie), polisi luar negara serta polisi pendidikan yang kesemuanya mesti berjalan selari dengan pelaksanaan dinar dan dirham, sebagai sistem Islam yang syumul (sempurna) dan kaffah (menyeluruh).

Penerapan Islam secara kaffah akan memastikan setiap perjalanan urusan negara adalah pada landasan yang benar lagi syarie dan diredhai oleh Allah SWT, bukannya seperti sekarang yang dipenuhi dengan kerosakan, kepincangan dan kemurkaan Allah SWT. Ini kerana, keindahan yang ada pada sistem-sistem Islam itu hanya akan dapat menjelma sekiranya kesemua sistem Islam diterapkan secara sekali gus dan menyeluruh tanpa sebarang kelompangan. Justeru, hanya dengan penegakan syariah di bawah naungan Khilafah al-Rasyidah ala minhaj nubuwwah sahajalah pelaksanaan Islam secara menyeluruh akan dapat direalisasikan serta keadilan yang dibawa oleh Islam akan dapat dijelmakan di hadapan mata.

Wallahu a’lam. 

 

Kajian oleh : Yusuf Muhammad

Rujukan:

  1. Hammes and Wills. Black Gold: The End of Bretton Woods and the Oil-Price Shocks of the 1970s, The Independent Review, v. IX, 2005
  2. Glyn Davies, History of Money from Ancient Times to the Present Day.2006
  3. http://www.hargaemas.com.my/harga
  4. https://www.federalreserve.gov/paymentsystems/files/currency_print_orders_2015.pdf
  5. http://www.forbes.com/sites/greatspeculations/2016/05/26/top-10-countries-with-the-largest-gold-reserves/#44648914466b